Sekumpulan Wanita Umno mendapat ‘ceramah khas’ dari Annie Ooi Siew Lan atau nama popularnya, ‘Untie Bersih’ di depan Balai Polis Dang Wangi hari ini.
Annie bertindak demikian secara spontan semasa kumpulan Wanita Umno itu tiba di balai tersebut untuk membuat laporan polis berhubung himpunan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Januari ini.
“Untuk apa kamu ada di sini? Kamu perjuangkan siapa? Kamu sepatutnya memperjuangkan mahasiswa yang di pukul (di UPSI) itu dan jangan bersubahat dengan mereka yang membuat ganas terhadap mahasiswa yang hanya berhimpun secara aman,” kata Annie.
Nasihat beliau itu bagaimanapun disambut Wanita Umno terbabit dengan menyatakan ‘mana ada mahasiswa di pukul, tidak ada, tidak ada’.
Manakala seseorang menyampuk dengan berkata ‘tengok videolah, video ada, ada bukti. Jangan jadi lembu’.
Ceramah ringkas Annie beberapa minit itu bagaimanapun tamat selepas wartawan mengerumuni beliau bersama kumpulan Wanita Umno terbabit.
Ketika ditemui wartawan, Annie bagaimanapun terkejut apabila diberitahu wanita Umno itu datang kerana mahu membuat laporan polis terhadap himpunan menyokong Anwar pada 9 Januari ini.
“Kes anak muda dipukul jauh lebih penting dari buat report itu. Sebagai wanita, mereka (Wanita Umno itu) sepatutnya memperjuangkan anak muda dan bukannya bersubahat dengan kerajaan sekarang yang berterusan menyekat kebebasan rakyat yang hanya berhimpun secara aman bagi menyuarakan pendapat,” tegasnya yang juga bekas guru.
Annie mula dikenali selepas beliau terlibat dalam himpunan Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.
Beliau hadir di balai itu bagi memberi sokongan moral terhadap mahasiswa yang membuat laporan polis akibat dikasari dalam insiden yang berlaku di UPSI, baru-baru ini. -KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan