Pengikut

Jumaat, 10 Februari 2012

SPRM: Siasatan babitkan 2 Adun PKR selesai

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, siasatan lengkap Jabatan Peguam Negara terhadap dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, yang didakwa terlibat dalam isu rasuah dan skandal perlombongan pasir di Selangor, telah diperoleh dan akan dibentangkan kepada Panel Penilaian Operasi akhir bulan ini.

Sehubungan itu, SPRM akan mengemukakan laporan siasatan kepada panel berkenaan untuk mengkaji, meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan itu.

"SPRM ingin memaklumkan bahawa siasatan berkaitan kes terhadap Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei dan Adun Batu Caves, Amirudin Shaari telah lengkap dan pihak Pejabat Peguam Negara telah mengkaji dan meneliti kes tersebut dan kini telah diterima semula oleh suruhanjaya ini.

"Sehubungan itu, suruhanjaya akan mengemukakan kertas tersebut kepada Panel Penilaian Operasi untuk mengkaji, meneliti dan mengesyorkan hasil daripada keputusan yang telah diperolehi daripada Jabatan Peguam Negara," kata SPRM dalam satu kenyataan lewat hari ini.

Panel itu yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Hadenan Abdul Jalil serta dianggotai tujuh yang lain dilantik kerajaan daripada kalangan mereka yang mempunyai kepakaran dan mewakili badan-badan profesional yang bersesuaian bagi memastikan SPRM menjalankan tugas dengan bebas serta telus tanpa rasa takut dan memihak.

Panel ini dijangka bersidang pada 23 Februari depan, kata kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamarudin mendakwa Shuhaimi dan Amirudin terlibat dalam isu penyelewengan dan sindiket kecurian pasir di Selangor.

Selain kes berkenaan, SPRM juga akan turut membentangkan kes Pusat Fidlot Nasional dan kes yang melibatkan siasatan terhadap menantu Menteri Besar Kelantan, Ariff Fahmi Abdul Rahman kepada semua ahli panel.

Dalam kenyataan pagi ini, kedua-dua wakil rakyat berkenaan menafikan unsur rasuah, sebaliknya mendakwa ia laporan direka oleh blog. -Sh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan