Akhirnya China Press meminta maaf berikutan kesilapan laporan "peletakan jawatan Ketua Polis Negara"-nya yang "tidak menepati kebenaran", malah Ketua Pengarangnya, Teoh Yong Khoon yang bertanggungjawab atas kesilapan ini digantung jawatannya selama dua minggu.
Berbanding dengan desas-desus yang tersebar sebelum ini, bahawa Kementerian Dalam Negeri mengenakan syarat penyingkiran Ketua Pengarang jikalau China Press mahu melepaskan diri daripada hukuman pergantungan permit, "hukuman" di atas mungkin dianggap ringan. Persoalannya, apa salahnya China Press ?
Mungkinkah media mengetahui bahawa kesemua khabar itu benar? Bukan sahaja tidak, malah ada kalanya, khabar yang belum pasti kebenarannya juga memiliki nilai berita. Oleh sebab itu, kita tidak boleh mendakwa bahawa media itu tidak bertanggungjawab hanya kerana "maklumat tidak tepat". Kuncinya, bagaimana media mengendalikan berita tersebut?
Persoalan pertama, adakah China Press cuba sedaya upaya untuk mengesahkan khabar ini? Ada yang mendakwa bahawa sumber maklumat China Press amat "boleh dipercayai". Namun, pendekatan yang profesional sebenarnya adalah mendapatkan pengesahan daripada orang yang terlibat.
Memberi peluang agar mereka yang terlibat untuk menjawab, khususnya respon kepada khabar yang negatif, namanya "right of reply" (hak untuk menjawab). Jelas, China Press tidak berlaku adil kepada Musa Hassan dalam kes ini. Seandainya Musa Hassan menafikan berita ini semasa ditemuramah, maka sekurang-kurangnya China Press boleh menyiarkan penafiannya pada masa yang sama. Malah, penafian ini boleh dijadikan "tajuk utama", menonjolkan berita eksklusif "peletakan jawatan Ketua Polis Negara" secara berlapik.
Persoalan keduanya, mengapa China Press tidak berbuat demikian? Ada yang mengatakan bahawa China Press kesuntukan masa untuk menghubungi orang yang terlibat, namun terdesak pula untuk meluru ke depan lantaran daripada persaingan media. Lantas, keberanian ini berakhir dengan jatuh tersungkur. Jika inilah keadaannya, maka keasyikan China Press untuk menghambat kepentingan ini haruslah dikritik.
Hubungan yang tidak sama rata
Untuk saya, satu kemungkinan yang lebih wajar adalah, China Press khuatir "pengesahan" bakal mengundang kesudahan "terpancungnya berita tersebut". Maka, China Press mengambil keputusan untuk menanggung risiko tersebut.
Apa yang terselindung di sebalik persoalan ini adalah, Malaysia sebenarnya tidak mempunyai suasana kebebasan media - tiada kesamarataan antara media dengan institusi kerajaan yang berkenaan (KDN). KDN menentukan hidup mati sesebuah akhbar melalui "permit". Jadi, hubungan antara media dengan kerajaan bukanlah duduk sama rendah berdiri sama tinggi, menang atas kekuatan berhujah, tetapi satu pertarungan akal dalam percaturan strategi.
Persoalan ketiga, adakah sumber maklumat China Press telah silap? Secara teknikalnya, kita perlu menunggu sehingga Hari Polis pada 25 Mac, melihat sama ada Musa Hassan (gambar kiri, kiri) masih kekal pada tempatnya untuk mengenalpasti sama ada laporan itu menepati kebenaran. Tapi, seandainya Ketua Polis Negara meletak jawatan pada 25 April, apakah laporan China Press ini kurang tepat atau kurang jitu?
Apakah tidak mungkin, seandainya maklumat China Press itu benar, namun orang yang terlibat cuba mengubah keadaan setelah berita ini terdedah, memesongkan perkembangan selanjutnya dari kebenaran? Apakah kita akan tahu jikalau keadaan sedemikian berlaku? Setakat ini, Menteri KDN (gambar kiri, kanan) telah mengakui bahawa Musa Hassan tidak akan dilanjutkan perkhidmatannya dan bakal digantikan.
Dalam keadaan yang normal, di mana media menikmati kebebasan, apakah reaksi yang harus diberikan oleh media ketika berdepan dengan keadaan ini? Orang umum boleh menggariskan permintaan yang lebih tinggi, misalnya mendedahkan berita ini hanya apabila salinan hitam putih berada dalam tangan. Tetapi, seandainya China Press betul mempunyai salinan surat letak jawatan, lantas mendedahkannya sebagaimana apa yang dilakukan oleh blogger Raja Petra Kamaruddin, agar Menteri dan Ketua Polis Negara tertampar muka sendiri kerana berbohong... Apakah itu mungkin?
Selagi akhbar memerlukan permit untuk meneruskan penerbitan, keadaan ini tidak mungkin berlaku.
Kes BBC
Pada hakikatnya, berlatar belakangkan situasi sedemikian, seandainya KDN mengugut China Press dengan "penutupan akhbar", agar didedahkan identiti "sumber maklumat" tersebut, sejauh manakah etika China Press mampu bertahan untuk melindungi kerahsiaan tersebut?
Pada tahun 2004, wartawan BBC, Andrew Gilligan menuduh kerajaan Tony Blair telah menokok tambah ("sexed up") dalam laporan siasatan senjata Iraq. Ia berakhir dengan terdedahnya identiti sumber maklumat, Dr.David Kelly, yang kemudiannya membunuh diri kerana terdesak dengan siasatan oleh pihak atasan dan tekanan massa.
Siasatan bebas kemudiannya mendapati laporan wartawan tidak menepati kebenaran, pengendalian pihak BBC yang kurang cekap. Akhirnya, Andrew Gilligan, pengerusi dan CEO BBC terpaksa meletak jawatan.
Namun demikian, punca "terpancungnya" kepala pengurus BBC adalah kerana BBC adalah media yang dibiayai dana awam. Seandainya BBC syarikat swasta, maka audien pula yang akan menentukan kesudahannya.
Seandainya dinilai dengan kayu ukur Britain, sememangnya masalah "tidak profesional" China Press tidak boleh diremehkan mahupun dimanjakan. Tetapi, kebenaran sesuatu laporan harus disiasat oleh badan bebas, dan bukannya disiasat oleh pihak yang terlibat (dalam kes ini KDN). Kalaupun laporan tersebut terpesong dari kebenaran, hukumannya tidak harus dibincangkan dalam situasi di mana media tersebut berada dalam ancaman digantung/ditutup sewenang-wenangnya.
Oleh itu, sementara kita meneliti kesilapan yang dilakukan China Press (tidak mendapat pengesahan daripada pihak terlibat), kita juga perlu melihat bahawa China Press sebenarnya tiada "modal" untuk tidak mengaku salah. Ini kesilapan siapa? Beranikah politikus yang paling lantang dalam hal ini mencermin dirinya?
*Artikel ini ditulis dalam bahasa Cina oleh penganalisa politik, Wong Chin Huat. Diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan