Ketua Penerangannya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, pendekatan sedemikian perlu bagi menyuburkan budaya membahas dan membincangkan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat dari semasa ke semasa secara konstruktif, membabitkan pemimpin-pemimpin negara.
"Ini satu idea yang baik khususnya menjelang pilihan raya umum, sebagaimana amalan di negara-negara lain, yang kini turut diamalkan di Jepun dan juga Korea, di mana debat dan perbahasan politik diadakan bagi rakyat menilai dasar-dasar dan pendekatan yang dibawa, yang hendak dibawa," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Katanya, jika idea itu menjadi kenyataan, ia pastinya akan menjadi satu lembaran baru arena politik negara ini.
Beliau mengulas pandangan Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian agar Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.
"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim.
Bagaimanapun, dalam reaksinya Umno berpendapat bahawa cadangan debat terbuka antara Najib dan Anwar bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Ketika dihubungi Sinar Harian semalam, Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini. -SH
p/s: Dalam masa yang sama, Umno menerusi Datuk Ahmad Mazlan menolak debat antara Najib dan Anwar kerana amalan berdebat hanya dilakukan negara barat dan bukan budaya kita, Negara kita Malaysia berbilang bangsa... Apa kena dengan berbilang bangsa? yang kita nak debatkan soal ekonomi dan ianya untuk kebaikan rakyat.!!! Apa punya alasan menteri Umno bagi, kalau dah takut tak terjawap cakap lah...
Baca kenyataa beliau dibawah:-
Umno: Najib, Anwar tak perlu debat
SHAH ALAM – Cadangan debat terbuka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan beberapa isu dianggap tidak sesuai untuk dilaksanakan.
Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan berkata, budaya debat adalah budaya Barat yang masih belum boleh diterima di negara ini.
Menurutnya, Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa. Tidak seperti di Barat di mana politik mereka lebih bersifat terbuka serta tidak melibatkan pelbagai kaum.
“Di sini, banyak sensitiviti rakyat perlu diutamakan. Untuk menyampaikan setiap dasar, memberi ceramah sudah memadai dengan membentangkan apa sahaja topik yang ingin dibawa.
“Biarlah memberi ceramah secara berasingan. Rakyat boleh membuat penilaian tersendiri apakah setiap ucapan menerusi ceramah itu dapat dilaksanakan atau tidak kedua-dua pemimpin ini.
“Lagi pula, Anwar sering dikaitkan dengan isu peribadi. Jadi kebarangkalian untuknya dikaitkan di dalam debat adalah tinggi, ditambah dengan isu peribadinya yang masih belum selesai. Kerana itu saya katakan, tidak perlu adakan debat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Jelasnya, Dewan Rakyat adalah platform sesuai digunakan semua pemimpin untuk mengutarakan pelbagai isu.
“Ini medium yang baik. Ia boleh dikategorikan sebagai debat kecil, di mana setiap pertanyaan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang diajukan dan disertakan dengan jawapan sama ada lisan mahupun bertulis.
“Jadi, Dewan Rakyat sudah mempertemukan semua pemimpin dalam keadaan terbuka dan boleh membidas antara satu sama lain,” katanya.
Semalam, Sinar Harian Online membawa laporan memetik Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim wajar mengadakan satu debat terbuka berkenaan dasar dan pendekatan kerajaan menguruskan negara.
Menurut Ibrahim, maklumat yang dikumpulkan hasil perbincangan kumpulan berfokus melibatkan profesional-profesional Melayu menunjukkan, mereka berminat untuk melihat satu debat membabitkan kedua-dua pemimpin berkenaan.
"Maklumat ini, kami peroleh hasil perbincangan dengan kumpulan profesional Melayu baru-baru ini, mereka mahu kedua-dua Anwar dan Najib mengadakan debat, membincangkan isu-isu yang besar, isu rakyat dan isu negara... bukannya isu-isu peribadi tetapi lebih kepada kepentingan rakyat.
"Saya nampak seolah-olah ada satu perubahan dalam kehendak dan keinginan di kalangan rakyat, mereka mahu satu budaya baru, diadakan debat (seperti di negara-negara lain), daripada kempen memburuk-burukkan satu sama lain," kata Ibrahim. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan