Saya telah menyentuh sedikit berkenaan sumbangan dan pengorbanan dalam artikel lepas, tetapi merasakan tajuk ini memerlukan kupasan yang lebih terperinci lagi,lalu saya membuat keputusan untuk menulis entry khas mengenainya.
Apabila sejarah perjuangan Rasulullah saw digali untuk mengenal corak perjuangan baginda serta sahabah dan mengutip pengajaran yang cukup berharga buat ummat manusia kemudian, lalu disana kita sering dipertemukan dengan kisah-kisah hebat Rasulullah saw dan sahabah ridhuanullah dalam menyampaikan dakwah islam. Selalunya reaksi kita sebagai ummat akhir zaman ialah "itu rasulullah" atau juga "itu sahabat" dan diikuti dengan "mana mungkin sama dengan kita".

Tindakan Ali ra tidur di tempat tidur Rasul s.a.w. pada malam Hijrah merupakan pengorbanan nyawa untuk menyelamatkan nyawa Rasulullah s.a.w.. Ini kerana ada kemungkinan pedang pemuda-pemuda Quraisy akan dihayunkan ke kepala Ali r.a. sebagai membalas dendam, ekoran beliaulah yang memudahkan Rasulullah s.a.w. menyelamatkan diri. Namun Ali r.a. tidak menghiraukan perkara tersebut. Cukuplah bagi beliau, jika Rasulullah s.a.w selamat, Nabi umat dan pemimpin dakwah terselamat.
Kemudian ingin saya memetik satu cerita dari bingkisan Fiqh Al-Sirah tulisan Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti,
Tahukah saudara siapakah Mus’ab bin Umair itu?Ia adalah satu-satunya putera ‘Arab yang hidup dengan serba kemewahan, dengan pakaian yang serba mahal. Tapi bila saja beliau menganut agama Islam maka segala—galanya ditolak ke tepi. Dengan penuh semangat kelslaman beliau turut serta di barisan hadapan di belakang Rasulullah berda’wah dan menyeru manusia ke jalan yang sebenar. Dengan relahati pula beliau menerima siksaan kaum Quraisy dan beginilah keadaannya yang penuh dedikasi berkorban untuk Islam hingga ke titisan dan nafasnya yang terakhir. Di dalam peperangan Uhud ditaqdirkan beliau telah gugur syahid. Dengan pakaian yang sehelai ditubuh sahaja, baju labuhnya tidak mencukupi untuk menutup ‘aurat jenazahnya sehingga kalau ditutup di bahagian kepalanya maka kakinya akan terjuntai keluar dan kalau ditarik ke kakinya maka kepalanya pula akan terdedah. Akhirnya mereka menceritakan kepada Rasulullah. Rasulullah menangis, teringat kembali betapa beliau sanggup menolak kemewahan duniawi semasa mudanya dahulu. Rasulullah pun bersabda: “Litupilah bahagian kepalanya dengan baju labuhnya itu dan tutuplah dua kakinya dengan daun kayu izkhur”.

Menyumbang dan berkorban untuk agama.
Apa yang saya lakukan disini hanyalah menyumbangkan masa untuk agama dan dakwah. Saya yakin, diluar sana terlalu ramai da'i yang bersedia bila-bila masa untuk menyumbang. Manakala bagi masyarakat awam yang terkontang-kanting mencari matlamat hidup, tajuk "menyumbang" pun masih terlalu "baru" bagi mereka. Sumbangan mereka masih berputar dan bergelut dengan elemen takbur dan riak.
Disaat kita hanya beredar dalam paradigma menyumbang, sejarah mencatatkan bahawa rasulullah saw dan sahabah telah beranjak ke paradigma berkorban. Disaat kita merangka strategi untuk sebuah anjakan paradigma yang cukup bermakna ini, sahabah telah membuktikan kepada kita bahawa, manusia biasa tetapi memiliki iman yang luar biasa bisa melakukannya.

Biarlah diri sendiri terkorban, asalkan islam selamat. Bagi yang pernah membaca sejarah perang uhud pastinya mengetahui cerita sahabah menjadikan tubuh-tubuh mereka sebagai perisai kepada Rasulullah disaat tentera islam dikepung oleh tentera Musyrikin mekah. Mereka faham bahawa, jika rasulullah saw dibunuh (wafat) maka islam akan terbunuh,dan begitulah sebaliknya.
Lalu kita bertanya, apakah yang dimaksudkan dengan menyumbang dan apakah pula makna berkorban? Berkorban ialah meletakkan kepentingan agama itu melebihi dari kepentingan diri sendiri. Manakala menyumbang pula ialah kepentingan diri sendiri selalunya lebih utama dari kepentingan agama.
.jpg)
Kita Dimana?
Dalam perjalanan hidup ini, saya menemui ramai sahabat yang bercita-cita untuk mati syahid dijalan Allah. Dan dalam masa yang sama saya sendiri turut memasang angan-angan untuk syahid di jalan Allah. Saya selalu bertanya, adakah sesenang itu? Sedangkan diri sendiri masih terkial-kial untuk istiqamah dalam kerja dakwah yang hanya salah satu juzuk menyumbang,adakah layak untuk saya bercakap mengenai perngorbanan nyawa demi agama yang benar ini?
Dalam perbualan bersama rakan-rakan mengenai cita-cita untuk syahid, selalunya dimulai dengan ayat ini
"memangla semahunya nak mati syahid, tapi..."
lalu perbualan memasuki zon alasan yang tidak berkesudahan.
.jpg)
Alhamdulillah,masih ramai yang bercita-cita untuk syahid dijalan Allah. Tapi angka ramai tadi sering tidak berkadar terus dengan angka yang faham apakah erti cita-cita mereka sendiri. Jika sekarang ini kita masih teragak-agak untuk meletakkan kepentingan agama melebihi kepentingan sendiri, usah terlalu awal untuk hanya berangan-angan syahid dijalan Allah.
Hassan Al-Banna,Syed Qutb,Syeikh Ahmad Yassin,Aziz Rantisi berdiri antara mereka yang bukan sahabah yang telah membuktikan bahawa anjakan paradigma itu tidak mustahil,lalu untuk apa kita masih bermenung lalu berkata, "itu sahabat..mana mungkin sama dengan kita.."?
Maa ashobani min hasanatin faminallah...wamaa ashobani min sayyiatin famin nafsi
(segala yang baik itu dari Allah dan yang buruk itu dari kejahilan diriku sendiri)
Wallahu a'lam bishowaab.Wassalam
-AmirDarkJustice
Tiada ulasan:
Catat Ulasan