Pengikut

Rabu, 31 Mac 2010

Uuiii...Ramainya Ahli PKR keluar Parti!

Bila Pilihanraya menjelang tiba, tak kiralah samada Pilihanraya Umum atau Pilihanraya Kecil, berita-berita yang sering kita akan dengan ialah Ahli-ahli parti dari dari komponen Pakatan Rakyat dilaporkan keluar beramai-ramai meninggalkan parti samada PAS atau PKR.

Dalam Pilihanraya Kecil kita akan dapat melihat berita keluar parti ini akan bermula apabila disahkan Pilihanraya Kecil akan diadakan.

Kebiasaannya jika Calon dari PAS akan bertanding dikawasan yang bakal diadakan Pilihanraya Kecil itu maka kita akan mula membaca Ahli-Ahli PAS keluar meninggalkan PAS..

Dan jika Calon dari PKR pula akan bertanding dalam Pilihanraya Kecil itu maka sudah tentu kita akan disajikan dengan berita ‘Ahli-Ahli PKR keluar Parti beramai-ramai dan Cawangan atau Cabang dibubarkan’ oleh Media yang dikuasai oleh UMNO/BN.

Contohnya 2 berita dibawah..



Hari ini 30 March 2010.

217 Ahli keluar parti

SUNGAI PETANI - Akibat sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan wakil rakyat di sini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kampung Pengkalan Lebai Man dibubarkan dan seramai 217 ahli di kampung berkenaan keluar daripada parti berkenaan, malam kelmarin.

Ketua PKR Kampung Pengkalan Lebai Man, Abdul Rahim Abdullah, 56, berkata, PKR di kampung itu ditubuhkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.

Menurutnya, selepas kemenangan PRU ke-12 berpihak kepada PKR pada 2008 lalu, pelbagai masalah berkaitan kebajikan penduduk kampung itu diadukan kepada wakil rakyat di sini, namun tiada sebarang tindakan dan perubahan dibuat.

“Lebih ketara apabila saya membuat aduan mengenai masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk kampung akibat dari pembinaan landasan kereta api berkembar di sini, namun mereka menyatakan projek itu bawah Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lalu.

“Kami penyokong PKR, namun apabila berhadapan dengan masalah pelbagai alasan diberikan dan mereka tidak mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah Penyelaras Parlimen Sungai Petani, Ali Yahaya, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam Kiri, Eng Gaik Hong, Setiausaha Badan Perhubungan MIC Kedah, TH Subra dan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Sungai Petani.

Abdul Rahim berkata, pelbagai karenah dalam parti berkenaan membuatkan mereka hilang kepercayaan terhadap pemimpin PKR di sini.

Sementara itu, Timbalan Ketua PKR Kampung Pengkalan Lebai Man, Sanathkumar berkata, dia turut berasa kecewa memandangkan PKR cawangan kampung mereka tidak pernah didaftarkan dan membuatkan perjuangan mereka selama ini seperti tidak dihargai malah wakil rakyat di sini tidak pernah turun padang menjenguk masalah mereka.

“Oleh itu, kami nekad untuk keluar daripada PKR dan membubarkan cawangan serta menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak dan BN,” katanya. - Sinar


Kelmarin 29 March 2010

700 ahli PKR keluar parti

IPOH 27 Mac - Kepercayaan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin terhakis apabila terbaru, seramai 700 ahlinya di sini akan bertindak keluar parti itu beramai-ramai, esok.

Mereka berbuat demikian bukan sahaja kerana kecewa dengan sikap dan 'cakap tak serupa bikin' para pemimpin tertinggi tentang konsep keadilan yang diperjuangkan, malah kesal dengan tindakan pemimpin parti itu yang tidak menghormati agama lain.

Ketua Pemuda PKR Ipoh Barat, V. Subramaniam berkata, kesemua mereka yang terdiri daripada ahli Pemuda bahagian itu akan mengesahkan keluar parti secara rasmi dalam satu majlis yang akan diadakan di sini esok.

''Saya jangka bukan setakat 700 orang yang telah bersetuju keluar parti esok tetapi angka itu akan meningkat kerana ramai yang telah sedar dengan apa yang berlaku," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Ketuanya, Sherol Aizam Mohd. Damanhuri; Ketua Penerangan, Mokhtar Kodin dan Setiausaha, S.Vikneswaran.

Pemuda PKR Ipoh Barat ketika ini mempunyai kira-kira 900 ahli.

Menurut Subramaniam, sikap tidak menghormati agama lain terserlah apabila Ketua Bahagian Ipoh Barat, Fauzi Muda didakwa pernah melabelkan agama Hindu sebagai 'paria'.- Utusan

Alasan yang digunakan hampir sama iaitu ‘sudah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan’ dan dalam sidang Media yang diadakan pasti akan ada wakil dari UMNO/BN..

Yang menghairankan ialah Ahli-Ahli Parti dari PAS dan PKR ini tidak pernah habis walaupun kita sering mendengar berita ahli-ahli Parti tersebut keluar Parti..

Alahai Barisan Nasional.. tak ada propaganda lain dah ka? Tak berapa jalanla propaganda macam ni…

Cuba korang buat cerita DS Anwar atau DS Wan Azizah nak keluar PKR pulak mesti haru biru punyalah ahli PKR kalau baca berita macam tu.




Dari Anak sungai derhaka

MP badut bawa malapetaka kepada BN

SEJAK dua minggu ini, ramai orang menganggap Parlimen Malaysia macam 'pasar ikan'. Tidak kurang yang mengatakan ianya macam sarkas. Puncanya kerana Ahli-Ahli Parlimen bertelagah, bertempik dan melepaskan kemarahan sehingga menyebabkan Dewan Rakyat riuh rendah.

Sejak Dewan Rakyat memulakan persidangannya 15 Mac lepas, ia menjadi medan tuduh menuduh, fitnah memfitnah dan medan melepaskan kemarahan serta geram sesetengah ahli parlimen terhadap satu sama lain.

Kekecohan bermula akibat usaha Umno-Barisan Nasional untuk mempergunakan empat Ahli Parlimen (MP) Bebas, seorang dipecat, manakala tiga lagi bertindak keluar dari KeADILan, yang 'digunakan' sebagai alat untuk menyerang Pakatan Rakyat, khususnya Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim menemui jalan buntu, akibat ditentang hebat MP Pakatan Rakyat.

Pada awalnya Umno-BN seakan-akan berpesta. Dengan bantuan media talibarut, Umno-BN menghighlightkan ucapan Dato' Zahrain Hashim (Bebas-Bayan Baru), Dato' Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) dan Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu) untuk memusnahkan kredibiliti Anwar dan memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

Usaha-usaha jahat Umno-BN ini seolah-olahnya didalangi pihak tertentu di Parlimen. Mereka mengatur wakil Bebas ini berucap sebaik sahaja pemimpin utama Pakatan Rakyat selesai berucap, walhal Bebas bukannya sebuah parti atau institusi yang penting dalam negara.

Mereka mengatur Zahrain berucap selepas Anwar. Mengatur Ibrahim berucap selepas Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan mengatur Zulkifli berucap selepas Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang).

Tindakan pihak tertentu di Parlimen menyusun atur perbahasan sedemikian rupa dibantah keras Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat. Untuk apa mereka mengutamakan wakil Bebas? Tidak lain tidak bukan semata-mata untuk dipergunakan bagi melanyak Pakatan Rakyat.

Umno-BN amat mengetahui, jika wakil mereka yang berucap menghentam Pakatan Rakyat, nescaya mereka modal mereka tidak akan laku.

Sebab itu mereka gunakan wakil bebas yang mengkhianati perjuangan Pakatan Rakyat, untuk menjatuhkan maruah serta kredibiliti pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat.

Maka sama ada secara sedar atau berkepentingan, Zahrain digunakan untuk melanyak Anwar habis-habisan dengan dakwaan Ketua Umum KeADILan itu mahu menjatuhkan kerajaan pada 16 September 2008, menggunakan nama Yang di Pertuan Agong serta Panglima Angkatan Tentera.

Malah Zahrain turut menamakan lapan orang Ahli Parlimen BN dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang didakwanya 'berunding' dengan Anwar untuk lompat ke Pakatan Rakyat. Terbaru beliau mendakwa ada 40 orang MP BN yang hendak lompat.,

Media talibarut dipergunakan sehebat-hebatnya untuk 'menelanjangkan' Anwar. Zahrain ditabal dengan hebatnya sebagai superhero oleh Umno-BN.

Segala polis dan SPRM heboh dikerah untuk menyiasat Anwar. Pergilah siasat kalau ada bukti. Bukan sahaja siasat Anwar, siasat sama Yang di Pertuan Agong, adakah baginda ada memberi perkenan kepada Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru. Siasatlah Panglima Angkatan Tentera, adalah beliau berunding dengan Anwar.

Tetapi amat malang bagi Zahrain apabila ke semua mereka yang dituduh berunding dengan Anwar itu menafikan pembabitan mereka dengan Anwar.

Malah rakan baiknya Tan Tee Beng (Bebas-Nibong Tebal) ketika ditemuramah Astro, ketika ditanya sama ada benar atau tidak dakwaan Zahrain, dari raut muka beliau jelas tidak pasti, malah yang dijawabnya mungkin benar.

Lebih malang buat Zahrain, apabila beliau dituduh pembohong oleh Dato' Seri Abdul Ghafur Salleh (BN-Kalabakan). Selain menggesa Zahrain meminta maaf dan menarik balik dakwaannya, Ghafur mendakwa Zahrain sudah 'buncit dan penuh poket'.

Zahrain sebenarnya, mahu diguna untuk memerangkap Anwar dan Pakatan Rakyat. Sebaliknya dari satu sudut yang lain, Zahrain 'tersilap' dengan memberitahu Pengerusi BN, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, bahawa ada 40 orang MP yang bila-bila masa akan mengkhianati BN!

Ha! Ha! Ha! Hilai tawa Abdullah Sani (KeADILan-Kuala Langat) memecah dewan. Amukan Zahrain tersilap langkah, bukan sahaja gagal mengganggu gugat Pakatan Rakyat, malah berjaya memecahbelahkan Umno-BN sehingga menimbulkan prasangka buruk sesama mereka sendiri.

Mana tidaknya, lapan orang MP yang dinamakan hendak 'cross' ke Pakatan Rakyat, jenuh menapis pertanyaan dan dakwaan dari parti dan pengundi mereka sendiri. Kredibiliti Zahrain sudah dimusnahkan oleh orang Umno-BN sendiri.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali. Beliau yang menerajui Perkasa, kononnya memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu, menunjukkan sikap yang amat hodoh di Parlimen.

Beberapa kali beliau melepaskan kemarahan dengan cara yang tidak bersopan. Sebelum ini segala perkataan buruk terkeluar dari mulutnya, memaki hamun MP Pakatan Rakyat, kali ini beliau berdengus dengan nada yang amat marah dan menghempaskan kertas di Parlimen.

Kehodohan sifat beliau bertentangan dengan nilai-nilai murni yang ada pada Islam dan Melayu yang hendak dijuarainya. Malah Ibrahim makin tersepit dengan dakwaan beliau ada kaitan dengan syarikat judi sebagaimana yang didedah oleh Saifuddin Nasution Ismail (KeADILan-Machang).

Walaupun Ibrahim boleh memperbetulkan dakwaan terhadap beliau, namun di atas kedangkalan sikapnya di Parlimen, segala usaha untuk menghentam dan melanyak Anwar dan Pakatan Rakyat, terus menemui jalan buntu.

Usaha Umno-BN untuk mempergunakan Zulkifli turut menemui jalan buntu. Seawal ucapannya Zulkifli diganggu dengan kesilapannya sendiri. Beliau mengaitkan ramai MP. Termasuk Wee Choo Keong (KeADILan-Wangsa Maju).

Wee bangun mencelah ucapannya, membantah namanya dikaitkan oleh Zulkifli. Begitu juga dengan Zahrain, usahanya untuk mencelah ucapan Zulkifli, bagi menegakkan dakwaan hodohnya, tidak dilayan rakan Bebasnya sendiri.

Malah ucapan Zulkifli terganggu dengan pertikaman lidah Ibrahim dengan Saifuddin, sehingga Speaker terpaksa mendamaikan mereka.

Dalam ucapannya Zulkifli mendedahkan sifat 'ularnya'. Beliau cuba untuk membela Anwar dalam kes liwatnya dan cuba memuji Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Tetapi beliau lebih banyak 'mengampu' Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor dalam isu pembunuhan Altantuya, yang didakwanya ada usaha untuk mengupahnya untuk menfitnah PM dan isteri.

Lebih jelik lagi apabila Zulkifli cuba mengampu Menteri Di JPM yang menjaga Parlimen iaitu, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz dalam isu dakwaan terbabit pembunuhan membabitkan anak Nazri.

"Eloklah Umno-BN, Najib, Nazri, polis, SPRM semua percaya cakap dia. Saya yakin habis semua kena 'kelentong'.

"Siasatlah dia (Zulkifli Noordin), dah tentu satu bukti pun mereka tak akan jumpa," kata seorang peguam yang juga bekas sahabat karib pengkhianat itu, kepada penulis.

"Tidak mengapa, lepas ini ramai orang akan keluarkan ceramah beliau yang memaki hamun Najib dan Rosmah, kita bandingkan dengan ucapan dia di Parlimen, kita bongkar pembohongannya," kata rakan facebook Rouslan.

Baru-baru ini ketika penulis berkunjung ke rumah saudara di Kulim, penulis berjumpa ramai orang-orang PAS, mereka memang menggelar beliau sebagai YB, tetapi bukan Yang Berhormat, tetapi Yang Bohong!

Apa maksud mereka, penulis tidak berapa pasti. Namun, sudah banyak orang yang 'terkena' dengan pengkhianat spesies lidah bercabang ini.

Biarlah Allah buktikan siapa yang benar, siapa yang bohong. Selepas puas memanipulasi Pakatan Rakyat, biarlah spesies' badut katak dan sesumpah' ini, 'menjual Umno-BN' pula.

Badut-badut ini sebenarnya sudah tersilap langkah. Langkah mereka sumbang semuanya. Selepas mereka keluar dari Pakatan Rakyat, tiada lagi MP yang mahu menyusul mereka, kerana takut 'dimakan sumpah'.

Segala kata-kata badut-badut ini, memakan diri sendiri. Bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat tidak mempercayai mereka, malah orang-orang Umno pun meluat dengan mereka.

Jelas, badut-badut ini hanyalah pencacai yang digunakan buat sementara sahaja. Nasib mereka ini umpama lintah yang diberi makan darah ikan keli banyak-banyak sampai gemuk. Selepas kenyang, mereka 'dimatikan'.

Kepada Umno-BN, penulis ucapkan good luck!.

Oleh Mohd Rashidi Hassan


** Jangan sampai Badut sarkas dimakan harimau sudahlah!

Pemuda MCA selar PERKASA

Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Low Chew June (gambar)menyelar Ibrahim Ali dan Ahmad Ismail sebagai "batu penghalang" perpaduan yang wajib ditolak oleh rakyat!

"Dalam Mesyuarat Agung PERKASA, Ibrahim Ali mengeluarkan hujah-hujah perkauman yang ekstrem dan menjulang keris; sementara bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Ahmad Ismail yang pernah mengeluarkan hujah 'kaum pendatang', kini bersiap sedia untuk kembali. Malah, kita tidak boleh memandang remeh sikap Ahmad Ismail yang angkuh itu, malah perlu mencegah rasisme daripada membakar semula," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.Low Chew June menyifatkan Ibrahim Ali dan Ahmad Ismail adalah penganut rasisme yang pantang melihat keamanan dan kedamaian negara. Low Chew June menganggap tindakan mereka yang ekstrem akan menjejaskan perpaduan negara, malah terpesong dari Perlembagaan Persekutuan, bercanggahan dengan gagasan 1Malaysia yang disarankan Perdana Menteri Najib Razak.

Low Chew June juga kesal dengan hujah bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad yang menurutnya "ekstrem", malah menyifatkan hujah tersebut sebagai "mengapi-apikan", menyemarakkan fahaman perkauman. "Sebagai seorang bekas PM, Mahathir seharusnya berada pada landasan yang betul untuk memupuk perpaduan rakyat demi kepentingan semua," katanya.

*Kenyataan media oleh Low Chew June selaku Timbalan Setiausaha Agung Pemuda MCA. Diterjemah dari kenyataan asal edisi bahasa Cina.

Penyertaan Ahli Umno dalam Perkasa bukti 1 Malaysia gimik politik

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat penyertaan ahli-ahli Umno dan sokongan mereka terhadap -Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) sebagai bukti jelas bahawa Umno tidak serius dalam gagasan 1 Malaysia.

Gagasan berkenaan hanyalah gimik politik bagi menarik kembali sokongan kaum-kaum bukan Melayu kepada Barisan Nasional, sedangkan dalam masa yang sama mereka menyertai dan menyokong Perkasa yang membangkitkan isu perkauman atas nama Melayu.

Sebelum ini, Kerajaan BN dan Umno berpakat mengharamkan pertubuhan Su Qiu dan Hindraf yang dikatakan pelampau Cina dan India yang menyemarakan semangat perkauman. Tetapi bila Perkasa wujud, mereka membelanya atas nama kebebasan bersuara. Di sini memperlihatkan ketidakadilan Umno dalam memberikan hak kepada semua kaum bagi menubuhkan pertubuhan. Malah Perkasa mendapat keistimewaan khas untuk menerbitkan Akhbar mereka sendiri, sedangkan media parti politik seperti Harakah dan Suara Keadilan menunggu bertahun-tahun untuk dapatkan permit.

PAS tidak menafikan hak Perkasa untuk berpersatuan atau mewujudkan organisasinya, tetapi pihak Kerajaan perlu adil dan Umno seharusnya menyatakan pendirian sebenar mereka dalam gagasan 1 Malaysia.

Pengakuan Ketua Pemuda Umno sebelum ini bahawa memang ada ahli Umno menyertai Perkasa membuktikan bahawa Umno sendiri merupakan parti perkauman.

Kehadiran Mukhriz dan Awang Adek dalam mesyuarat Agung Tahunan Perkasa baru-baru ini menunjukan pemimpin Umno memang tidak ikhlas dalam gagasan satu Malaysia dan menyokong Perkasa untuk menyemarakan kebencian antara kaum.

PAS melihat bahawa rakyat juga semakin sangsi dengan kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dilihat gagal memberikan kefahaman kepada ahli Umno terhadap gagasan 1 Malaysia. Mungkinkah wujud penentangan terhadap Najib dan gagasannya itu sehingga membuatkan ahli dan pemimpin Umno secara terbuka menyokong Perkasa.

Pas berharap agar rakyat menyedari perkara ini dan bersatu menolak pelampau perkauman ini. Pas menyeru rakyat hidup bersatu padu dengan rasa muhibbah tanpa perlu melakukan apa-apa provokasi melampau.

Kaum bukan Melayu diseru menghormati hak-hak keistimewaan Melayu yang ditetapkan perlembagaan dan Kaum Melayu diharapkan tidak mendiskriminasikan kaum bukan Melayu. Kesefahaman dan tolak ansur menjadi kunci perpaduan rakyat selama ini dan ianya perlulah dikekalkan.

Gagasan 1 Malaysia tidak perlu jika organisasi perkauman atau parti politik perkauman wujud, kerana merekalah yang sering menyemarakan rasa benci, dendam dan amarah antara kaum dinegara ini.

Hatta di diakhirat juga nanti tidak ada atas nama bangsa, samaada Melayu, cina atau India yang dijamin masuk syurga. Semua manusia sama, yang membezakannya adalah ketaqwaan kepada Allah swt.

Ustaz Idris Ahmad,
Ketua Penerangan PAS Pusat.

Nota Ucapan Anwar Ibrahim Di Parlimen Berkenaan Skandal APCO – 30 Mac 2010

Terima kasih kepada Tan Sri Speaker kerana memberi ruang kepada saya untuk memberi penjelasan mengenai peranan dan skop penglibatan firma perhubungan awam bernama APCO. Isu ini wajar diberi perhatian khusus kerana ianya bukan sekadar isu 1Malaysia atau 1Israel atau tohmahan yang dilemparkan kepada saya sebagai seorang agen Yahudi. Namun demikian, isu-isu terbabit ditenggelami jika hendak dibandingkan dengan skandal dahsyat yang bakal didedahkan hari ini; yang tidak bersangkutan dengan kedudukan mahupun reputasi saya atau pun reputasi rakan-rakan saya. Sesungguhnya keselamatan negara kita dalam bahaya. Isu ini membongkar politik kronisme yang membarah serta rundingan sulit pihak tertentu sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan negara. Tidak dapat dinafikan lagi kini wujud ancaman terhadap keselamatan nasional, maklumat strategik negara terdedah kepada agensi perisikan asing dan tercalarnya maruah umat.

Bagi mengelak sebarang keraguan penjelasan saya hari ini bukan sekadar muslihat politik atau tuduhan tidak berasas, Insya Allah, setiap kenyataan saya hari ini akan disokong dengan dokumen, rencana malah salinan perjanjian yang ditandatangani oleh pihak-pihak terbabit.

Sehingga kini Perdana Menteri belumpun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaan saya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Selama ini kita hanya dimaklumkan bahawa penglibatan APCO adalah terhad, tetapi kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kebelakangan ini menunjukkan penglibatan yang lebih menyeluruh dan membimbangkan.

Ini berdasarkan kepada jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sendiri yang menyatakan:

“Kerajaan ada melantik Syarikat APCO Worldwide Sdn Bhd untuk melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada Kerajaan Persekutuan secara menyeluruh…APCO Worldwide juga disarankan menjayakan program untuk mempromosi dan meningkatkan imej Malaysia di luar negara. ”

Manakala bagi pihak APCO sendiri, mereka merumuskan penglibatan mereka seperti berikut:

“APCO’s work has included communication support for a broad range of reform initiatives undertaken by the government of Malaysia, especially in the areas of creating jobs, promoting education, and strengthening delivery of services to the people.”

Kenyataan tersebut sebenarnya membuka pekung serta memunculkan lebih banyak persoalan. Ini bukan syarikat perhubungan awam biasa yang sekadar menulis ucapan mahupun kenyataan akhbar ataupun bertindak melonjakkan imej Perdana Menteri walau itupun amat dikesalkan kerana ianya dilakukan menggunakan dana rakyat. Dilaporkan usaha ini menelan belanja sekitar RM 20 juta. Secara sedar atau tidak kenyataan APCO mengakui bahawa lantikannya adalah untuk membantu strategi komunikasi yang menyeluruh, bermakna firma tersebut terlibat secara langsung memberi bantuan komunikasi di dalam pelbagai inisiatif dan dasar kerajaan. Ini bermakna, APCO terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mesej yang disampaikan kepada rakyat dan saya akan terangkan dengan mendalam kenapa perkara ini sangat membahayakan kepada rakyat dan negara.

Pada 18hb Mac 2010, APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan mereka dengan gagasan 1Malaysia, kononnya konsep itu wujud sebelum APCO dilantik sebagai firma perunding.

Penafian yang dibuat oleh APCO itu merupakan usaha mereka untuk mengelirukan kita akan tarikh sebenar firma tersebut terbabit dengan pentadbiran Perdana Menteri sekarang. Penafian tersebut menggambarkan bahawa ianya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan pentadbiran Dato’ Sri Najib Razak, atau Dato’ Sri Najib sendiri, pembantunya atau para penasihatnya.

Sebuah portal berita telah melaporkan pada 28 Julai 2009 setakat mana penglibatan APCO dengan pentadbiran Perdana Menteri Dato’ Seri Najib.

Antara lain, dilaporkan bahawa perkhidmatan APCO ini diperkenalkan kepada Perdana Menteri oleh Omar Mustapha, penasihat Perdana Menteri yang juga teman lama YB Rembau dan rakan kongsi firma perunding Ethos Consultancy. Saya akan buktikan selepas ini bagaimana perkaitan di antara Omar Mustapha dan APCO sebelum pun APCO dilantik secara rasmi sebagai perunding kerajaan.

Walaupun yang diumumkan kepada negara dan rakyat bahawa 1Malaysia dicetuskan sendiri oleh Perdana Menteri peranan Ethos Consultancy tidak boleh diremehkan. Ternyata kebanyakan dari kita tidak menyedari hubungan akrab eksekutif Ethos dan APCO yang masih berterusan.

Sebab itu kita tidak hairan, sebaik sahaja Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri, Omar Mustapha dikhabarkan membawa masuk APCO menjadi perunding komunikasi kerajaan.

Malah, laporan berita tersebut dengan jelas menyatakan bahawa seorang penasihat dari APCO telah pun ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak dari awal Perdana Menteri mengambil alih.

APCO juga dilaporkan terlibat secara langsung dalam menentukan strategi 100 hari pentadbirannya, termasuklah mesej dan dasar utama seperti 1Malaysia dan inisiatif yang lain.

Berdasarkan laporan tersebut juga pegawai-pegawai kanan kerajaan dikatakan tidak selesa apabila Perdana Menteri ingin menganugerahkan kontrak bernilai RM20 juta kepada APCO untuk meneruskan kerja-kerja rundingan kepada kerajaan. Kontrak itu dijangka dianugerahkan antara bulan Julai dan September 2009; iaitu selepas penglibatan individu dari APCO yang dibawa masuk pada tempoh awal Perdana Menteri mengambil alih.

Semua ini bukan saya yang kata, bukan Pakatan Rakyat yang cipta – semuanya telah pun dilaporkan sejak tahun lalu dan ianya belum pun dinafikan pihak yang dikatakan terlibat.

Sebab itu mengambil kira beberapa peristiwa atau contoh yang berlaku apabila kerajaan ditipu oleh penasihat-penasihat asing sehingga menyebabkan kerugian berbillion ringgit; atau diaibkan di peringkat antarabangsa; saya melihat episod perlantikan APCO ini sebagai satu lagi kelalaian yang boleh merugikan dan membahayakan negara.

Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk mengingatkan Perdana Menteri dan kerajaan untuk tidak mengulangi kesilapan dan kelalaian lepas apabila terlalu percayakan penasihat asing sehingga kita tidak memeriksa dengan tepat reputasi mereka serta penglibatan mereka sebelum ini. Apatah lagi perlantikan tersebut diselubungi misteri dan tanpa penelitian.

Dulu, mantan Perdana Menteri mengizinkan kerajaan melantik David Zaidner dari firma Marc Rich untuk menasihati agensi kerajaan dan Bank Bumiputra cuba memanipulasi pasaran timah sedunia sehingga kita kerugian besar. Tidak sewajarnya kita lupa skandal Maminco itu. Mantan Perdana Menteri ketika itu seolah-olah tidak meneliti dahulu rekod David Zaidner, yang diketahui umum tidak suka mengikut peraturan dan undang-undang di dalam amalannya.

Kemudian, episod yang membabitkan Jack Abramoff hanya untuk mendapatkan satu temujanji dengan Presiden Bush dalam tahun 2002 dengan membayar USD$1.2 juta tanpa memeriksa dahulu latar belakang Jack Abramoff. Dalam tahun 2006, kerajaan Malaysia dimalukan apabila Jack Abramoff didapati bersalah menipu dalam satu transaksi kewangan sehingga dipenjarakan dan pada masa itulah semua penglibatan kerajaan Malaysia didedahkan. Abramoff juga merupakan seorang pelobi yang terlibat dalam penipuan tanah kaum peribumi Amerika Syarikat(Red Indian) untuk tujuan pembinaan kasino. Perlantikan Abramoff juga dibuat dengan penuh kerahsiaan dan pasti tidak diketahui umum sekiranya Abramoff tidak diheret ke muka pengadilan di Amerika Syarikat.

Walaubagaimanapun, mantan Perdana Menteri tersebut hanya memberikan tugasan yang spesifik kepada firma Marc Rich dan Jack Abramoff dan tidak melibatkan perjalanan jentera kerajaan yang menyeluruh.

Dalam konteks inilah, kita melahirkan kebimbangan kerana kenyataan keraajaan sendiri menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat. Kenyataan APCO menyatakan:

“will work to assist in strengthening the government’s online and other strategic communication capabilities to speed the delivery of accurate information to the media and public.”

Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO.

APCO DAN MODUS OPERANDI

Tetapi sebelum kita meneliti dengan lebih dalam kenapa penglibatan APCO secara rapat dengan kerajaan merupakan satu risiko yang wajar kita elakkan, kita perlu meneliti dahulu modus operandi firma-firma seperti APCO.

Hanya dengan memahami modus operandi yang digunakan oleh APCO, baru kita boleh memahami kenapa penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia diselubungi misteri dan rahsia.

APCO memanglah sebuah firma hubungan awam bertaraf antarabangsa. Reputasinya digilap kerana penglibatan tokoh-tokoh yang ada kaitan dengan pentadbiran Amerika Syarikat atau pun ahli-ahli politik di Capitol Hill.

Pada masa yang sama, APCO juga menggunakan khidmat mereka yang mempunyai pengaruh di dalam bidang atau kerajaan masing-masing. Kalau kita lihat senarai Panel Penasihat Antarabangsanya, ahli penasihat APCO termasuklah beberapa tokoh diplomatik dan tokoh perisikan Israel.

Oleh itu, adalah penting untuk Dewan dan rakyat memahami bahawa reputasi APCO adalah sebagai sebuah firma pelobi. Apa fungsi firma pelobi di Washington?

Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik. Saya akan senaraikan selepas ini contoh-contoh pemimpin sebegini; yang secara tidak langsung kini Perdana Menteri Dato’ Seri Najib telah mendapat penghormatan kerana tergolong dengan pemimpin-pemimpin sebegini.

Untuk menjalankan tugas ini, mereka juga perlu menjaga nama dan reputasi mereka sebagai firma perhubungan awam. Sebab itu ada beberapa perkara penting di dalam modus operandi mereka yang perlu kita fahami.

Pertama – mana-mana pihak yang mengambil APCO sebagai perunding akan menandatangani perjanjian. Salah satu bahagian utama di dalam perjanjian ini adalah mengenai perkara-perkara rahsia; dengan izin “Confidentiality” atau “non-disclosure”.

Reputasi APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itu, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia. Biar saya ingatkan rakyat Malaysia tidak mudah untuk diputarbelitkan.

Mereka faham bahawa adalah menjadi sebahagian dari tugas APCO, seperti yang termaktub di dalam perjanjian lantikan bersabit perkara-perkara sulit dan rahsia; untuk melindungi klien mereka dan secara langsung menafikan penglibatan.

Saya ambil contoh dua perjanjian lantikan yang melibatkan APCO. Satu yang ditandatangani oleh kerajaan Malaysia dengan APCO bertarikh 4hb Ogos 2009 yang secara khusus memberi tugasan kepada APCO untuk membaikpulih imej kerajaan Malaysia. Ini mempunyai tandatangan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri sendiri, iaitu Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad yang menunjukkan betapa dekatnya APCO dengan Perdana Menteri – sedangkan pada kebiasaannya perjanjian kerajaan hanyalah ditandatangani oleh pegawai-pegawai kerajaan sahaja.

Satu lagi contoh adalah perjanjian lantikan oleh Kerajaan Israel yang melantik APCO untuk menjalankan tugasan yang sama, bertarikh 9hb Januari 1992. Pada jangka waktu yang sama, Ehud Barak masih berkhidmat sebagai Ketua Turus Angkatan Tentera Negara Israel.

Kedua-dua perjanjian ini dengan jelas menghuraikan peranan APCO sebagai pelobi; yang antara lain perlu menyimpan rahsia-rahsia kerajaan yang diberikan kepada APCO dalam menjalankan tugasan. APCO juga tidak boleh mendedahkan maklumat kecuali diberi keizinan oleh kerajaan Malaysia. APCO malahan terlibat dengan apa yang dipanggil sebagai komunikasi strategik yang menyeluruh.

Kita berhak menuntut kerajaan dan Perdana Menteri datang ke Dewan Rakyat dan berterus terang mengenai perjanjian yang telah ditandatangani dengan APCO – terutamanya semua soalan-soalan yang telah saya timbulkan minggu lalu mengenai tugasan, bayaran, penasihat-penasihat yang terbabit dan pengaruh mereka setakat ini.

Berbalik kepada modus operandi yang kita tekankan tadi. APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (dengan izin “associates”) di seluruh dunia. Selain Asero, firma bersekutu lainnya adalah Global Political Strategies.

Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide10 yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral. Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO.

Jadi kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata. Kerajaan boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Kalau di Israel, lantikan dibuat melalui Asero Worldwide. Contohnya, kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International. Tetapi apabila kita meneliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

Oleh sebab itu, kita perlu berhati-hati dengan penafian oleh APCO bahawa ianya tidak terlibat. APCO sebagai sebuah firma mungkin tidak terlibat dengan idea gagasan 1Malaysia – Apa mungkin Perdana Menteri hadir ke Dewan Rakyat dan menyatakan secara tegas bahawa tidak ada mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO atau firma bersekutu dengan APCO atau penasihatnya yang terlibat dengan gagasan 1Malaysia? Kita pertikai gagasan penting bagi pentadbiran sekarang tidak tergolong dengan apa yang dikira sebahagian dari komunikasi yang menyeluruh.

Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO? Perdana Menteri perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur. Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia. Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel.

Perdana Menteri juga perlu menerangkan kepada Dewan; kenapa Omar Mustapha penasihat yang dipercayai Perdana Menteri dilaporkan membawa APCO untuk menasihati kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya 1Malaysia? Tidakkah ini menimbulkan persoalan mengenai perkaitan di antara Ethos, APCO dan 1Malaysia? Manakala itu Perdana Menteri beria-ia menonjolkan Omar Musthapa sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah Petronas walaupun ditolak pada mulanya oleh Lembaga Pengarah atas alasan gagal membayar biasiswanya.

Soalan-soalan ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri, kerana kita tahu modus operandi APCO yang diselubungi degan rahsia dan melibatkan banyak individu yang bernaung dengannya tetapi menggunakan firma-firma yang berlainan.

REKOD APCO

Kebimbangan kita mengenai penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia banyak bersabit dengan rekod APCO dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

Ada dua aspek yang membimbangkan kita – pertama; APCO banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing. Sehinggakan akhbar The Times of India menulis bagaimana APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya. Rencana tersebut menyenaraikan antaranya:

“Adolf Hitler was a brilliant propagandist. Narendra Modi too believes in the power of image.

Which is probably why the chief minister hired a US lobbying firm which has serviced clients like former Nigerian dictator Sani Abacha and President-for-life of Kazakhstan Nursultan Abishuly Nazarbayev.

This Washington-based firm, Apco Worldwide, was hired by Modi sometime in August this year, in the run-up to an important Assembly election, to improve his image before the world community. Among its recent clients are Mikhail Khodorkovsky, a former Communist youth leader-turned-Russian billionaire with mafia links.”

Keduanya; mereka yang terlibat dengan APCO mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Israel serta ahli politik Amerika Syarikat yang mempunyai pandangan yang serong terhadap umat Islam.

Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?

Saya ingin kupas kedua-dua aspek dan memberikan bukti bahawa berdasarkan rekod APCO selama ini, sewajarnya kerajaan tidak melantik mereka kecualilah kepakaran yang diperlukan kerajaan adalah kepakaran menggunakan wang untuk membeli pengaruh di Washington.

Dalam tahun 2007, seorang wartawan penyiasat yang terkenal di Amerika Syarikat bernama Ken Silverstein telah menyamar untuk melantik APCO mewakili kerajaan Turkmenistan. Beliau telah melaporkan hasil siasatannya mengenai peranan dan pendekatan APCO membantu membersihkan imej diktator-diktator dunia di dalam sebuah rencana yang disiarkan di dalam Majalah Harper’s. Berikut antara pendedahan majalah tersebut:

“Apco was the first firm I contacted, because it was a natural candidate to represent Turkmenistan: it has experience working not just on behalf of authoritharian regimes in general-the dictatorship of General Sani Abacha in Nigeria, for example, which employed the firm in 1995, the same year it hanged 9 democracy activists.”

Pendedahan Ken Silverstein itu jelas menunjukkan peranan yang dimainkan oleh APCO dalam membantu pemimpin-pemimpin yang begitu buruk rekodnya. Nama-nama yang disebut di dalam pendedahan tersebut termasuklah Barry Schumacher yang juga pernah terlibat di dalam tugasan lantikan kerajaan Israel pada tahun 1992 dan Jennifer Millerwise Dyck, bekas jurucakap CIA dan jurucakap Naib Presiden Dick Cheney; yang rekodnya di dalam perang di Afghanistan dan Iraq kita semua sedia maklum.

Sekiranya YB meneliti laporan tersebut, lebih membimbangkan adalah pendekatan yang diambil oleh APCO dalam menjalankan assignment itu.

Kepada kerajaan yang melantiknya, mereka dijanjikan pertemuan-pertemuan dengan pemimpin Kongres, dialog atau seminar dengan pelbagai institusi untuk memberi imej yang amat berlainan dengan apa yang berlaku.

Kepada pemimpin Kongres dan kerajaan Amerika Syarikat, mereka akan menjaja pertemuan-pertemuan ini sebagai peluang untuk mempengaruhi kepimpinan kerajaan yang melantik mereka sebagai perunding. Tidakkan ini satu amalan yang kurang beretika kerana ia seolah-olah mengambil untung di kedua-dua belah pihak? Bukankah ini satu isu yang besar apabila ada risiko campur tangan semata-mata untuk mendapatkan pertemuan-pertemuan di Washington?

Sebab itu saya akan terangkan selepas ini risiko-risiko yang telah ditanggung oleh negara apabila Perdana Menteri dicucuk hidung oleh Omar Mustapha dan juak-juak dari Ethos untuk melantik APCO.

Senarai pemimpin-pemimpin yang menggunakan khidmat APCO untuk membaikpulih imej diktator adalah panjang dan mengejutkan.

Selain Turkmenistan, Kazakhstan dan Azerbaijan; salah seorang klien APCO yang paling terkenal adalah bekas diktator Nigeria iaitu General Sani Abacha. Mengikut laporan-laporan BBC General Sani Abacha merupakan pemimpin berkedudukan No. 4 yang paling korup di dunia. Semasa pemerintahannya, berbillion-billion dollar dilesapkan. Wang yang dilesapkan oleh orang kanannya sahaja berjumlah USD$2.5 billion.

APCO sebagai firma perhubungan awam yang terlibat dengan komunikasi strategi mempunyai misi untuk melunakkan imej Sani Abacha yang melesapkan wang negara.

Aspek kedua yang membimbangkan kita adalah kehadiran ramainya tokoh-tokoh yang berkait rapat dengan kerajaan Israel dan organisasi pertahanan negara itu termasuklah agensi perisikan sebagai perunding atau penasihat APCO.

Tidakkah tindakan Perdana Menteri melantik APCO, yang umum diketahui rapat dengan tokoh-tokoh kanan rejim Zionis, merupakan sikap kepura-puraan? Di depan rakyat, kerajaan Barisan Nasional bercakap mengenai perjuangan Palestin, mengutuk rejim Zionist malah merotan pesalah-pesalah rakyat marhaen yang lemah untuk membuktikan ia sebuah kerajaan yang menegakkan Islam – adil atau tidak itu belakang kira.

Tetapi secara senyap di belakang, tanpa pengetahuan rakyat; Perdana Menteri dinasihati secara terus dan dekat oleh sebuah firma yang ditunjangi oleh tokoh-tokoh kanan rejim Zionis? Regim yang memenjarakan Gaza dan menindas baik umat Islam dan mereka yang beragama Kristian di Palestin.

Secara khususnya, saya ingin membawa perhatian Dewan kepada tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein14. Ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel. Apa itu Agensi Keselamatan Israel?( Israel Security Agency)

ISA adalah nama rasmi kepada satu organisasi yang cukup busuk namanya di kalangan umat Islam; iaitu Shin Bet. Apa ini Shin Bet? Shin Bet adalah adik kembar kepada Mossad; iaitu agensi perisikan Israel. Bezanya – Shin Bet adalah agensi perisikan dalam negara dan Mossad adalah agensi perisikan luar negara.

Siapa lagi tokoh-tokoh kanan rejim Zionis di dalam APCO? Antaranya Itamar Rabinovich; Duta Israel ke Amerika Syarikat, salah satu jawatan terpenting dalam rejim Zionis. Ini adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan ini. Begitu juga dengan Shimon Stein iaitu mantan duta Israel ke Jerman. Kedua-dua ini merupakan jawatan diplomatik kanan buat Negara Israel. Kedudukan mereka yang kanan dalam lingkaran diplomatik memperlihatkan keupayaan mereka untuk mempengaruhi serta melobi bagi pihak APCO sekarang.

RISIKO KEPADA NEGARA

Sebab itu kita menimbulkan isu ini kerana ia melibatkan keselamatan dan reputasi negara serta maruah umat.

Kita jelas mengapa kita bangkitkan isu ini. Ianya kerana kita mempertikaikan tindakan kerajaan menganugerahkan kontrak perkhidmatan puluhan juta ringgit kepada sebuah syarikat yang mana ada dari kalangan eksekutif kanannya pernah memegang jawatan tinggi dalam organisasi seperti Shin Bet dan Kerajaan Israel. Kita khuatir kerana pentadbiran Dato’ Sri Najib seperti tidak runsing dan gundah mengambil sebuah firma yang tercemar dengan rekod berkhidmat untuk para diktator dan petindas. Sikap membisu Perdana Menteri pastinya mengundang pelbagai kemusykilan serta persoalan.

Membicarakan persoalan seperti komunikasi menyeluruh, pastinya ia berkait rapat dengan Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Penerangan dan banyak kementerian lainnya. Maknanya APCO mempunyai akses/terdedah kepada jaringan strategik serta penting dan pastinya memberi kesan kepada keselamatan negara. Melantik organisasi asing yang mempunyai rekod seperti APCO, lalu mengamanahkannya dengan tanggungjawab besar serta kemudahan sedemikan rupa pastinya menggadai kepentingan negara. Oleh kerana itu saya menggesa kerajaan agar segara membatalkan kontrak perkhidmatan dengan APCO dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat skandal yang memalukan ini.

———

*Ini bukan sebahagian dari ucapan. Sekadar penilaian dan perbandingan berhubung persamaan di antara 1Malaysia dan 1Israel:

- 1Israel adalah parti gabungan yang dipimpin oleh Ehud Barak yang menang pilihanraya Israel pada tahun 1999. Ia pada asalnya mengumpulkan Parti Buruh, Gesher dan Meimad dan kemudiannya bergabung dengan parti-parti agama Yahudi dan sayap kanan seperti Shas, Meretz dan beberapa parti lain.

- 1Israel menandakan beralihnya dasar Parti Buruh menjadi lebih keras dan bersayap kanan; dengan kemasukan parti-parti lain di dalam gabungan. Ia merupakan gabungan pilihanraya yang mengumpulkan parti-parti perkauman bersayap kanan yang berbeza ideologi dan kepentingannya.

- Sebab itu pendekatan yang diambil oleh Ehud Barak adalah dengan menumpukan kepada perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh 1Israel kepada rakyat untuk mengalih perhatian pengundi daripada perbezaan ideologi parti-parti di dalam 1Israel.

- Platform 1Israel menjanjikan perkhidmatan-perkhidmatan yang lebih baik terutamanya di dalam pendidikan dan kesihatan yang terpampang di papan tanda besar.

- Mesej-mesej yang konsisten di papan tanda besar ini adalah tumpuan 1Israel untuk mendahulukan rakyat; dengan mendahulukan perkhidmatan seperti pendidikan dan kesihatan sebelum meluaskan kawasan penempatan Israel.

- Jadi mesej 1Israel adalah “rakyat didahulukan”, mesej 1Malaysia adalah “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”.

-Satu lagi inisiatif utama kerajaan 1Israel adalah dengan merombak sistem kesihatan. Di bawah 1Israel, fungsi Kementerian Kesihatan diubah dengan menjadi perancang dan mengurangkan penekanan kepada rawatan wad dan hospital – sebaliknya rakyat digalakkan mendapatkan rawatan pencegahan sebelum ke hospital; sama ada di klinik atau dengan ubat-ubatan yang diberikan.

- Maka 1Israel penekanannya adalah klinik, di Malaysia kita ada Klinik 1Malaysia.

- Selain itu di bawah 1Israel pelbagai tabung, yayasan dan kempen dilancarkan secara bertubi-tubi; semuanya di bawah payung 1Israel. Begitulah juga di Malaysia tiap-tiap hari kita disuap dengan pelancaran, yayasan (contohnya Yayasan 1Malaysia), tabung, kampung dan pelbagai lagi – semuanya konsep 1Malaysia.

Najib Gentar Hadapi Sidang Tergempar Parlimen

Keengganan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengadakan sidang tergempar Parlimen bagi membincangkan tuntutan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap pertuduhan konspirasi terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang dijangka.

Ini mengesahkan ketakutan Najib dalam mendepani hujah Ahli Parlimen Pakatan Rakyat jika sidang tergempar itu menjadi realiti, sebaliknya Najib lebih rela bermuka-muka apabila berdepan pimpinan masyarakat antarabangsa.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang juga Naib Presiden PAS menyifatkan keengganan Najib itu menunjukkan Perdana Menteri itu sanggup berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa.

Tetapi persepsi orang melihat ini konspirasi politik yang membabitkan dirinya sendiri. Membabitkan Najib sendiri. Dia sudah tentu la akan membuat penafian. Mana ada seorang pencuri mengaku pencuri?

Dia akan bersumpah dengan nama Allah. Dengan menjunjung Quran di masjid dan sebagainya. Dia takkan mengaku,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau menganggap sidang tergenpar itu sebagai perkara yang wajar kerana negara dilanda krisis kepercayaan baik masyarakat dalam negara mahupun antarabangsa.

Jadi, sepatutnya ada satu sidang khas untuk membincangkan perkara ini. Ini bukan lagi perbicaraan yang berasaskan undang-undang tapi perbicaraan ini berasaskan kepada konspirasi politik.”

Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang yang mencadangkan sidang tergempar itu pula menyifatkan keengganan Najib itu, menyebabkan Parlimen Malaysia langsung tiada ketetapan dalam isu yang menarik perhatian dunia itu.

Tapi kita semua tahu ini adalah satu isu politik. Sebab itu ia dapat penumpuan perhatian bukan sahaja rakyat malaysia tetapi masyarakat anatarabangsa,” kata Penasihat DAP itu.


Dari TV Selangor

Selasa, 30 Mac 2010

Perjanjian dengan APCO sebelum konsep 1Malaysia dilancarkan

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Isreal, APCO Inc, sebelum konsep 1Malaysia diperkenalkan.

Beliau turut mengemukakan dua perjanjian untuk menyokong dakwaannya - satu perjanjian antara APCO dan kerajaan Malaysia. Yang satu lagi ialah perjanjian antara kerajaan Israel dengan APCO ketika Ehud Barak mengetuai angkatan tentera Israel.

Kedua-dua perjanjian ini menghasilkan konsep 1Malaysia dan One Israel.

Katanya lagi, kontrak dengan APCO ditandatangani pada 4 Ogos 2009 dengan tugas khusus untuk memperbaiki imej Malaysia di luar negara.

"Ini aneh bagaimana kerajaan tandatangan dengan syarikat. Ia disaksikan setiausaha akhbarnnya sendiri, Datuk Sharifuddin Ahmad. Biasanya (kontrak) ditandatangi oleh pegawai kerajaan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menuntut supaya kerajaan segera membatalkan kontrak perkhidmatan APCO Inc dan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi menyiasat skandal yang disifatkan sebagai mencalar maruah negara.

Ahli parlimen Permatang Pauh itu membuat penjelasan demikian di dewan rakyat hari ini sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan Datuk Abd Rahman Dahlan (BN-Kota Belud) di bawah perkara 37(1) yang dibacakan sekali dengan perkara 36(12) peraturan mesyuarat minggu lalu.

Timbalan speaker Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar kemudiannya berkata, usaha untuk merujuk Anwar ke jawatankuasa itu perlu dibuat secara usul untuk dijadikan sebagai salah satu daripada aturan mesyuarat.

Menurut Anwar, sebelum APCO beroperasi sepenuhnya di Kuala Lumpur, tokoh-tokoh pentingnya sudah bertugas untuk kerajaan Malaysia di bawah syarikat Mindteam Sdn Bhd.

Paul Stadlen yang menjadi pengarah Mindteam kini adalah CEO kepada APCO di Kuala Lumpur manakala Margaret Kraus adalah CEO APCO Worldwide.

Sekarang CEO APCO adalah individu yang banyak terlibat dalam banyak urusan di Israel,” kata Anwar.

Anwar mendedahkan syarikat APCO Worldwide merupakan sebuah firma pelobi yang ditugaskan untuk membaiki imej pemimpin yang rasuah dan buruk dari segi hak asasi.

"Apa fungsi firma pelobi di Washington? Selalunya mereka akan mengaturkan perjumpaan atau seminar untuk membaiki imej sesebuah organisasi; terutamanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi atau rasuah yang buruk di mata dunia.

"Jadi, fungsi utama mereka adalah untuk membaiki imej pemimpin-pemimpin (atau badan-badan) yang mempunyai rekod yang tidak baik," katanya.

Tambahnya , khidmat APCO juga digunakan oleh Israel pada 1992 oleh perdana menterinya Ehud Barak bagi menjayakan 'One Israel'.

Manakala Malaysia pula menggunakan khidmat APCO bermula 4 Ogos 2009 dengan bayaran kira-kira 20 juta ringgit.

Beliau juga membawa satu laporan portal berita yang mendakwa APCO diperkenal kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak oleh penasihat Najib, Omar Mustapha melalui sebuah syarikat perunding Ethos & Consultancy.

"Seorang penasihat APCO ditempatkan di pejabat Perdana Menteri sejak awal Perdana Menteri ambil alih jawatan.

"APCO juga didakwa terlibat secara langsung dalam menentukan pentadbiran 100 hari Najib seperti gagasan 1Malaysia," katanya lagi.

Menurut Anwar, sehingga kini Najib belum pun memberi sebarang maklum balas terhadap gesaannya agar segera mendedahkan serta memperincikan bentuk hubungan di antara kerajaan dan APCO, apa skop tugasannya, jumlah peruntukannya, setiap penasihat yang terbabit; peranan serta pengaruh mereka dalam kerajaan.

Apa yang dibimbangi jelasnya kenyataan APCO sendiri yang menjelaskan bahawa mereka memainkan peranan penting membentuk strategi komunikasi kerajaan dalam dasar-dasar penting terutamanya yang melibatkan rakyat.

"Sekarang, kebimbangan kita bukan sahaja latar belakang APCO, tetapi bentuk penglibatan APCO dengan kerajaan Malaysia dan apakah maklumat yang telah dikongsi oleh kerajaan dengan APCO," katanya lagi.

Beliau juga mendedahkan tiga tokoh utama Israel di dalam APCO iaitu Doron Bergerbest-Eilon, Ittamar Rabinovich dan Shimon Stein di mana ketiga-tiga tokoh ini adalah tokoh kanan rejim Zionis.

Doron Bergerbest-Eilon adalah Ketua Bahagian Keselamatan dan Perlindungan, Agensi Keselamatan Israel (Israel Security Agency).

Itamar Rabinovich adalah Duta Israel ke Amerika Syarikat, dan Shimon Stein adalah bekas duta Israel ke Jerman.

Menurut Anwar kedua-duanya adalah jawatan diplomatik paling kanan dan hanya tokoh paling kanannya sahaja yang menjawat jawatan tersebut.

Selain mendedahkan modus operandi APCO, Anwar juga memberitahu APCO sebagai firma pelobi banyak bergantung kepada kemampuannya menangkis soalan-soalan mengenai peranan dan penglibatannya dengan badan yang melantiknya, terutamanya pemimpin-pemimpin yang berimej buruk ini.

Sebab itulah jelasnya, tidaklah sukar untuk Barisan Nasional ingin mengabui mata rakyat dengan meminta APCO mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan dalam 1Malaysia, atau peranan sebenar dengan kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Anwar seterusnya mendedahkan APCO dalam operasinya membentuk pertalian dengan kerajaan-kerajaan yang melantiknya menggunakan firma bersekutu (associates) di seluruh dunia seperti Asero dan Global Political Strategies.

"Di Israel, salah satu firma bersekutu adalah Asero Worldwide yang diketuai oleh Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel dengan berpangkat Mejar Jeneral.

"Beliau juga adalah salah seorang penasihat antarabangsa kepada APCO," tambahnya lagi.

Sehubungan itu jelasnya, kontrak-kontrak yang melantik APCO tidak semestinya di antara APCO dan kerajaan semata-mata.

Kerajaan katanya boleh sahaja melantik firma bersekutu APCO tetapi tenaga pakar dan jaringan penasihatnya serta jaringan sekutunya adalah dari APCO.

Beliau mengemukakan contoh negara Israel, yang mana lantikan dibuat melalui Asero Worldwide.

Kontrak lantikan bertarikh 9hb Januari 1992 itu adalah di antara kerajaan Israel dan sebuah firma bersekutu bernama GCI International.

Namun jelasnya apabila diteliti kandungan perjanjian tersebut termasuk tenaga utama yang akan menjalankan tugas-tugas melobi, salah seorang pengurus kanannya adalah Margery Kraus yang kini merupakan CEO APCO.

"Bolehkah Perdana Menteri menerangkan adakah sebelum Ethos atau Omar Mustapha; yang dikatakan bertanggungjawab membawa gagasan 1Malaysia bagi pertimbangan Perdana Menteri; Omar Mustapha atau mana-mana eksekutif Ethos tidak mempunyai apa-apa hubungan langsung dengan mana-mana individu yang ada kaitan dengan APCO?

Perdana Menteri juga jelasnya perlu menerangkan adakah kerajaan atau Ethos atau mana-mana firma yang dilantik kerajaan; pernah melantik Mind Teams Sdn Bhd iaitu nama syarikat sebelum APCO secara rasmi bertapak di Kuala Lumpur.

"Paul Stadlen yang kini mengetuai APCO di Kuala Lumpur merupakan individu sama yang menandatangani perjanjian bagi pihak Mind Teams Sdn Bhd dengan Kerajaan Malaysia.

"Antara pengarahnya juga adalah Margery Kraus; CEO APCO dan invidu penting yang terlibat dengan akaun di Israel", jelasnya lagi.

Rekod APCO katanya menunjukkan hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin yang mempunyai rekod hak asasi manusia atau penyelewengan harta rakyat di seluruh dunia.

APCO katanya lagi, banyak memberi khidmat untuk memulihkan imej pemimpin-pemimpin sebegini yang menindas rakyat di negara masing-masing.

Tambahnya lagi, akhbar The Times of India menulis APCO mempunyai diktator-diktator di dalam senarai pelanggannya .

Rencana tersebut menyenaraikan antaranya Adolf Hitler, Narendra Modi, Sani Abacha, Nursultan Abishuly Nazarbayev dan Mikhail Khodorkovsky yang didakwa ada kaitan dengan mafia.

"Soalan saya kepada Perdana Menteri – jika ini reputasi dan rekod APCO yang diketahui umum; apakah mesej yang ingin disampaikan kepada rakyat melalui perlantikan APCO sebagai perunding kerajaan?

"Apakah pentadbiran Perdana Menteri mengakui bahawa Perdana Menteri dan partinya Umno adalah setaraf dengan rejim-rejim diktator di dunia; sehinggakan khidmat APCO yang selama ini membaiki imej diktator perlu digunapakai?" soalnya lagi.

APCO dan Najib di sebalik tirai perhubungan awam

Hari ini Selasa, 30 Mac 2010, ahli-ahli parlimen Barisan Nasional sedang bersedia untuk menyembelih Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung ulasannya terhadap APCO. Ahli-ahli parlimen ini mungkin berfikir mereka melakukan hal yang betul dengan mempertahankan Najib dan syarikat perundingnya yang hebat itu.

Dalam fikiran kebanyakan ahli parlimen BN, mempertahankan kerajaan sama dengan mempertahankan tanahair. Dengan logika songsang yang sama, orang yang mengkritik kerajaan semudahnya digelar pengkhianat Malaysia.

Saya dengan berlapang dada, mengajak kawan-kawan di sebelah sana untuk berfikir dengan lebih jauh lagi, melihat dengan lebih dalam lagi. Sebetulnya, ianya tidaklah terlalu sukar untuk mencari kaitan hubungan APCO dan Israel.

Namun sebelum saya pergi lebih jauh lagi, saya perlu menerangkan bahawa perbincangan ini tidak ada kena mengena dengan “persoalan tentang Yahudi.” Ada perbezaan yang cukup luas di antara menjadi Yahudi dan menganut ideologi Zionisme.

Rakyat Malaysia selalu berbangga dengan mengisytiharkan kebersamaan terhadap rakyat Palestin yang tertindas. Kita juga mengekalkan dasar luar negara yang bebas dan memiliki rekod panjang melatakkan komitmen pada prinsip dan perjuangan Gerakan Negara-negara Berkecuali.

Dalam konteks ini, apakah teramat sukar untuk memahami bagaimana Perdana Menteri membayar khidmat firma yang terkenal dengan hubungan gelapnya dengan gerakan Zionisme antarabangsa? Kenapa perlu kita percaya sebuah syarikat dengan agenda Zionis mengendalikan hubungan komunikasi strategi Malaysia?

Ia bukan hanya sekadar sebuah syarikat Yahudi

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menimbulkan beberapa kritikan di parlimen berkenaan persamaan di antara slogan 1 Malaysia dan 1Israel. Beliau juga mencabar kerajaan untuk menjelaskan perbelanjaan berjumlah RM23 juta wang pembayar cukai kepada APCO.

Terdapat juga persoalan tentang kenapa Najib dan kerajaannya tidak melibatkan firma perhubungan awam tempatan bagi menjalankan kerja hubungan komunikasi tersebut?

Menurut kenyataan APCO sendiri, tanggungjawabnya meliputi ruang lingkup yang cukup lebar melangkaui komunikasi “tugas APCO termasuklah dokongan komunikasi terhadap usaha-usaha reformasi yang luas yang sedang diambil kerajaan Malaysia, terutamanya dalam bidang mencipta peluang pekerjaan, mempromosikan pendidikan serta memperkasa penyampaian khidmat kepada rakyat.”

Malahan, ianya cukup aneh bahawa penjelasan ini tidak datang dari Najib ataupun Pejabata Perdana Menteri.

Asas utama Pakatan Rakyat menimbulkan perkara ini bukanlah untuk meraih sokongan politik tetapi kerana keprihatinan yang jujur berhubung soal keselamatan negara.

APCO Worldwide berpusat di kota Washington DC dan memiliki 23 buah pejabata di seluruh dunia termasuklah di Tel Aviv, Israel. Menjadi pengetahuan umum orang-orang penting dan penasihat APCO berhubung kait dengan Zionis Israel, seperti Shimon Shein (bekas Duta Israel ke Jerman), Itamar Rabinovich (bekas duta Israel ke Amerika Syarikat),

Kita mungkin berkata habis itu apa?

Namun APCO tidak boleh menafikan operatornya di Tel Aviv memiliki hubungan rapat dengan bekas Perdana Menteri Israel Yishak Rabin. APCO di Israel mengendalikan kerja-kerja pembangunan strategik dan berbagai bentuk komunikasi untuk syarikat korporat ataupun organisasi kerajaan.

Selanjutnya, perhubungan di antara Israel dan APCO lebih dari sekadar memiliki pejabat di Tel Aviv. Kegiatan APCO di negara Zionis melampaui sektor orang awam. Perlu diingatkan anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO Doron Bergerbest-Eilon,merupakan bekas ketua keselamatan untuk kerajaan Israel

APCO dan ASERO

Hubungan APCO dengan pelbagai projek risikan dan berkait keselamatan dilakukan menerusi hubungan strategik dengan syarikat saudaranyaASERO Worldwide. Kepakaran APCO adalah dalam bidang komunikasi, manakal ASERO pula pakar dalam keselamatan dalam negeri dan perunding pengurusan risiko.

APCO dan ASERO mempunyai anggota perunding dan pengurusan yang bertingkah keahliannya. Misalnya Doron Bergerbest-Eilon yang duduk sebagai anggota Majlis Penasihat Antarabangsa APCO merupakan orang yang terlibat menubuhkan dan menjadi presiden ASERO Wordlwide.

Doron Bergerbest-Eilon, seorang bekas pegawai kanan keselamatan dalam Israeli Security Agency (ISA). Dia merupakan bekas ketua bahagian perlindungan dan keselamatan dan menjawat pangkat yang lebih kurang sama dengan mejar jenderal. Dedikasinya terhadap agensi perisikan Israel membawa dirinya dianugerahkan Pingat Penghargaan Pengarah oleh Agen Perisikan Amerika Syarikat.

Mara Hedgecoth, anak perempuan Ceo APCO dan Presiden Margery Kraus turut menjawat jawatan dalam ASERO sebagai Naip Presiden. Dalama masa yang sama Mara Hedgecoth turut berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Pengarah APCO Worldwide.

Naib Presiden Kanan ASERO, Carl Truscottmerupakan sosok tubuh yang tercalar imejnya sewaktu dibawah pentadbiran Bush. Carl Truscottmerupakan bekas Pengarah Biro Alkohol, Tembakau, Senjata Api dan Bahan Letupan Amerika Syarikat.

Tetapi dia melatakkan jawatan pada Ogos 2006 setelah terbit laporan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat yang mendapati dia telah membazirkan ribuan dollar dengan berbelanja mewah, membazirkan jutaan dolar dengan keputusan-keputusan sesuka hati serta melanggar piawaian dengan mengarahkan pekerjanya membantu anak saudaranya dalam projek video di sekolah tingginya.

Hubungan dengan Israel

ASERO Worldwide menasihati agensi awam dan tentera Israel dalam hal cabaran strategi dan taktik keselamatan serta menyediakan bantuan terhadapkerajaan dan pihak korporat bagi menyediakan, meringankan dan memulihkan daripada ancaman keganasan dan risiko bahaya lainnya, juga melindungi penghidupan dan aset penting serta memastikan penerusan operasi.

Kakitangan ASERO dipenuhi dengan rekrut daripada Agensi Keselamatan Israel (juga dikenali sebagai Shabak atau Shin Bet) dan juga Mossadyang cukup terkenal itu. Seperti yang kita tahu prosedur piawaian operasi agensi ini dalam menghalang keganasan (counter terrorism) termasuklah dengan menyiksa orang yang dituduh, pembunuhan dan lain-lain lagi.

Pada tahun 2006, APCO dan ASERO memperkenalkan – Pentadbiran Pengangkutan Keselamatan – Transportation Security Administration (TSA) kepada kerajaan Israel, dan membantu membangunkan sistem keselamatan lapangan terbang Israel – Sistem Pengesan Orang Yang Disyaki – Suspect Detection Systems. TSAdireka oleh John Magaw, salah orang perunding kanan yang pernah menjadi pengarah Agensi Perisikan Amerika Syarikat.

Hubungan dengan Singapura

Bukan lagi rahsia bahawa Israel dan Singapura menjalin hubungan tersembunyi dalam kerjasama luar biasa di bidang pertahanan dan perisikan. Kerjasama antara dua buah negara ini dapat dijejak sejak tahun 1960 an lagi/

Di kalangan pengarah kanan dan pegawai pengurusan ASERO, satu-satunya orang yang bukan warga Amerika Syarikat dan warga Israel merupakan warga Singapura.

ASERO dan APCO menyediakan khidmat rundingan terhadap keselamatan dalam negeri Singapura, membantu Singapura dengan khidmat teknikal dan risikan dalam hal ehwal keselamatanruang udara dan angkasa. Khidmat dan kepakaran mereka talah memudah cara perpindahan pantas teknologi keselamatan dan ketenteraan Israel e Singapura.

Kedua-dua syarikat ini juga terlibat dalam mempromosikan penglibatan Israel dalam kerjasama dan penyelidikan berjangka panjang dalam bidang strategik yang mempunyai implikasi keselamatan dan ketenteraan. Antara isntitusinya adalah Yayasan Kajian dan Penyelidikan Industri Singapura-Israel (Singapore-Israel Industrial R&D Foundation - SIIRD) yang ditubuhkan pada tahun1997.

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ASERO aktif terlibat dalam banyak kegiatan pencegahan keganasan (counter terrorism). Di atas nama pertukaran akdemik, ASERO telah ikut terlibat dengan Pusat Sains Tingkah Laku (Centre of Behavioral Science - CBS).Matlamat CBS adalah untuk berkhidmat sebagai “platfom untuk perpindahan dan pertukaran idea-idea dan pengetahuan terkini yang akan menyumbang kepada perubahan hidup individu, organisasi dan juga masyarakat.”

1-Malaysia dan slogan Satu Bangsa

Dalam latar belakang ini, terdapat banyak sebab mengapa rakyat Malaysia yang patriotik perlu mempersoalkan kebijaksanaan mengambil khidmat APCO itu. Cukup terang, APCO tidak berkongsi wawasan yang sama tentang pembinaan bangsa(nation). Tidak juga menghairankan untuk APCO tidak berkongsi hasrat, wawasan dan matlamat pembinaan negaa kami. Sebab itulah slogan 1Malaysia tidak bersambut dalam konteks rakyat tempatan.

Fakta sejarah menunjukkan 1-Malaysia berbunyi seperti berbagai “gerakan Satu Bangsa” di seluruh dunia. Malangnya selogan Satu Bangsa tidak dapat dielakkan dikaitkan dengan kecenderungan konservatif.

Seperti yang kita ketahui, slogan Satu Israel merupakancubaan yang gagal untuk menyatukan suatu lanskap politik yang terpisah-pisah. Kemudian ada pula “One Britain” yang menjadi tema kempen ahli-ahli politik pelampau puak kanan parti Konservatif UK dan kumpulan-kumpulan anti penghijrahan orang luar ke dalam negara.

DI Australia, bekas perdana menteri John Howardmerangka dasar One-Australia pada tahun1980an. Maksudnya One-Australia membawa makna anti keragaman budaya dan mendesak Australia mengekalkan penguasaan orang kulit putih Anglo-Saxons.

Slogan One-Australia perdana menteri Howard kemudiannya diangkat oleh ahli politik rasisPauline Hanson yang menubuhkan One-Nation Party. Satu-satunya platfom parti ini berpandukan retorik dan dasar anti orang luar dan anti penghijrah.

Menyerahkan Kedaulatan Malaysia

Setahun selepas dilancarkan, konsep 1-Malaysia masih lagi terlalu kabur buat kebanyakan rakyat Malaysia. Meskipun slogan tersbeut telah menghasilkan caka-cakap dan kegiatan tetapi ia langsung kosong isi pemikirannya.

Malah, rakyat Malaysia tanpa mengira etnik sama-sama kehilangan arah dalam mentera retorika ini. Kesan rasa selamat tidak cukup untuk menutup kekecewaan terhadap tiadanya tindakan dalam menangani isu sebenar yang memberi kesan terhadap bangsa dan negara seperti rasuah, menurunnya proruktiviti, kemiskinan, perpaduan nasional dan lainlain.

Keprihatinan kami bukan sahaja soal pembaziran wang pembayar cukai dalam perbelanjaan pengiklanan yang menakjubkan, papan tanda,lagu, konsert, pertandingan menulis esi dan lain-lain lagi. Kita mesti melihat kepada paling asasi sejauhmana selamatnya negara apabila kita dengan secara sukarelanya mendedahkan struktur kakitangan pegawai kerajaan terhadap firma swasta dengan kepentingan asing yang cukup kuat?

Dalam menjalankan tugasnya, APCO telah diberikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif milik kerajaan yang saya percaya kebanyakan rakyat Malaysia.dinafikan hak untuk mendapatkan bahan-bahan sensitif tersebut.Maka sungguh cetek dan lurus bendul lah kita untuk percaya APCO akan mengendalikan rahsia negara secara profesional, khusunya apabila kita sedang berkonflik dengan kuasa global.

Saya berharap ahli-ahli parlimen dan para pemimpin BN memberi perhatian dalam isu yang amat serius ini. Jika kamu benar-benar patriotik, bangun sekarang. Tolonglah jangan serahkan nasib Malaysia ke tangan kuasa asing.

----------------------------------------------------------------
Tian Chua adalah Ahli Parlimen Batu dan Pengarah Strategik PKR.

Isnin, 29 Mac 2010

Tak layak jadi pemimpin, Gerakan selar hujah Mahathir

Naib Presiden Parti Gerakan, Teng Hock Nan berpandangan bahawa Mahathir Mohamad mengambil kesempatan untuk mengkritik gagasan 1Malaysia oleh PM Najib Razak ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKASA. Untuk Teng Hock Nan, ucapan bekas Perdana Menteri ini adalah keras, malah sarat dengan retorik perkauman yang amat memualkan.

Tuduhan Mahathir bahawa "tuntutan bukan bumiputera semakin melampau" dianggap Teng Hock Nan (gambar atas) sebagai tuduhan yang tidak berasas. Ini kerana gagasan 1Malaysia memberi jaminan agar semua warga Malaysia menerima layanan yang adil dan saksama, tanpa mengira kaum dan agama.

Malah, beliau berkata hujah Mahathir Mohamad akan dibidas DAP dan PKR, yang akhirnya memanfaatkan kedua-dua parti ini. Malah, ia tidak memberi kesan kepada asas sokongan politik terhadap PAS.

Teng Hock Nan menambah, PERKASA adalah satu pertubuhan yang berasaskan ekstremis perkauman dan fahaman agama yang radikal. Jelas, pertubuhan ini mengingkari konsep 1Malaysia yang menyarankan toleransi, mesra dan berbaik-baik antara satu sama lain.

"PERKASA adalah sebuah pertubuhan NGO, mereka berhak untuk menghambat visi dan matlamatnya. Malah, warga Malaysia yang bersetuju dengan ideal mereka, bebas untuk menyertai mereka."

Tetapi Teng Hock Nan membidas tindakan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali untuk menjulang dan menguncup keris, kerana ia mencerminkan pertubuhan ini adalah penggerak fahaman perkauman yang tidak bermakna.

Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana UMNO dan ramai pemimpin menjarakkan diri dari PERKASA.

"Ini juga membawa makna bahawa pimpinan PM baru Najib bertekad untuk membina sebuah parti yang berhemah, sederhana, tetapi mampu mempertahankan hak kepentingan orang Melayu. Di bawah Perlembagaan Persekutuan, Najib juga menjamin layanan yang adil dan saksama terhadap semua warga Malaysia."

Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang ini juga yakin bahawa, seandainya UMNO terus menunjukkan tekadnya untuk memperbaharui partinya, dan berjanji untuk menjamin kepentingan semua orang Malaysia, maka Gerakan percaya parti ini akan diterima dan disokong oleh rakyat Malaysia yang sederhana dan bijaksana.

"Selagi UMNO bertekad untuk berubah, dan menekankan kesederhanaan, berusaha untuk mempertahankan hak dan kepentingan semua kaum, maka Gerakan akan terus memberi sokongan kepadanya," kata Teng Hock Nan.




*Kenyataan media oleh Teng Hock Nan, selaku Naib Presiden Gerakan merangkap Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang. Diterjemah dari kenyataan media edisi bahasa Cina.

Kejayaan unik Zaid memecah mitos Melayu lama

Saya rasa penuh penghargaan apabila Zaid Ibrahim (gambar bawah) meminta saya untuk melancarkan buku versi bahasa Mandarin beliau bertajuk "Saya juga Melayu". Buku ini menceritakan kisah pencapaian unik Zaid, yang membuatkannya menarik untuk dibaca.

Zaid adalah budak kampong dari Kelantan. Bapanya bergerak ke sana sini dengan menunggang basikal kerana mereka tidak memiliki kereta.

Pada peringkat pendidikan awal di Kota Bharu, beliau belajar di Sekolah Rendah Sultan Ismail dan menyertai Kolej Sultan Ismail pada usia 13 tahun. Beliau minat membaca dan tahu cara memilih sekolah yang bersesuaian dengannya.
Kemudian beliau memilih untuk belajar di "English College" di Johor Bharu, satu perubahan besar bagi seorang budak kampong dari Kota Bharu.
Beliau memilih kolej itu kerana ia merupakan kolej terbaik dan terdapat percampuran pelajar-pelajar berbilang bangsa.

Tambahan pula ia hampir dengan Singapura, pusat tumpuan ramai.
Dari sana, dengan bantuan biasiswa beliau melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) di Kuala Lumpur, lulus dalam bidang undang-undang.

Dengan ijazah dari Mara, beliau pergi ke London untuk menduduki peperiksaan BAR. Karier beliau dalam bidang undang-undang bermula dengan baik apabila beliau menubuhkan firmanya, Zaid Ibrahim & Co.

Dengan bekerja keras dan memiliki nilai keusahawanan yang tinggi, beliau memperolehi kontrak besar dari PLUS. Daripada situ, beliau terus mencapai peningkatan demi peningkatan sehingga firma beliau menjadi firma guaman terbesar di negara ini.

Although at the top of his profession, Zaid was not ready to rest on his laurels. His intelligence and quest for new challenges led him into politics which was in a political ferment.

Walaupun sungguh sampai d puncak kariernya, Zaid tidak bersedia untuk berehat. Kepintaran dan keinginannya untuk menghadapi cabaran-cabaran baru membuat beliau menceburi bidang politik. Gamitan politik membuat beliau pertamanya menyertai PAS.

Kemudian beliau menyertai Umno dan dilantik sebagai Menteri Undang- Undang dengan tugas untuk mereformasikan institusi kehakiman.

Bagaimanapun beliau tidak dapat menerima sokongan Perdana Menteri kepada ISA dan pendirian beliau menentang kes rasuah videotaip Lingam dalam sistem kehakiman yang sudah tercemar.

Ini membuktikan bahawa beliau bukanlah sebarang orang tetapi seorang insan yang mempunyai nilai prinsip dan kewibawaan yang tinggi.

Kini beliau bersama Pakatan Rakyat dan saya fikir beliau bergembira berada dalam golongan masyarakat ini, kumpulan yang mempunyai objektif yang sama, bekerjasama untuk negara yang lebih baik untuk faedah semua rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, Zaid Ibrahim merupakan seorang budak Melayu yang ‘typical’. Beliau dibesarkan di sebuah kampong di Kelantan. Keluarganya miskin dan tidak memiliki kereta. Beliau mendapat pendidikan yang baik di sekolah dan kolej kerajaan.

Mara membuat beliau menjadi seorang peguam.

Selepas itu, beliau berdikari, hidup berasaskan keazamannya dan membina firma peguam yang terulung. Beliau diberi tugas sebagai menteri dan mengembalikan semula jawatan itu atas dasar prinsip. Tetapi sekarang ini beliau bergerak dalam kumpulan pembangkang untuk tujuan yang murni – keadilan, demokrasi dan ketelusan.

Beliau memecahkan mitos tradisi atau kepercayaan lama bahawa orang-orang Melayu biasanya mundur, berpeluk tubuh, malas, tiada inisiatif dan bergantung kepada pemberian orang lain.

Zaid membuktikan bahawa orang-orang Melayu adalah bijak, minat belajar untuk menimba ilmu pengetahuan, dinamik dan mampu bekerja keras.
Ramai orang-orang Melayu yang telah menjadi profesional, usahawan dan pemilik perniagaan. Juga terdapat golongan kelas pertengahan Melayu yang ramai bilangannya.

Anggapan bahawa orang-orang Melayu mundur dicanang oleh kroni-kroni Umno, yang mahu lebih banyak bantuan diberi supaya mereka dapat memenuhi akaun bank mereka.

Kroni Umno yang memperjuangkan Ketuanan Melayu dan mengharapkan bantuannya sebagai satu keperluan untuk bangsa Melayu sebenarnya membuat orang-orang Melayu ketinggalan dari sudut mental.

Keadaan ini membuat orang-orang Melayu merasakan dirinya lemah, dan mereka tidak dapat kekal hidup dalam masyarakat global, di mana kelangsungan hidup bermakna seseoang itu harus berdaya saing, efisyen dan berdisiplin.

Zaid memperlihatkan ciri-ciri bagaimana orang-orang Melayu boleh maju – melalui keyakinan diri, pelajaran, berdaya saing dan kerja keras.


Oleh Dr Chen Man Hin

--------------------------------------
*Teks ucapan ini dipetik pada majlis pelancaran buku oleh Zaid Ibrahim bertajuk "Saya juga Melayu" (versi bahasa Mandarin) di Kuala Lumpur

Bantu saya jayakan misi bersama Pakatan Rakyat

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan pertamanya selepas dipilih semula sebagai Mursyidul Am meminta semua pihak dalam PAS agar membantu beliau bagi menjayakan misi parti bersama dengan Pakatan Rakyat.

"Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat," kata beliau dalam kenyataan bertulis yang dihantar kepada media sekejap tadi.

Kenyataan ini dibuat beliau selepas dipilih sekali lagi sebagai Mursyidul Am dalam mesyuarat kedua Majlis Syura Ulamak PAS pagi tadi. Turut dipilih semula adalah Datuk Dr Haron Din sebagai timbalannya.

Dalam kenyataan itu beliau berkata, "menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti."

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:-

KENYATAAN RASMI
YAB TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
MENTERI BESAR KELANTAN


PERLANTIKAN SEMULA SEBAGAI
AL-MURSYIDUL AM PAS

• Saya telah dimaklumkan mengenai perlantikan semula saya sebagai Al-Mursyidul Am bagi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk sesi 2010-2015 sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat kedua Majlis Syura pada hari ini, jam 10 pagi pada hari ini, 29 Mac 2010.

• Sukacita saya ingin merakamkan terima kasih kepada kepimpinan PAS Pusat di atas kepercayaaan diberikan kepada saya bagi memikul amanah yang berat ini. Ia juga adalah satu cabaran bagi saya untuk terus memberikan khidmat sebagai Al-Mursyidul Am menurut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan PAS.

• Namun, saya anggapkan ia sebagai ketentuan Allah Subhanahu wataala kerana kemampuan saya untuk menjalankan tugas ini amat bergantung kepada masa dan keupayaan serta keadaan kesihatan saya. Bahkan pada pagi ini pun, saya baru saja menghadiri sesi pemeriksaan doktor di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

• Seperti yang telah saya tegaskan sebelum ini, bahawa saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk menerima pelantikan ini sekiranya Majlis Syura berpandangan untuk terus memberi kepercayaan kepada saya. Saya sifatkan itu adalah keputusan ‘syura’ yang bakal membantu saya memikul amanah ini. Lebih-lebih lagi di dalam mempersiapkan upaya parti menghadapi pilihanraya umum yang ke-13 nanti.

• Menyedari harapan ahli dan semangat serta kepercayaan Majlis Syura, maka dengan lafaz bismillah, saya menerima amanah ini dengan doa agar Allah Subhanahu wataala sentiasa memandu saya di dalam mengemudi hala tuju parti.

• Saya berharap agar seluruh kepimpinan PAS di pelbagai peringkat akan terus memberikan komitmen di dalam menjayakan misi parti bersama-sama Pakatan Rakyat.

Semoga kerjasama dan husnul-zhon (sangka baik)dari semua kepimpinan, saya yakin PAS akan terus menjadi parti yang perkasa dan Insya-Allah PAS di Kelantan bersama-sama PAS di seluruh Negara akan terus utuh bersama-sama rakan-rakan Pakatan Rakyat dalam mendepani cabaran politik baru di Malaysia hari ini.

Sekian, wassalam.



TUAN GURU DATO’ HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT

Bertarikh : 29 Mac 2010

RM52 Billion Saham Bumiputera Hilang

Ahli parlimen Bagan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hari ini meminta penjelasan di Dewan Rakyat mengenai RM52 billion saham bumiputera yang dilaporkan hilang’ daripada tangan bumiputera di Bursa Kuala Lumpur.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Lim berkata permohonan penjelasannya itu dibuat berdasarkan sebuah artikel yang disiarkan oleh Bernama yang bertarikh 30 Jun 2009.

Menurut laporan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui terdapat perbezaan ketara antara RM54 billion saham bumiputera yang diperuntukan berbanding dengan jumlah sebenarnya yang masih dimiliki mereka.

Dalam laporan itu Najib dipetik sebagai berkata, “daripada RM54 billion saham yang diperuntukkan, hanya tinggal RM2 billion yang masih dipegang oleh bumiputera.”

Lim menggesa kerajaan menyiasat apa yang berlaku dengan saham berkenaan yang didakwa lazimnya diagihkan kepada kroni BN.

Ahad, 28 Mac 2010

Kuasa politik dan kuasa agama

Ada yang menyatakan kepada saya bahawa dia bimbang negara ini menjadi negara mullah (clergy state) yang akan melarang kebebasan bersuara seperti yang saya dan beberapa pendakwah lain alami. Kata mereka, apabila kuasa agama mencengkam, ramai yang akan terhalang haknya seperti apa yang berlaku di Eropah sebelum Revolusi Perancis.

Saya jawab, saya tidak bimbang dengan pengaruh Islam terhadap negara, bahkan itulah harapan saya sebagai Muslim. Islam dibina atas keadilan dan rahmat. Apa yang saya bimbang adalah cengkaman sesetengah kelompok bernama agama yang berfikiran sempit, fanatik atau berkepentingan sehingga meminggirkan prinsip-prinsip keadilan seperti yang berlaku di Afghanistan dan Nigeria. Bukan salah Islam, tapi salah guna kuasa.

Kita hendaklah mengenal pasti kerjasama antara golongan politik dan agama itu sama ada demi kepentingan kuasa atau kepentingan Islam yang berasaskan keadilan dan kerahmatan.

Begini...

Sepanjang sejarah kita lihat bukan sedikit pemimpin yang cuba mendakwa dirinya adalah jelmaan Tuhan, atau dia merupakan Tuhan. Jika tidak pun, ramai pemimpin tanpa mengira jenis agama, bangsa dan negara cuba menguasai upacara agama, atau menguasai orang agama. Mengapakah hal ini berlaku?

Sebenarnya, politik adalah penguasaan terhadap rakyat. Penguasaan yang paling kuat adalah apabila seseorang pemimpin berjaya menguasai kepercayaan, jiwa dan perasaan rakyat. Sehinggalah apabila 'iman rakyat' dikuasai olehnya, dia bererti benar-benar menguasai rakyat. Mengaitkan diri pemimpin dengan 'Tuhan' atau 'pegangan agama' adalah faktor terkuat untuk rakyat taat dan setia tanpa berbelah bahagi terhadap seseorang pemimpin.

Sebab itu, ramai pemimpin tanpa mengira agama akan mengaitkan dirinya dengan agama tertentu apabila dia dapati pengaruhi agama tersebut kuat menguasai rakyatnya. Dakwaan diri sebagai 'tuhan' atau 'jelmaan Tuhan' adalah termasuk dalam usaha menguasai jiwa dan perasaan rakyat atau menguasai 'iman rakyat'.

Begitulah juga penonjolan ciri-ciri agama seperti membawa orang agama menyokong atau berdoa atau berdampingan dengan sesebuah kepimpinan politik itu kadangkala atas tujuan sedemikian. Maka, sikap pemimpin atau raja menonjolkan unsur-unsur agama atau hubungannya dengan ahli-ahli agama mempunyai berbagai andaian; boleh jadi atas kesedaran dan kecintaan serta ikhlas kepada agama atau 'Tuhan', tetapi boleh jadi juga ada tujuan yang membabitkan agenda penguasaan politiknya.

Orang Agama

Rentetan dari itu, kita hendaklah sedar bahawa seseorang yang diberikan kepercayaan oleh orang ramai disebabkan faktor agama, dia sebenarnya telah memiliki sebahagian daripada kuasa penguasaan terhadap orang lain. Ertinya, dia mempunyai sebahagian 'penguasaan politik' atau kuasa yang menyebabkan orang lain hormat, patuh dan menurut arahannya.

Maka jangan hairan jika ada orang agama yang bersaing antara satu sama lain seperti mana orang politik bersaing. Jangan hairan jika ada imam yang 'senior' tidak mahu memberi laluan kepada 'imam junior' di sesebuah masjid yang hanya berada di hulu kampung. Walaupun kadangkala tiada elaun yang tinggi yang dibayar, namun 'pengaruh politik agama' amat besar harganya bagi seseorang yang terbiasa dengan kuasa penguasaan ke atas orang lain. Itu jika di hulu kampung, bagaimana pulak jika membabitkan tempat, atau wilayah yang lebih besar?

Maka janganlah hairan, jika tanpa keikhlasan iman golongan agama juga akan bertarung dan jatuh menjatuh sama seperti orang politik. Bukan kerana perbezaan idea, tetapi kerana 'kemaruk kuasa' seperti mana yang berlaku kepada ramai orang politik yang tidak bersandarkan wahyu. Mereka pun akan menghapuskan apa sahaja yang boleh mengikis penguasaan mereka.

Kata Sufyan al-Thauri (meninggal 161H): "Aku tidak melihat kezuhudan itu paling kurang melainkan dalam perkara kepimpinan (kuasa). Engkau akan dapati seseorang yang zuhud dalam makanan, minuman, harta dan pakaian tetapi apabila tiba soal kuasa maka dia akan mempertahan dan bermusuhan kerananya" (al-Zahabi, Siyar A'lam al-Nubala, 7/262).

Justeru itu juga, kita melihat bukan sedikit golongan agama yang cuba mendampingi pemerintah atau raja. Perdampingan mereka itu boleh jadi kerana keikhlasan untuk menerapkan nilai-nilai agama dan keadilan demi kebaikan rakyat, tetapi boleh jadi juga kerana tujuan untuk menguatkan penguasaan mereka terhadap masyarakat dan rakyat.

Perkongsian dan pertarungan kuasa

Sepertimana politik boleh menjadi saluran mendapat kemegahan, sanjungan, kekuasaaan dan harta, demikianlah agama. Maka sepanjang sejarah, bukan sedikit kita melihat dua kelompok ini berpakat untuk menguatkan antara satu sama lain. Tujuannya; sama ada demi mematuhi perintah agama, ataupun demi mengukuhkan cengkaman mereka ke atas orang lain.

Begitulah juga kita melihat kedua kuasa ini; kuasa politik dan kuasa agama kadangkala bersaing dan bertarung antara satu sama lain. Boleh jadi pertarungan itu disebabkan kuasa politik merasakan kuasa agama bersaing pengaruh terhadap rakyat, ataupun kuasa agama merasakan kuasa politik telah berperanan merentasi sempadan yang sepatutnya dikawal oleh pengaruh agama.

Maka kerja sama atau pertarungan antara dua kuasa ini boleh jadi atas asas menegakkan kebenaran dan keadilan di mana kuasa agama cuba mencegah kezaliman kuasa politik seperti para nabi menentang pemerintah yang zalim di zaman mereka.

Ataupun, kuasa politik cuba mencegah kezaliman atas nama agama seperti kebangkitan Eropah menentang kuasa gereja atau Pemerintah Inggeris yang menghapuskan beberapa amalan agama yang zalim di India seperti sati yang membakar hidup-hidup isteri bersama suami yang mati.

Islam Dan Pemerintah

Islam juga menyatakan pemerintah adalah khalifah yang bertanggungjawab terhadap menegakkan agama dan bersiasah dengan panduan agama. Namun, Islam menjadikan keadilan dan kebenaran yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas.

Pemerintah tiada kuasa mutlak atau dianggap maksum (infaillible). Pemerintah sentiasa terdedah kepada kritikan dan pembetulan. Ini terbukti dalam teksal-Quran dan al-Sunnah serta amalan Khulafa al-Rasyidin yang menegaskan prinsip ini.

Membetulkan pemerintah apabila salah adalah satu tanggungjawab. Islam tidak menyatakan semua perbuatan pemerintah itu divine atau diredhai Allah. Islam tidak menyatakan taatlah apa sahaja yang disuruh oleh pemerintah. Sebaliknya, Allah menyebut: (maksudnya)

"Wahai mereka yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan uli al-Amr (pemimpin) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat maka kembalilah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar beriman dengan Allah dan hari akhirat. Yang demikian itu yang paling utama dan paling baik akibatnya" (Surah al-Nisa' 59).

Ertinya, jika berlaku perselisahan, asasnya bukan pendapat pemerintah tetapi kembali kepada prinsip-prinsip yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah. Selepas ayat ini, Allah menegaskan tanggungjawab rakyat melantik pemerintah yang berkualiti dan layak, dan tanggungjawab pemerintah yang dilantik melaksanakan keadilan: (maksudnya)

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum dalam kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha mendengar lagi Maha melihat". (Surah al-Nisa: 58).

Terlalu banyak nas-nas yang melarang mentaati pemimpin secara 'membabi buta' (blind imitation).

Antaranya, sabda Nabi s.a.w: "Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu Muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat".
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Islam dan ulama

Islam tidak pernah memaksumkan ulama. Seperti mana orang lain, ulama terdedah kepada salah dan silap. Sebab itu adanya istilah ulama al-suk atau ulama jahat yang menggunakan ilmu untuk kepentingan diri sehingga menggadaikan kebenaran. Bahkan al-Quran mensifatkan ulama jahat seperti anjing dalam Surah al-'Araf ayat 75-76.

Ulama dilarang mengampu pemerintah atas kesalahan atau bersekongkol dengan mereka atas kezaliman.

Sehingga Nabi s.a.w memberi amaran: "Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga)". Riwayat Ahmad, al-Nasai dan al-Tirmizi, ia dinilai sahih oleh al-Albani).

Pemerintah dan ulama

Pemerintah dalam Islam tunduk kepada prinsip-prinsip keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kepentingan diri ataupun puak tertentu semata sehingga meminggirkan prinsip kepentingan umum. Pemerintah di suruh bersama ulama jujur demi memastikan mereka sentiasa berada atas landasan yang redhai Allah bukan untuk menguatkan cengkaman kuasa kedua kelompok itu.

Sabda Nabi s.a.w: "Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan serta menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan serta menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang diselamatkan Allah". (Riwayat al-Bukhari dan al-Nasai).

Inilah Perbezaannya...

Jika gabungan pemerintah dan golongan agama itu jujur, maka natijahnya akan ditegakkan kebenaran, keadilan dan kerahmatan kepada rakyat. Pemerintah akan tunduk kepada agama dan ulama akan bebas daripada kepentingan lantas rakyat menikmati keadilan. Sebaliknya, jika tujuannya untuk cengkaman kuasa, kita akan mendapati kedudukan kedua golongan bertambah selesa sedangkan rakyat bertambah resah.

Di dunia Islam, ada mufti-mufti yang berjenama besar, tetapi gagal untuk menasihati pemerintah mereka dengan tegas agar jangan bersekongkol dengan Israel yang menzalimi rakyat Palestin. Lihat apa yang Mesir, Jordan dan negara-negara lain lakukan terhadap nasib rakyat Palestin yang terkepung di sempadan mereka. Ketika golongan agamawan makan mewah di meja bersama penguasa, rakyat Palestin di sempadan mati kebuluran!!

Di negara kita juga mesti dilihat keadaan mana yang berlaku. Umpamanya, jika peraturan agama pencetakan atau selainnya dibuat dengan ditegaskan 'tidak boleh mengkritik mufti' atau sultan atau majlis agama, maka itu untuk cengkaman kuasa. Jika dimasukkan 'tidak boleh menghina Allah dan Rasulullah, itu untuk Islam dan kebenaran!!! Setiap pihak terdedahkan kepada kesilapan dan penilaian, sehingga Abu Bakr dan Umar membenarkan diri mereka dikritik, bagaimana ada kelompok yang tidak boleh dikritik!!

Apabila sesebuah buku diharamkan tanpa alasan melainkan 'panel kurang selesa' atau 'panel agama merasa keliru' maka itu ke arah negara primitive dan kepentingan kuasa. Namun jika dilarang dengan asas-asas ilmiah yang dibahas secara ilmu dan adil, maka itu prinsip Islam!!

Jika yoga diharamkan kerana ada unsur bagai menyembah, tetapi dalam masa yang sama 'adat menyembah raja sehingga merangkak' direstui golongan agamawan, maka itu kepentingan! Jika doa dibaca buat pemimpin dan sultan dimasukkan unsur mengampu dipuja sultan dan raja dalam doa sehingga hilang rasa rendah diri di hadapan Allah maka itu kepentingan 'sambungan jawatan'! Demikianlah seterusnya..

Kita tidak takutkan prinsip Islam ditegakkan, kita takut nama agama digunakan untuk cengkaman kuasa dan kerjasama 'pintar dan putar' antara kedua kelompok ini untuk kepentingan masing-masing! Marilah kita nilai dengan teliti apa sebenarnya yang sedang berlaku...

Nota pengarang: Dr Mohd Asri - bekas mufti Perlis - adalah lulusan sarjana mudanya Universiti Jordan dalam bidang bahasa Arab dan syariah, sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengajian Islam.

Beliau seterusnya mengikuti pengajian di peringkat doktor falsafahnya di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dengan tesisnya berhubung sebab wurud (terbitnya) hadis.