Pengikut

Sabtu, 16 Oktober 2010

AMK: Shamsul, CheGuBard Berentap

Persaingan bagi jawatan penting PKR pada Pemilihan 2010 ini bertambah sengit, apabila pertandingan bagi jawatan Ketua Angkatan Muda KEADILAN(AMK), hanya diisi oleh dua orang calon, iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Badrul Hisham Shaharin atau CheGuBard.

Sementara itu, dua lagi calon yang disebut-sebut sebelum ini untuk turut bertanding bagi posisi penting tersebut, iaitu Rafizi Ramli dan Hasmi Hashim menarik diri.

Sehingga berita ini ditulis pihak media masih tidak dimaklumkan sebab kedua-dua calon ini menarik diri.

Sebelum ini Rafizi dilaporkan adalah calon pilihan bagi merebut jawatan berkenaan. Manakala Shamsul yang juga seorang peguam sebelum ini mengumumkan untuk merebut jawatan Naib Presiden dan akan memberi laluan kepada rakan-rakannya yang lain.

Shamsul hadir bersama kira-kira 100 orang penyokongnya pada jam 2.00 petang tadi untuk menghantar borang pendaftaran, sementara CheGuBard tiba kira-kira 15 minit kemudian.

Shamsul turut diiringi oleh barisan Exco bayangannya, iaitu Khairul Anuar Ahmad Zainuddin atau Jonah yang bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua AMK dan Chan Ming Kai yang menawarkan diri bagi jawatan Naib Ketua AMK.

Sementara itu, CheGuBard turut diiringi oleh Chang Lih Kang yang menawarkan diri bagi jawatan Timbalan Ketua AMK., bersama-sama Yunus Jamhari, yang menawarkan diri bagi jawatan Naib Ketua AMK.

Dalam pada itu, pendaftaran pemilihan bagi jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat masih lagi terbuka, sehingga kaunter pendaftaran ditutup jam 6.00 petang ini.

Keputusan bagi mengesahkan pendaftaran calon-calon yang bertanding bagi jawatan-jawatan tersebut akan diumumkan kira-kira jam 7.00 malam ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan