Walaupun sebelum ini, banyak bantahan penyenaraian FGVH itu dibuat termasuk lebih 1,000 warga Felda berarak ke Pejabat Perdana Menteri bagi membantah tindakan itu.
Lebih 10,000 tandatangan peneroka dari negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah juga dikumpulkan sebagai tanda bantahan mereka.
Bagaimanapun, bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, usaha penyenaraian itu akan tetap dilaksanakan. Najib mendakwa ia adalah satu langkah supaya Felda terus kukuh dan kuat mendepani cabaran dunia nyata perniagaan global.
Tindakan Najib menggunakan kuasa veto berhubung isu felda tanpa mendengar keluh kesah para peneroka membuktikan kerajaan pimpinan beliau sekadar retorik disebalik wawasan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Manakala Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pula memberi alasan penyenaraian yang seharusnya dijadualkan pada Mei ini terpaksa ditunda berikutan wujud masalah dan ‘gangguan’ termasuk perintah injuksi mahkamah.
Ahmad menyifatkan gangguan terhadap proses penyenaraian FGVH itu adalah bermotifkan politik yang sengaja dicetus pembangkang.
“Ia telah dipolitikkan kerana parti pembangkang khuatir jika kerajaan berjaya membawa berita gembira kepada peneroka, maka ia berita buruk buat mereka,” katanya.
Gadai hak Peneroka
Sebelum ini, Najib berkata, rancangan penyenaraian FGVH ke Bursa Malaysia tidak melibatkan tanah hak milik peneroka Felda sama sekali.
Malah katanya penyenaraian itu hanya melibatkan tanah kerajaan negeri.
“Penyenaraian hanya melibatkan tanah-tanah kerajaan negeri yang diberi hak memajukan kepada kerajaan persekutuan sebagaimana peruntukan dalam Akta GSA 1960 yang selama ini diurus oleh Felda Plantations,” katanya Najib.
Tetapi adakah benar kenyataan itu? Bagaimana pula dengan nasib generasi kedua dan ketiga peneroka seterusnya jika ianya tetap dilaksanakan?
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemajuan Dan Kebajikan Rakyat Selangor (Prorakyat), Mohd Naquib Carmeil Roseli berkata penyenaraian itu akan menyebabkan Felda mengalami defisit pendapatan sebanyak RM1.5 bilion yang akan merugikan generasi kedua Felda untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, situasi ini menyebabkan Felda hanya akan memperolehi pendapatan tahunan melalui pajakan tanah sebanyak RM251 juta dan hasil jualan sehingga RM508 juta.
“Apabila Felda menjadi agensi yang rugi maka seluruh rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Naquib menjelaskan hasrat Felda untuk memajak 350 ribu hektar tanahnya selama 99 tahun kepada FGVH bercanggah dengan Akta Kemajuan Tanah 1956 kerana FGVH tiada hak ke atas tanah peneroka itu.
Sementara itu, Naib Presiden Warga Felda Prihatin, Mohd Kamil Yasin berkata, penyenaraian FGVH ini akan merugikan generasi kedua Felda sepertimana yang berlaku dalam penjualan tanah di Felda Sendayan yang nasib mereka kini semakin terhimpit.
Beliau turut mempersoal kerana saham yang diberi itu nanti tidak boleh ditunaikan.
“Kalau hendak dikatakan orang Felda ini mempunyai saham yang tinggi ia sudah banyak kali diperkatakan, kita mahu perkara ini dengan telus,” katanya.
Rancangan Jahat Umno-BN
Banyak pihak melihat usaha kerajaan pusat cuba menyenaraikan kepentingan warga Felda di pasaran terbuka sebagai usaha jahat untuk memindahkan wang rakyat kepada Umno-BN.
Penyenaraian itu juga dilihat sebagai usaha ‘membuncitkan perut’ para kroni dan akhirnya akan menguntungkan “golongan kapitalis elit”.
Budaya kronisme, rasuah, salah guna kuasa dan menipu rakyat sekali lagi akan di ulangi oleh pemimpin-pemimpin Umno. Kali ini mereka memperjudikan masa depan dan nasib para peneroka Felda.
Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, sebalum inimenegaskan FGVH tetap akan dilaksanakan di Bursa Malaysia walaupun tanpa penglibatan langsung Koperasi Permodalan Felda (KPF).
Analisis untung rugi terhadap keputusan menyenaraikan FGVH yang dibuat oleh bekas Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakop mendapati Felda akan kehilangan pendapatan sebanyak RM1.950 billion setahun.
Dr Rosli juga berkata Felda sekarang mempunyai pendapatan purata dari 2007 ke 2010 yang berjumlah RM2.458 billion setahun.
“Felda hanya akan memperoleh pendapatan RM508 juta setahun jika FGVH disenarai. Ini bermakna Felda akan hilang RM1.950 billion setahun, kata Presiden (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) ANAK, Mazlan Aliman.
Menurut Mazlan, FGVH yang pernah diberi peranaan membuat pelaburan luar negara bagi pihak felda telah mengalami kerugian hampir RM500 juta.
Persoalannya mengapakan syarikat yang pernah mengalami kerugian yang sebegitu besar diberi tanggungjawab untuk menggadai hak lebih 110,000 warga peneroka seluruh negara?
FGVH membelakangkan KPF
Pegangan saham 51 peratus oleh KPF berbanding FGVH hanya 49 peratus meletakkan bidang penguasaan untuk membuat sebarang keputusan berpihak kepada KPF. Namun berlaku sebaliknya
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata proses penyenaraian FGVH yang cuba dilakukan akan membelakangkan dan mengorbankan kepentingan peneroka dan kakitangan Felda.
“Keputusan Umno-BN itu mengenepikan terus pandangan dan penyertaan KPF,” katanya.
Katanya, Keuntungan sebenar di dalam kumpulan Felda datang dari Felda Holdings Berhad, bukannya FGVB.
Berdasarkan perolehan pada penghujung 2009, FHB memperoleh RM14.9 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM760 juta. Manakala FGVB memperoleh RM3.2 bilion dengan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM360 juta.
Malah, bagi tahun-tahun berakhir 31 Disember 2008 dan 31 Disember 2009, keuntungan sebelum cukai FHB melangkaui RM800 juta, iaitu RM804 juta (2009) dan RM819 (2008).
“Rancangan jahat Umno-BN adalah untuk memindahkan syarikat-syarikat dan aktiviti perladangan yang menguntungkan di dalam Felda Holdings Berhad dari KPF (yang dimiliki peneroka dan kakitangan) kepada FGVB (yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan).
“Melalui cara ini, suara peneroka dan kakitangan Felda dalam keseluruhan aktiviti perniagaan dan operasi Felda akan berkurangan, terutamanya apabila kerajaan menjemput pelabur-pelabur lain untuk turut serta membeli saham di dalam FGVB,” jelasnya.
Tambahnya, anggaran menunjukkan pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam aktiviti syarikat dan perniagaan Felda Holdings Berhad yang menguntungkan itu akan berkurangan dari 51% sekarang (turut menjadi pemegang saham majoriti) kepada sekitar 42.7% selepas disenaraikan (bertukar menjadi pemegang saham minoriti).
Walau bagaimana pun, keberanian peneroka-peneroka yang menggunakan hak mereka untuk menyekat penyerahan saham KPF di dalam Felda Holdings Berhad kepada FGVB membuatkan Tan Sri Isa Samad dalam kenyataannya mengatakan kerajaan akan menubuhkan sebuah syarikat khas (SPV) yang mengenepikan KPF bagi tujuan penyenaraian.
Persoalan yang timbul jika kerajaan tubuhkan SPV
Banyak persoalan yang timbul antaranya penubuhan SPV tersebut membelakangkan KPF dan menunjukkan sikap Umno-BN yang tidak menghormati suara peneroka dan kakitangan Felda.
Kewujudan SPV itu dijangka akan digunakan untuk secara perlahan-lahan mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh KPF.
Sebarang tindakan untuk menggunakan SPV tersebut bagi menyuntik aset Felda Holdings Berhad (FHB) adalah bertentangan dengan undang-undang dan mengkhianati peneroka dan kakitangan Felda.
Selain itu, jika penyenaraian FGVB diteruskan tanpa melibatkan suntikan aset dari FHB akibat tindakan mahkamah peneroka, nilai penyenaraian adalah jauh lebih rendah iaitu sekitar RM3 billion sahaja, bukannya RM21 billion seperti yang diwar-warkan kerajaan.
Keuntungan dari penyenaraiaan dan dividen yang bakal diperolehi peneroka pada masa akan datang adalah jauh lebih rendah dari yang disebut-sebut oleh kerajaan sekarang.
Peneroka dipaksa serah dokumen
Keraguan peneroka timbul, apabila “orang kuat” Najib, Tan Sri Isa Samad dilantik sebagai Pengerusi Felda melalui “pintu belakang” sangat bersungguh-sungguh memastikan penyenaraian itu berlaku.
Sebagaimana kita tahu perpecahan dalam Felda sangat merbahaya selepas perlantikan itu.
Setiap kali perhimpunan bulanan Felda juga, Isa akan memberi amaran kepada kakitangan agar tidak memberikan sebarang maklumat kepada pihak luar berkaitan usaha penyenaraian FGVH.
Menurut Pengerusi Anak, Mazlan Aliman, keraguan itu juga timbul apabila peneroka diberi ‘surat pekeliling durian runtuh’ yang diedarkan Felda kepada peneroka bermula Mac lalu.
Surat pekeliling tersebut meminta peneroka menyerahkan semua dokumen seperti salinan kad pengenalan, geran ladang dan rumah, status senarai hitam bank dan pewaris bagi mendapat ‘durian runtuh’ berupa wang tunai setelah penyenaraian FGVH.
Ekoran itu, beliau menerima banyak aduan dariapda peneroka yang bimbang semua dokumen itu dimanipulasi untuk tujuan tertentu.
Lebih menimbulkan keraguan ujar Mazlan, perkara itu tidak diketahui Lembaga Pengarah Felda.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, ada peneroka dijanjikan ‘durian runtuh’ sejumlah RM10,000, RM20,000 dan RM30,000.
Mazlan juga berpendapat, ini mungkin juga satu helah di mana akhirnya pihak tertentu akan menggunakan semua dokumen tersebut untuk mereka akhirnya menjustifikasikan peneroka Felda secara majoriti setuju dan menyokong penyenaraian FGVH.
“Seperti yang saya tegaskan, janji durian runtuh satu pembohongan sebab mesyuarat agung dibatalkan, jadi KPF tiada kaitan dengan penyenaraian,” katanya.
Nasib Peneroka
Presiden Warga Felda Prihatin, Muhamad Kamel Yassin menolak penyenaraian tersebut kerana tidak mahu melihat kesukaran hidup warga Felda seperti apa yang berlaku selepas penjualan tanah Felda Sendayan dan Felda LBJ.
“Saya mengambil iktibar apa yang berlaku di Sendayan, lihat peneroka yang diambil tanahnya, keadaan mereka lebih teruk apabila ada yang terpaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Jadi apakah kewajaran tindakan Isa Samad yang berkeras mahu mengadaikan felda bagi tujuan keuntungan berlipat ganda? Apakah pemimpin umno yang pernah terpalit isu rasuah dalam pemilihan parti umno itu memikirkan kepentingan peneroka atau berfikir tentang poket sendiri?.
Mengapa begitu kuat tekanan supaya tindakan ini dihentikan sehingga 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Malaysia secara rasmi mengumumkan penubuhan Gerakan Selamatkan Felda (GSF).
Jelasnya, tanpa analisis yang mendalam sudah tentu peneroka akan mudah terjebak dalam skim cepat kaya ala ‘Pak Man Telo’ berskala besar yang sekarang dijaja ke seluruh tanah rancangan Felda oleh pihak tertentu yang diketui oleh Isa Samad dengan restu Perdana Menteri sendiri.
Sedangkan penyenaraian itu yang akan melibatkan pajakan 360,067 hektar kepada FGVH sebagai penggadaian kedaulatan negara.
Menurut Setiausaha Agung Paksi, Hasni Abas berkata aset yang digadai itu bukan aset biasa.
“Kalau bagi tanah pada orang luar, hilanglah kedaulatan sesebuah negara,” tegasnya.
Beliau juga menyifatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sebagai ‘Tanggang yang menderhaka kepada bapanya’.
Ini kerana katanya, tindakan Najib seringkali bercanggah dengan tindakan bapanya, Tun Abdul Razak.
“Tun Abdul Razak nak bagi tanah kepada orang Melayu tapi Najib nak masukkan pelabur asing. Dulu kes PPSMI, Najib yang benarkan kolej swasta mengajar dalam bahasa Inggeris sedangkan bapanya tak benarkan begitu,” katanya yang pernah menjadi setiausaha Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Tujuan penyamun-penyamun kerajaan itu mengintai saham KPF untuk disenaraikan ke BSKL
sebenarnya ialah ‘mengidamkan’ saham KPF yang merupakan koperasi yang mempunyai perolehan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak RM13 bilion.
Sehingga Najib sanggup mengkhianati perjuangan bapanya dulu.
“Saya memegang amanah Allahyarham ayahanda (Perdana Menteri Kedua, Tun Razak Hussain)….
Manakala Kumpulan CIMB bank yang di pengerusikan adik beliau Nazir Razak di beri hak untuk mengurus segala bentuk dokumentasi perbankkan sepanjang transaksi penyenaraian tersebut. Dijangkakan ratusan juta ringgit akan diperoleh oleh CIMB hasil dari urusan tersebut.
Mungkin itulah juga amanah yang Najib sedang laksanakan dari amanah ayahandanya tersebut untuk saudara kandungnya.
- KOMENTAR / tvs
Tiada ulasan:
Catat Ulasan