Pengikut

Isnin, 2 April 2012

Pakatan bantah laporan PSC pilihan raya

Pakatan Rakyat akan memfailkan notis untuk meminda laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya bagi penyata monoriti dimuatkan dalam laporan itu.

Ahli PSC, Azmin Ali berkata, ia mempunyai hubung kait dengan daftar pemilih yang masih bermasalah walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berjanji untuk menyelesaikannya.

“Perkara yang sama dibangkitkan sebelum ini, termasuk isu 42,000 pengundi yang meragukan kerana tidak mempunyai data di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan didedahkan oleh Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) termasuk 80,000 pengundi yang berkongsi alamat.

“Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menolak cadangan untuk dimasukkan ke dalam laporan PSC pada 28 Mac lalu dengan alasan alasan ia bukan amalan dalam Parlimen,” katanya.

Azmin berkata, apa yang dilihat Dr Maximus hanya memilih isu tertentu untuk dimasukkan dalam laporan itu.

“Mereka mendakwa untuk menjamin pilihan raya bersih dan adil tetapi jika mempunyai sikap sebegini, bagaimana ia boleh dilaksanakan.

“Pembangkang akan kemukakan notis kepada Yang Dipertua Dewan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, untuk membuat pindaan mengikut peraturan mesyuarat 30(1),” katanya.

Azmin berkata, alasan yang diberikan Pengerusi PSC itu tidak boleh diterima kerana laporan itu tidak bercanggah dalam peraturan mesyuarat.

Tambah beliau lagi, jika dilihat secara menyeluruh ia membuktikan SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dengan memberi pelbagai alasan.

Menurutnya, pembangkang tidak dapat menerima alasan yang diberi oleh SPR, malah PSC juga gagal melihat keseluruhan cadangan yang diberi oleh pihak awam.

PSC yang diumumkan penubuhannya Oktober lalu, dianggotai lima wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) ,tiga wakil pembangkang dan seorang wakil bebas.

Ia bertujuan bagi melaksanakan beberapa cadangan dan pandangan bagi melahirkan pilihan raya yang bersih di negara ini.

-SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan