Pengikut

Sabtu, 11 Februari 2012

Jangan pandang rendah pada ‘ABU’

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengingatkan peranan media baru dalam proses menyebarkan maklumat terutama mengenai penyelewengan yang dilakukan kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Mengaitkan peranan media dengan kebangkitan rakyat Tunisia menggulingkan presidennya yang bersikap diktator, Mohamad menekan kepentingan laman sosial seperti facebook dan twitter.

Beliau berkata demikian dalam ‘Forum kiri: Kebangkitan Dunia Arab, Apa Terjadi Selepas Setahun’ di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur KLSCAH) , malam tadi.

Bercakap dalam forum berkenaan, beliau turut merujuk kumpulan ‘Asalkan Bukan Umno (ABU), yang diwujudkan untuk menentang parti itu, meskipun kumpulan berkenaan tidak mempunyai struktur dan organisasi sepertimana kebanyakan pertubuhan lain.

“Mereka ini ABU (Asalkan Bukan Umno) Tunisia. Jangan pandang rendah kekuatan anak muda ABU ini,” kata Mohamad disambut tepukan gemuruh hadirin.

Katanya, fenomena ‘ABU’ kini bukan sekadar menjadi ejen semak dan imbang, bahkan berkeupayaan menumbangkan kerajaan baru jika didapati menyalahgunakan kuasa yang diberikan kepada mereka.

“Sebab masalah orang berkuasa sama sahaja. Di mulut cakap ‘Amal Makruf Nahi Mungkar’, tapi masih tak buat perubahan. Bila khalifah duduk di istana besar, satu persatu negara dalam empayar Islam tumbang,” katanya.

Kepada satu soalan bertanyakan sama ada kerajaan Umno-BN boleh ditumbangkan, Mohamad mengakui ia tidak mudah, namun beliau percaya rakyat di negara ini optimis mahukan perubahan.

“Revolusi tidak tewas. Mereka tetap mahu menentang kezaliman. Walaupun masih tidak ada organisasi yang cukup kuat untuk memperkukuh peranan rakyat.

“Sebagai contoh Ikhwan (al- Muslimin, yang menang pilihan raya Mesir baru-baru ini) tak boleh bermusuh dengan Amerika.

“Bimbang nasib yang sama berlaku kepada (Presiden Mesir) Mubarak. Justeru mereka perlu kekalkan hubungan,” katanya.

Dalam konteks Malaysia pula, Mohamad menegaskan, Pakatan Rakyat akan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam Buku Jingga- dokumen bersama yang dirangka untuk membela nasib rakyat.

“Bila saya jadi Menteri Dalam Negeri, bolehkah kita tangkap (Tun) Dr Mahathir dan tahan dia bawah ISA? Tak boleh. Kalau tidak, kita sama sahaja macam mereka – mengulangi kezaliman,” selorohnya.

“Sekarang bukan zaman slogan. Mesti ada pelaksanaan demi keadilan sejagat,” kata Mohamad sambil menegaskan antara langkah awal ialah melalui desakan pembersihan sistem pilihan raya, termasuk himpunan Bersih 3.0. - KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan