Aksi menegaskan, penyingkiran Siti Nurul Piteriah Abdul Halim dan Alif Ashraf, bertentangan dengan prosedur kolej dan mencabuli hak mahasiswa.
“Saya difahamkan, selepas himpunan pro kebebasan akademik 1 Januari lepas, Felo Kolej Kediaman datang dan mengarah dua rakan mahasiswa itu keluar dari Kolej dalam masa 24 jam.
“Ini jelas bertentangan dengan prosedur di mana sepatutnya ada notis dengan menyatakan sebab penyingkiran itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.
Menyifatkan tindakan itu sebagai zalim, Aksi katanya menyokong penuh kenyataan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan kumpulan mahasiswa lain agar arahan itu ditarik balik serta-merta.
Dalam pada itu beliau turut menyelar kenyataan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang mendakwa parti politik cuba memperalat mahasiswa bagi mencetus huru hara dalam negara.
Selain itu, gabungan itu turut menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Razak dan mendesak Pengerusi Legasi Mahasiswa Perak (LMP), Adam Adli Abdul Halim memohon maaf.
“GPMS kalau betul mewakili mahasiswa harus bersikap adil, mengapa membisu mengenai himpunan Pro-Aspirasi di Putrajaya baru-baru ini?
“Kami difahamkan mahasiswa yang diangkut untuk berhimpun pada hari itu ditipu kerana tidak diberitahu tujuan sebenar himpunan itu kerana hanya pemimpin tertentu Aspirasi sahaja tahu tujuan himpunan itu,” katanya.
Menurutnya, Pendirian mahasiswa jelas iaitu hanya menyokong mana-mana parti yang komited memansuhkan Akta Universiti dan Kolej (Auku) dan bukan sekadar meminda akta berkenaan.
“Setakat ini, Umno dan Datuk Najib berkeras mahu pinda, manakala Pakatan Rakyat bertekad memansuhkannya jika menang pilihan raya,” kata mahasiswa bidang Pendidikan Islam ini. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan