Kali ini kononnya video yang dirakam secara curi itu berlaku di Thailand pada 12 dan 13 Januari tahun lalu.
Dalam masa yang sama beliau turut mencabar Anwar supaya menyamannya di mahkamah berhubung ketulenan video seks yang dikatakan membabitkan Anwar dengan seorang pelacur China yang telah didedahkannya sebelum ini. Shuib kononnya akan mendedahkan video terbaru ini kiranya Anwar tidak mahu menyamannya.
Melihat bahawa kenyataan berbaur ugutan ini dikeluarkan di ketika Najib dan Muhyiddin sedang sibuk menjelajah ke seluruh negara bagi meyakinkan rakyat agar terus memilih BN dalam PRU 13 ini, ia seakan-akan memberi gambaran bahawa ‘roadshow’ kedua-dua pemimpin itu tidak begitu berjaya menarik sokongan rakyat. Kehambaran sokongan yang diterima dan seterusnya memberi signal yang cukup jelas bahawa UMNO dan BN semakin hampir kehilangan kuasa telah menyebabkan Datuk T digunakan sekali lagi bermodalkan isu video seks sebagai ‘talian hayat’ dengan harapan rakyat akan terpedaya dengan gambaran moral yang cuba digambarkan mengenai Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.
Jika siri demi siri bertemu rakyat yang dilakukan oleh Najib dan Muhyiddin sudah cukup memuaskan hati mereka dari segi penerimaan dan sokongan rakyat, sudah tentu isu video seks ini tidak muncul lagi kerana semua orang sudah tahu dan memahami bahawa isu video seks dan kes liwat kedua yang disensasikan sebelum ini tidak pun mampu mengalih sokongan rakyat sepertimana yang diharap-harapkan.
Kedua-dua isu itu sebelum ini hanya meriah menjadi percakapan di kalangan ahli dan penyokong tegar UMNO sahaja manakala rakyat terbanyak umumnya merasa mual, jijik dan tidak terpedaya sama sekali. Bagi rakyat terbanyak isu yang lebih besar ialah isu rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa, kronisme, nepotisme, pembaziran, pemborosan, kerajaan dan menteri yang lemah serta hal-hal yang berkaitan dengan kepedulian kerajaan terhadap rakyat.
Namun hakikatnya UMNO masih seperti seorang jurujual tua yang gagal menjual barangannya sendiri lalu mereka-reka cerita tentang keburukan barang yang dijual pesaingnya dengan harapan barang-barangnya akan laku akhirnya. Sepatutnya apabila barang kita tidak laku, kita harus mengkaji kekuranganya dan cuba menambahbaiknya dari segi kandungan, bungkusan dan sebagainya supaya akhirnya ia bukan sahaja laku tetapi juga memberi kepuasan kepada pengguna.
UMNO nampaknya tidak pernah berusaha sebaik mngkin menambahbaik nilai-nilai perjuangan, perilaku, pemimpin yang ditonjolkan, keikhlasan dan amanah dalam membela rakyat tetapi sebaliknya hanya sibuk mencari keburukan pihak lawan untuk diaibkan sebagai satu-satunya cara yang mudah untuk mengekalkan kuasa.
Dengan kemungkinan video seks terbaru bakal dimunculkan sebagaimana yang diluahkan oleh Shuib Lazim itu, ia tidak lain hanya mendedahkan kelemahan dan kepincangan UMNO yang makin parah serta sokongan rakyat yang masih tidak berubah. Jika ada lagi isu-isu yang berkaitan seks yang dikaitkan dengan UMNO, ia bukan sahaja memberi imej dan gambaran yang lebih buruk kepada rakyat yang tidak berparti mengenai UMNO, malahan tidak mustahil kekalahan UMNO lebih teruk daripada yang diramalkan dalam PRU 13 nanti.- SH/KLT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan