Pengikut

Selasa, 24 April 2012

Serangan Peribadi Melampau Buat PR Menang Lebih Cemerlang

Sejak akhir-akhir ini UMNO dilihat semakin hilang punca untuk menghadapi pilihanraya umum akan datang ini. Bukan saja masalah dalam negara seperti Himpunan Bersih 3.0 yang menyaksikan kebangkitan rakyat makin menyerlah, perkembangan terbaru kes perbicaraan rasuah kapal selam Scorpene di Perancis, menjadikan Najib dan UMNO makin semput dibuatnya.

Kes rasuah di Perancis itu bukan sahaja menjejaskan nama baik Malaysia  di pentas antarabangsa berikutan Najib, Zahid Hamidi dan Razak Baginda sudah dinamakan sebagai saksi yangakan  dipanggil memberi keterangan tetapi ia juga akan menyebabkan golongan muda, masyarakat bandar dan golongan  profesional makin menolak UMNO dan BN.

UMNO kini hanya boleh bergantung harap kepada rakyat luar bandar dan masyarakat kampung saja untuk mempertahankan kuasanya. Dengan memberi sedikit gula-gula seperti wang tunai RM500 dan dalam masa yang sama dijaja pula keburukan pihak lawan khususnya Anwar Ibrahim, itulah saja talian hayat yang masih ada buat UMNO.

Sebab itu, menjelang hari pengundian dan sebagaimana yang diakui oleh Muhyiddin Yassin bahawa lebih banyak bantuan tunai yang akan diumumkan oleh Najib. Tujuannya untuk mengukuhkan cengkaman di kalangan masyarakat Melayu tradisional yang kurang terdedah kepada maklumat terkini alam maya.

Cara lain Najib dan UMNO mengukuhkan cengkaman ialah dengan mengitar semula serangan isu-isu peribadi yang pernah digunakan oleh Tun Mahathir untuk menyingkirkan Anwar pada 1998 dulu. Hari ini kelompok yang sama  bertaut kembali dan  ditambah dengan penyertaan mereka yang pernah bersama dalam era reformasi 1998, sedang giat menubuh dan bergerak melalui  pelbagai NGO untuk menyerang dan menghentam Anwar.

Malahan terdapat sebuah NGO yang khusus ditubuhkan atas nama Anwar Ibrahim iaitu TIBAI atau singkatannya Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim. Tidak pernah berlaku di mana-mana bahagian di dunia ini sebuah NGO ditubuhkan khusus untuk memburukkan seseorang pemimpin.  Di Mesir dan Libya, meskipun kebencian terhadap Hosni Mubarak dan Muammar Gaddafi begitu meluap suatu ketika dahulu, tetapi tiada NGO yang ditubuhkan sempena nama kedua pemimpin itu.

Ketika rakyat Amerika marah kepada Bill Clinton dan George Bush pun, tiada rakyat Amerika yang menempelak kedua pemimpin tersebut sampai ke tahap menubuhkan NGO yang khusus. Selain kes rasuah Scorpene di Perancis, sekali lagi politik Malaysia mencatat sejarahnya yang unik dan tersendiri.

Serangan yang dilakukan oleh TIBAI, selain serangan yang serupa sudah dilakukan sebelum ini oleh Perkasa, Jati, JMM dan lain-lainnya  tidak lain bertujuan menghakis keyakinan rakyat yang semakin mengukuh terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat. Penubuhan semua NGO ini yang tentunya dalam lingkungan restu dan pengetahuan Najib, mungkin berupaya menghangatkan suhu politik negara tetapi ia tidak akan menguntungkan UMNO dan Najib.

Ini kerana serangan peribadi yang keterlaluan, lebih-lebih lagi yang melakukan serangan itu begitu dikenali dan diragui keikhlasannya, hanya akan menambahkan lagi  simpati rakyat. Dalam beberapa ceramah dan kempen yang dihadiri oleh Anwar, sangat jelas bahawa sambutan rakyat pelbagai kaum  semakin memberangsangkan. Bagi rakyat PRU 13 bukan soal Anwar semata-mata tetapi lebih kepada perlunya untuk perubahan. UMNO  dan BN dilihat sudah terlalu daif dan uzur untuk terus diberi kuasa.

Masyarakat Cina memang diketahui semakin kuat dan yakin dengan Anwar. Keraguan terhadap Pas juga semakin menghilang. Mungkin ada masyarakat Melayu yang masih suka mendengar cerita-cerita seks dan kitar semula mengenai Anwar tetapi bilangan yang mempercayai dan menterjemahkannya kepada undi setelah menghadiri ceramah Perkasa, Jati atau TIBAI mungkin hanya boleh dibilang dengan jari saja. Selebihnya, tidak kira rakyat biasa, di kampung mahu pun di bandar dan termasuk sebahagian ahli UMNO sendiri, apa yang mereka mahukan ialah perubahan.

Selain orang UMNO yang memeriahkan ceramah NGO-NGO itu, kedapatan juga ahli UMNO yang melahirkan rasa mual dan loya dan cerita-cerita seks, lucah dan sumpah seranah yang didendangkan itu. Sudahlah mereka ini dulu pernah menghentam dan memaki hamun UMNO, kini lagaknya mereka  umpama "Superman" yang kononnya mahu menyelamatkan UMNO dan negara pula. Kononnya dengan membawa cerita-cerita seks dan lucah mengenai Anwar, negara dapat diselamatkan.

Kiranya peribadi Anwar terus dihentam secara keterlaluan sementara Pakatan Rakyat pula sentiasa keluar dengan dasar-pdasar yang memberi kebaikan kepada rakyat seperti janji penurunan harga minyak, mengkaji semua tarif letrik, memberi pendidikan percuma dan menghapuskan hutang PTPTN, lambat-laun UMNO akan kelemasan kerananya.

Ini kerana, sementara peribadi pihak lawan ditelanjangkan, skandal dan penyelewengan satu demi satu terdedah di mata umum. Dari skandal lembu, skandal menteri dengan artis, pelupusan hutang Tajuddin Ramli sebanyak RM589 juta, pemberian kad pengenalan biru kepada warga asing untuk dijadikan pengundi dan berlonggok skandal lainnya tidak mungkin mampu menutup mata hati rakyat yang semakin cerdik sekarang ini untuk melihat antara kebenaran dan kepalsuan.

Melihat kepada cara politik Najib, beliau nampaknya merestui serangan peribadi yang keterlaluan ini sambil dalam masa yang sama rakyat akan diberikan umpan serta gula-gula tunai dengan harapan mereka akan terus menyokong UMNO serta mengekalkan kerusi Perdana Menteri untuknya. Setelah RM 500, RM200 dan RM100 diberikan, khabarnya ada beberapa program pemberian tunai akan dilakukan lagi. Memang itulah Najib, seperti kata Datuk Arif Sabri Abdul Aziz, bekas Ketua Penerangan UMNO Pekan yang kini menyertai DAP,  hanya tahu membeli untuk mendapatkan sokongan.

Kewujudan semakin banyak NGO yang ditubuhkan untuk menyelamatkan nyawa politik Najib secara langsung menandakan beliau semakin kelemasan sekarang ini. Lagi lambat diadakan pilihanraya, lagi banyak pekung yang melibatkan UMNO dan para pemimpinnya yang akan terdedah. Selepas Shahrizat dan Shafie Afdal, mungkin lepas ini skandal pemimpin lain pula yang akan terbongkar.

Tindakan Najib mempergunakan NGO-NGO ini untuk menyerang peribadi pihak lawan secara keterlaluan,  akhirnya akan menyebabkan Najib kehilangan semakin banyak undi meskipun mungkin NGO-NGO terbabit semakin meriah menikmati habuan. Selain undi Anwar dan pembangkang makin bertambah kerananya, kewujudan NGO-NGO ini yang terlalu aktif mengampu dan ingin menguasai Najib termasuk melobi dan menonjolkan diri untuk dipilih sebagai calon pilihanraya, secara perlahan akan menyebabkan pemimpin dan ahli  UMNO  sendiri sama ada  di peringkat bahagian dan cawangan mulai menjauhkan diri.

Akibatnya apabila tiba waktu untuk ke medan perang, seperti kata Tun Daim, Najib akan menjadi seperti Jeneral yang kekurangan askar.

Sumber - Shahbudin

1 ulasan:

  1. Ada baiknya kita bersederhana dalam satu-satu perkara, kenapa kita tidak ikut cara Nabi saw, kita ikut Khalifah Abu Bakar, Syaidina Umar mentadbir, tenang dan cemerlang dalam pentadbiran mereka, jadilah negara yang mengutamakan rakyat

    BalasPadam