Pengikut

Selasa, 24 April 2012

P.Pinang anjur Bersih 3.0 di Padang Kota serentak di KL

Bersih 3.0 akan diadakan di Padang Kota Lama, George Town serentak di Dataran Merdeka Kuala Lumpur tetapi usaha mobilisasi anak Pulau Pinang bagi melengkapkan 500,000 rakyat Malaysia ke ibunegara masih menjadi keutamaan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata Kerajaan Negeri telahpun meluluskan permohonan badan bukan kerajaan (NGO) Aliran bagi menggunakan Sudut Pidato di Padang Kota Lama.
Bagaimanapun katanya penganjur perlu mendapatkan kebenaran berhimpun daripada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Ayub Yaakob juga.
"Kerajaan bukanlah penganjur. perhimpunan aman ini dianjurkan secara menyeluruh oleh beberapa NGO.
"Saya sendiri akan hadir perhimpunan tersebut pada hari itu," ujarnya kepada PenangInsight.com di Komtar.
Presiden Aliran, Dr Francis Loh (kanan), Dr Toh Kin Woon (Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 Pulau Pinang), Anil Netto (ahli Jawatankuasa Aliran) antara yang hadir pada sidang media di Komtar pagi tadi.
Francis Loh merakamkan penghargaan pada Kerajaan Negeri kerana komited mereformasi sistem pilihan raya negara supaya lebih telus, adil dan bersih.
"Berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Y.A.B Lim Guan Eng," ujarnya pada sidang media yang sama.
Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan temujanji dengan Wira Ayub tengah hari ini dan akan memaklumkan status perhimpunan aman di Pulau Pinang sama ada mendapat permit polis atau sebaliknya.
Kin Woon pula sekali lagi mengulangi hasrat Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 Pulau Pinang, iaitu fokus mobilisasi rakyat ke Kuala Lumpur.
Bagi yang tidak berpeluang ke sana, katanya, bolehlah memilih untuk ke Dataran Merdeka.
"Keutamaan untuk rakyat Pulau Pinang (menyertai Bersih 3.0) masih ke Kuala Lumpur untuk 'duduk bantah' di Dataran Merdeka.
"Kami memang memerlukan sokongan (mobilisasi) ke Kuala Lumpur untuk mencapai sasaran 500,000 (rakyat Malaysia) tetapi kami menghormati mereka yang tidak dapat ke sana dengan berkumpul di sini (Pulau Pinang).
"Terima kasih kepada Aliran atas penganjuran ini, tetapi diharap mobilisasi rakyat mesti ke arah Dataran Merdeka pada hari sama," ujar Kin Woon.
Sebelum ini, Jawatankuasa Pemandu Bersih 3.0 sebulat suara bersetuju dengan idea mobilisasi rakyat ke Kuala Lumpur sahaja selepas dilihat berada dalam persimpangan.
Baik buruk mobilisasi rakyat di Pulau Pinang serentak di Kuala Lumpur diduga memberi kesan berantai pada hasrat Bersih 3.0 untuk mobilisasi 500,000 rakyat Malaysia ke Dataran Merdeka nanti.
Sumber - PenangInsight

Tiada ulasan:

Catat Ulasan