Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perlaksanaa kaeadah pengundian secara langsung pada Pemilihan 2010 akan melahirkan pemimpin yang terbaik bagi parti.
Seterusnya pemimpin yang terpilih dalam pilihan raya parti pula akan lebih bertanggungjawab kepada ahli-ahli yang memilih mereka.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Anwar yakin ahli KEADILAN akan membuat keputusan yang bijaksana serta berhemah demi kebaikan kepada parti.
"Pemerkasaan ahli-ahli seiring dengan kuasa di tangan mereka. Kami yakin semua anggota parti akan menggunakan kuasa ini secara bijaksana dan berhemah.
"Amalan seperti ini sudah menjadi lumrah dalam sistem demokrasi yang matang diseluruh dunia tetapi ia adalah pertama kali dilaksanakan di Malaysia.
"Proses pemerkasaan bukan sahaja memberikan hak untuk mengundi tetapi juga untuk menyuarakan sokongan atau bangkangan," kata Anwar.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu juga menegur sesetengah yang dilihat berlebihan dalam kritikan terhadap saingan dalam pertandingan atau pembawaan semasa berkempen.
Bagaimanapun beliau menolak dakwaan pihak yang mengatakan apa yang berlaku adalah kerana masuknya 'budaya Umno' dalam parti.
"Adalah diperakui beberapa kebelakangan ini bukanlah tempoh yang selesa bagi KEADILAN. Kita masih mempunyai perjalanan yang jauh tetapi sekurang-kurangnya kita bergerak ke hadapan dan bukannya ke belakang.
"Perjalanan proses pemilihan telah memperlihatkan beberapa kenyataan yang amat pedas dan kasar diluahkan oleh sesetengah pemimpin yang dilihat tidak secucuk dengan kedudukan dalam parti yang mereka kejar.
"Dalam hal ini kritikan bahawa munculnya 'budaya Umno' semasa berkempen untuk jawatan parti adalah tidak benar sama sekali.
"Pada masa yang sama kita juga tidak menolak kemungkinan serigala berbulu kambing telah menyusup masuk ke dalam parti. Namun kita tetap beristiqamah dalam keyakinan bahawa ahli-ahli adalah matang dan bijak membuat keputusan yang terbaik bagi parti. Kebenaran akhirnya akan terserlah," jelas beliau lagi.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menasihatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi etika pemilihan bagi mengelakkan keadaan yang tidak sihat.
"Perbezaan pendapat dan perselisihan pandangan berhubung dasar bukan sahaja lumrah malah harus digalakkan bagi memastikan sebuah parti yang meraikan demokrasi yang sihat.
"Calon juga mempunyai hak untuk mengemukakan agenda mereka serta berkempen tetapi ia bukannya bermakna apa sahaja boleh dilakukan."Semua aktiviti harus dijalankan dalam lingkungan kesopanan, tatasusila dan sivil, sebab itulah kita tubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).
"Kita komited untuk berkhidmat kepada rakyat. Sejak penubuhannya, parti terus menerus mendesak kepada reformasi di negara supaya rakyat boleh melihat perubahan kepada keadaan yang lebih baik.
"Kita menolak alasan yang diberikan oleh mereka yang berada di tampuk kuasa bahawa rakyat belum bersedia untuk demokrasi sepenuhnya dan oleh demikian terpaksa bergantung kepada sandaran politik. Kita tidak memerlukan semua itu. Ini seterusnya akan menjadikan kita lebih kuat," ujar Anwar.
Mengimbas kembali sejarah penubuhan KEADILAN, Anwar berkata sejak parti diwujudkan sokongan rakyat terhadapnya terus meningkat.
"Apabila saya dipecat daripada kerajaan dan juga parti pemerintah pada September 1998, sokongan kuat seluruh negara tercetus yang tidak mampu dikekang oleh kerajaan.
"Malah dinding penjara Sg Buloh tidak berdaya menghalang kelahiran parti baru yang telah ditakdirkan bersama-sama dengan sekutunya, PAS dan DAP, untuk membawa politik negara ke dimensi baru.
"Maka tertubuhlah Parti Keadilkan Nasional, sebuah parti yang benar-benar berdasarkan kepada konsep pelbagaian kaum serta berjuang di atas landasan keadilan dan kebebasan, demokrasi dan urus tadbir yang baik.
"Parti ini bertambah kuat dari hari ke hari bersandarkan azam yang kuat untuk menggerakkan proses reformasi dan perubahan. Setelah bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia, ia dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat.
"Semangat perubahan inilah yang memacu perlaksanaan sistem baru pengundian dalam pemilihan kali ini di mana kira-kira 500,000 anggota parti berpeluang mengundi pemimpin mereka dari segenap lapisan pimpinan," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan