Pengikut

Rabu, 25 Januari 2012

Umno sengaja tempah maut

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelihatan seolah-oleh membuat pusingan U apabila berdepan tuduhan sodomi II membabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apabila keputusan yang mengejutkan itu (pembebasan Anwar) diumumkan pada 9 Januari lalu, Najib bersama pemimpin Umno yang lain tenggelam dengan pujian yang datang mencurah-curah dari seluruh pelusuk dunia kerana keadilan untuk Anwar dikotakan walaupun prosiding perbicaraan menunjukkan wujud penganiayaan politik.

Najib kelihatan berbangga dengan penghakiman ini apabila beliau mendakwa bahawa keputusan ini menunjukkan transformasi yang diperkenalkan kini membuahkan hasil.

Dalam wawancara dengan Wall Street Journal pada 13 Januari lalu, Najib memberitahu pewawancara James Hookway bahawa penghakiman ini “membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjalankan proses reformasi.”

Kata Najib, beliau serius tentang reformasi politik, sehingga ke tahap beliau sanggup menanggung risiko hilang kuasa pada pilihan raya umum akan datang.

Najib melahirkan perasaan lega bahawa isu Anwar sudah selesai dan negara boleh menangani isu-isu serius yang lain seperti ekonomi.

“Apa yang penting sekarang kita bergerak menuju ke hadapan,” katanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa dari wawancara ini Najib mengambil manfaat dari berakhirnya perbicaraan ini sebagai perkembangan yang positif yang boleh melonjakkan agenda reformasinya.

Malahan, beliau memberitahu Hookway bahawa melalui perubahan-perubahan ini, beliau berharap dapat membuka lembaran baru dengan

Amerika Syarikat sebagai “rakan mempromosi politik demokrasi dan perdagangan bebas merintasi Asia dan negara-negara Islam di Timur Tengah.”

Pusingan U rosakkan Najib


Dengan kata-kata Najib ini yang masih terngiang-ngiang di telinga, adalah sesuatu yang memeranjatkan apabila Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail memfailkan permohonan rayuan pada 20 Januari lalu.

Lebih memeranjatkan apabila Najib menafikan sekeras-kerasnya bahawa beliau terlibat dengan permohonan rayuan ini pada keesokan harinya.

Akhbar New Straits Times dilaporkan memetik Najib sebagai berkata, bahawa rayuan ini adalah urusan di antara pihak pengadu dengan
Peguam Negara dan tidak ada kena mengena dengan kerajaannya dan Barisan Nasional (BN).

Berdasarkan rasional Najib ini, keputusan hakim Dato’ Mohamad Zabidin Mohd Diah untuk melepas dan membebaskan Anwar, memberi gambaran seolah-olah penglibatan Najib, BN dan kerajaannya agak sukar untuk dipercayai.

Makanya atas asas apakah dakwaan Najib bahawa keputusan hakim itu adalah bukti wujud reformasi politik yang meluas yang didakwa Najib bahawa beliau telah melaksanakannya di negara ini?

Tidakkah jelas bila Najib mendakwa bahawa penghakiman itu bermakna beliau telah melakukan perubahan dan memberitahu dunia bahawa sebenarnya beliau tidak mempunyai kuasa ke atas proses penyiasatan dan kehakiman?

Najib juga menyedari bahawa adalah suatu kesalahan untuk mengawal institusi kehakiman untuk tujuan politik secara tidak sah dan beliau juga bersetuju untuk menghentikan sebarang campur tangan sebagai langkah ke arah memulihkan sistem demokrasi dan peraturan undang-undang.

Anwar dianiaya


Malahan seluruh dunia tahu perbicaraan ini merupakan suatu bentuk penganiayaan sejak dari hari pertama lagi yang terpaksa diharungi dengan pahit oleh Anwar selama tiga setengah tahun.

Ini dilakukan apabila Anwar ditangkap dan kemudiannya didakwa tanpa bukti yang kukuh, selain dari dakwaan pengadu yang dilihat tidak jujur. Jika tidak, kenapa seluruh dunia terperanjat dengan penghakiman itu?

Apabila pihak polis bertindak tidak adil dan pihak pendakwaraya serta hakim bertindak di luar batas kelaziman, maka tidakkah semua pihak menjangkakan bahawa Anwar akan dihukum, berbanding dengan keputusan yang memeranjatkan ini?

Kini tibalah masanya Najib dan rakan-rakannya keluar dari kepompong pemikiran yang salah yang menganggap rakyat tidak tahu semua ini.

Ini adalah untuk kebaikan mereka sendiri supaya tidak salah anggap tentang wujudnya kesedaran tentang kebenaran dalam era Internet yang memboleh maklumat diperolehi secara pantas.

Jika apa-apa mesej yang boleh perolehi dari tindakan terbaru ini (membuat permohonan rayuan terhadap pembebasan Anwar) ialah rayuan ini membuktikan bahawa dalam banyak insiden dan peristiwa kata-kata Najib tidak boleh dipercayai.

Sekali lagi, ini menunjukkan bahawa reformasi politiknya tidak lebih dari satu ilusi dan bukannya realiti.

Memancing di air keruh

Mari kita lihat gelagat Peguam Negara, bagi saya beliau cuba memancing di air yang keruh dengan memfailkan permohonan rayuan. Biar saya terangkan.

Pada hari kamar Peguam Negara memfailkan permohonan rayuan pada 20 Januari, agensi berita nasional Bernama menggeluarkan buletin berita pada jam 7.36 malam.

Bernama memetik kenyataan yang tidak diketahui nama pegawai berkenaan dari pejabat Peguam Negara sebagai berkata, di bawah Akta

Mahkamah Kehakiman 1964 hakim perbicaraan dikehendaki menyediakan penghakiman bertulis untuk membolehkan, sama ada pihak pendakwaraya atau pihak pembelaan untuk memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari.”

Menurut Bernama, pegawai berkenaan menyatakan bahawa “selepas membaca laporan penghakiman bertulis, mereka akan membuat keputusan sama ada untuk memfailkan petisyen rayuan.”

Bagaimanapun, dua jam kemudian, buletin berita Bernama yang dikeluarkan pada jam 9.51 malam melaporkan kamar Peguam Negara membuat kenyataan yang berbeza, Bernama melaporkan.”

Bukti undang-undang

“Pejabat Peguam Negara berkata hari ini bahawa keputusan untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi untuk melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan bukti undang-undang.”

Kata kenyataan itu, dalam membuat keputusan ini, Jabatan bertindak semata-mata berdasarkan bukti menurut undang-undang, tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak ataupun emosi.

Bernama seterusnya memetik kenyataan Kamar Peguam Negara sebagai berkata:

“Keputusan untuk memfailkan notis rayuan akan membolehkan Jabatan ini mendapatkan laporan penuh penghakiman bertulis dari hakim berkenaan dan rekod prosiding dari Mahkamah Tinggi.

“Dan keputusan ini juga adalah sejajar dengan hasrat kami untuk memberi penghargaan terhadap fakta dan hujah yang dikemukakan hakim berkenaan bagi membuat penghakiman itu.”

Adalah jelas pihak kamar Peguam Negara menyedari akan kesilapan dari kenyataan pertama yang menyebut bahawa keputusannya untuk membuat rayuan adalah bergantung kepada kandungan penghakiman bertulis, tanpa menyebut “fakta dan undang-undang” sebagai asasnya. Kenyataan kedua dibuat bagi membetulkan kesilapan dan kekurangan kenyataan yang pertama.

Begitu pun, kenyataan sampingan yang menambah “fakta dan undang-undang” sebagai rasional untuk rayuan, pejabat Peguam Negara menegaskan bahawa apa yang membuat pihaknya memfailkan notis rayuan ialah agar pihaknya mempunyai peluang untuk meneliti laporan penghakiman bertulis.

Inilah yang cuba ditonjolkan untuk memberi gambaran bahawa Peguam Negara akan menunggu laporan penghakiman bertulis sebelum akhirnya membuat keputusan untuk membuat permohonan rayuan.

Ini menimbulkan persoalan: perlukah kamar Peguam Negara mempunyai pendiriannya sendiri, sebagai pihak yang mengambil inisiatif untuk mendakwa dan bersusah payah untuk meneruskan pendakwaan?

Pejabat Peguam Negara seharusnya merupakan pihak yang paling mengetahui berbanding orang lain di atas kekuatan dan kelemahan bukti-buktinya.

Makanya tidak ada sebab kenapa pihaknya tidak boleh membuat keputusan sama ada, penghakiman itu adil atau tidak adil tanpa laporan penuh penghakiman bertulis kecuali tentunya pihaknya menantikan peluang untuk mengambil kesempatan dari kelemahan-kelemahan teknikal dalam penghakiman bertulis itu.

Kelemahan kes pendakwaan


Hakim menjelaskan bahawa keputusannya membebaskan Anwar adalah kerana terdapat bukti pemalsuan terhadap bukti utama perbicaraan – DNA.

Beliau menjustifasikan kenyataannya dengan menyatakan bahawa secara saintifik adalah mustahil untuk air mani boleh hidup lebih dari 100 jam bagi mengenal pasti DNA di bawah suhu tropikal seperti dalam kes Anwar. Perkara ini disebut oleh pakar DNA dari Australia, Dr Brian McDonald.

Adakah Peguam Negara bersetuju atau tidak dengan pandangan ini? Jika jawapannya negatif, bolehkah beliau menamakan satu pihak yang mempunyai autoriti untuk menyokong pandangannya? Jika jawapannya positif, bolehkah beliau memberitahu kita kenapa beliau membuat rayuan?

Dan apa “fakta dan undang-undang” yang dikatakannya apabila bukti DNA telah didedahkan sebagai palsu?

Tidakkah ini jelas menunjukkan bahawa dengan memfailkan notis rayuan, Peguam Negara mengekalkan haknya dengan harapan kemudian nanti dapat menemui kelemahan-kelemahan teknikal dalam penghakiman bertulis itu bagi tujuan menolak penghakiman itu?

Sebab itu, Peguam Negara menekankan bahawa dokumen-dokumen ini sangat penting kepadanya untuk membuat keputusan nanti.

Dengan bersikap demikan, layakkah seseorang yang cuba menafikan tertegaknya keadilan menjadi ketua penasihat kepada Yang DiPertuan Agong dan anggota kabinet, yang telah bersumpah untuk menjunjung Perlembagaan?

Atau tingkah laku beliau ini lebih mencerminkan sebagai seseorang yang taat mengikut arahan untuk meneruskan kerja-kerja menghapuskan pencabar utama musuh politik tuannya?

Jawapannya terdapat dalam bukti yang tidak perlu dijelaskan lagi dari prosiding mahkamah dan tindakan terbaru untuk membuat rayuan terhadap pembebasan Anwar.

Satu tragedi buat Umno

Peristiwa ini merupakan satu tragedi buat Najib dan Umno kerana bila mana peluang mula terbuka untuk Najib membuat beberapa perubahan dan transformasi dengan keputusan hakim itu, pintu itu cepat-cepat ditutup semula dengan rayuan ini.

Lebih buruk lagi, ini membuktikan Umno memang tidak boleh berubah.

Peristiwa ini bakal memusnahkan Umno akhirnya apatah lagi muncul ditengah-tengah kuasa rakyat yang bangkit menentang regim yang korup.

Gelombang perubahan yang telah mentransformasi negara-negara di Afrika Utara dan Timur Tengah yang mula melanda di rantau ini, kini telah tiba di pesisiran pantai negara ini. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan