Pengikut

Rabu, 21 Mac 2012

Amboi, popularnya Najib?

Katanya jumlah pengikut Perdana Menteri Najib Razak sudah mencecah 1 juta di facebook dan 500 ribu di twitter. Tahniah kawan ucapkan buat PM, nyata sekali beliau begitu popular di mata rakyat Malaysia.

Ini juga mengesahkan lagi kejayaan perunding imej Najib termasuk APCO dulu. Tidak sia-sia Najib membelanjakan wang rakyat untuk menggilap imejnya di mata dunia dan rakyat. Jika pelajar-pelajar Akademi Fantasi mempunyai peluang seperti Najib, pasti artis-artis baru ini akan lebih terkenal seantero dunia.

Syarikat APCO itu yang ada kaitan secara langsung dengan Israel (menurut bukti yang ditunjukkan oleh Anwar Ibrahim tetapi tidak pernah disiasat oleh Parlimen) memang pakar dalam menterjemah imej luaran mana-mana pemimpin dunia yang ada masalah dengan rakyatnya.

APCO dan para perunding imej hanya membantu menggilap imej Najib, bukan imej kerajaan atau partinya. Tak mengapalah, asalkan Najib bahagia, juak-juak UMNO hanya diam dan melopong.

Sepatah kata Tun Daim Zainuddin baru-baru ini, Najib umpama jeneral perang tanpa bala tentera. Dalam bahasa pasar, Najib seorang pemimpin UMNO tanpa dukungan parti yakni ahli-ahli UMNO. Barangkali Muhyiddin Yassin lebih memahami makna kata Tun Daim ini.

Justeru, strategi ‘perang’ politik Najib hanya akan menfokus kepada imej dirinya, barangkali sifirnya mudah. Jika imej PM melonjak, itu akan disamakan dengan populariti partinya.

Malah baru-baru ini juga, semasa lawatan beliau ke Selangor, Najib mendakwa sudah cukup kuat untuk menawan semula Selangor dan negeri-negeri yang dipimpin oleh kerajaan PR.

Jika benar demikian, pasti pilihan raya sudah amat dekat dan Najib sendiri tidak perlu menangguh-nangguh lagi, ayuh kita ke lapangan pilihan raya.

Malah lebih menarik lagi, jika benarlah jumlah pengikut Najib ini begitu besar, bukankah baik selepas pilihan raya ke-13 ini, kita reformasikan sistem perlantikan Perdana Menteri dengan membuka pentas pemilihan Perdana Menteri secara langsung. Kita buka kepada rakyat untuk memilih Perdana Menteri.

Kita yakin Najib akan dipilih oleh rakyat Malaysia berdasarkan populariti semasa. Pada ketika itulah baru Najib Tun Razak boleh mendakwa dan berbangga bahawa beliau adalah Perdana Menteri rakyat Malaysia.

Katanya…berita dan gembar-gembur populariti Najib ini hanya propaganda saja. Kerana apa? Kalaulah betul, mengapa Najib hingga hari ini masih belum yakin akan kekuatannya untuk buat lebih baik dari Pak Lah, mantan Perdana Menteri yang digulingkan oleh partinya sendiri?

Sumber: RM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan