Pengikut

Isnin, 17 Januari 2011

Najib Akan Adakan PRU-13 Dalam Tahun Ini?

Bila tarikh Pilihan Raya Umum (PRU 13)? Persoalan ini menjadi hangat sejak beberapa bula kebelakangan ini kerana banyak tindak-tanduk Perdana Menteri (PM), Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, memberi petunjuk bahawa kemungkinan beliau membubarkan Parlimen, akan terjadi dalam masa terdekat!

Bagi mereka yang rapat dengan Najib, tentulah tidak yakin dengan keberanian Najib membubarkan Parlimen tahun 2011 ini, walaupun pilihan raya negeri Sarawak mesti diadakan tahun ini juga, selewat-lewatnya Julai.

Angka 13 (PRU 13) bukan angka yang digemari Najib. Di kotak fikiran Najib, 13 memberi erti sejarah hitam 13 Mei dan angka 13 yang digemari bekas PM, Tun Abdullah Ahmad Badawi membawa musibah kepadanya, apabila gopoh membuat perhitungan.

Najib minat angka 11. Keretanya, menggunakan nombor 11. Peruntukan yang diberikan kepada Program Permata kepunyaan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, RM111 juta. Jadi, kebetulan tahun ini tahun 2011, maka ramai yang rapat dengan Najib merasakan Najib akan memilih tarikh pembubaran Parlimen, mesti ada kaitan dengan angka 11, iaitu samada 11 haribulan, atau bulan 11 atau….11 haribulan dan bulan 11 tetapi bukan tahun 2011.

Ingat, Pak Lah memilih Mac 21, 2004 sebagai tarikh pilihan raya pertama selepas beliau menjadi PM. Tarikh ini memberi kemenangan besar yang tidak pernah dicapai BN selama ini. Disebabkan kemenangan besar itu, bekas PM sebelum Pak Lah, Tun Dr. Mahathir menjadi resah dan gelisah. Bila ada isu-isu yang beliau tidak seronok, beliau mengadakan perhimpunan untuk berceramah, mengecam dan mengkritik Pak Lah.

Kesannya, apabila Pak Lah memilih Mac 8, 2008, kurang beberapa hari untuk menggenapkan empat tahun dari tarikh PRU 11, untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke 12, akhirnya Pak Lah menerima keputusan pilihan raya yang merentap kedudukannya sebagai PM yang ke 5 dalam keadaan yang cukup memalukan.

Najib melihat ini semua. Najib sudah berada di dalam kerajaan dan parti sejak era kepimpinan PM ke 3, Allahyarham Tun Hussein Onn. Tentulah, apa yang beliau saksikan ini, tidak akan menyebabkan beliau berani untuk memperjudikan nasibnya, menjadi PM yang terpendek dari segi tempoh perkhidmatan. Dengan kerja keras Pakatan Rakyat di luar sana, yang akan ke Putrajaya selepas PRU 13 akan datang, Najib terpaksa "berikrar akan mempertahankannya dengan apa cara sekalipun".

Ketika Najib memperlihatkan beliau sudah bersedia untuk mengadakan pilihan raya, sebenarnya mood itu sengaja dicipta bagi menggerakan jentera Umno dan BN yang dilihatnya sentiasa berada di dalam zon selesa. Kepada jentera Pakatan Rakyat, Najib mahu mereka memulakan "larian" supaya cepat kehabisan stamina. Biar mereka bermula awal dan cepat penat! Yang pasti, tidak mungkin untuk Najib mahu mengadakan PRU 13, serentak dengan Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berisiko kalah.

Namun, dalam politik Malaysia, ia seperti satu permainan bolasepak. Macam-macam boleh terjadi. Tarikh pilihan raya hanya diketahui oleh pihak yang memerintah. Bila mereka mahu membubarkannya, termasuk esok atau lusa, itu dianggap sebagai kelebihannya.

Satu perkara pasti yang mudah ditafsirkan sebagai tarikh pembubaran Parlimen ialah, jika ada pengumuman bonus kepada kakitangan kerajaan dan banyak projek pembangunan yang boleh diberikan kepada kontraktor kroni diumumkan! Itulah sebabnya, apakah Konvensyen Pakatan Rakyat mencadangkan imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru, ia cukup merisaukan Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Walaupun guru bukan penentu kemenangan atau kekalahan dalam pilihan raya, tetapi kesannya cukup besar kepada situasi politik sekarang. Apakah mereka yang berada di dalam BN kini sudah bersedia untuk kalah dalam PRU 13? Tentulah jawapannya "akan pertahankan dengan apa cara sekalipun" kerana masing-masing takut, selepas kerajaan BN tumbang, semua rumah kediaman mereka akan dinilai semula, harta yang mereka kumpulkan akan disiasat dan berapa banyak kenderaan mewah yang himpun di rumah mereka, akan dihitung.

Semua ini, mereka tidak mahu. Mereka tidak mahu rahsia kekayaan mereka diketahui rakyat di Hulu Kelantan kerana, ketika masih ada rakyat yang makannya hanya sekali sehari, mereka yang berkuasa hidup bermewah-mewahan dengan menghisap cigar yang berharga RM200 sebatang!

Cuba bertanya kepada menteri dan timbalan menteri yang membarisi kabinet kerajaan sekarang, siapakah yang mempunyai hanya sebuah kereta peribadi? Atau cuba bertanya, siapakah yang hanya mempunyai dua buah seorang kereta peribadi?

Tentulah jawapannya tidak ada seorang pun yang mempunyai hanya sebuah atau hanya dua buah kereta peribadi – kerana bagi mereka, melambakkan kereta mewah adalah lambang keseronokan menjadi pemimpin Umno. Jangan sesiapa bertanya, di mana anak-anak menteri dan anak-anak timbalan menteri ini belajar.

Usah sesiapa terkejut jika ada menteri yang menghantar anak mereka belajar ke luar negara sejak berusia tujuh tahun, kerana ini akan menjadi tiket kepada mereka, mengambil cuti bersama keluarga untuk menziarahi anak-anak yang belajar di luar negara.

Dengan lain perkataan, mereka ini sendiri tidak yakin dengan sistem pendidikan negara ini, sistem yang mereka sendiri buat. Mereka mahukan rakyat biasa dan orang lain belajar di Malaysia tetapi, anak-anak mereka, mereka hantar ke tempat lain.

Berbalik kepada teka-teki tarikh pilihan raya umum, walaupun sukar mempercayainya, Najib tidak akan membubarkan Parlimen tahun ini! Ini jelas. Seboleh-bolehnya, Najib akan menarik sejauh mungkin tarikh ini, walaupun tidak akan sampai ke tempoh matang.

Najib juga cukup risau dengan tahap sokongan pengundi Cina dan India yang dilihatnya masih belum kembali ke pangkuan BN melalui MCA, Gerakan dan MIC. Walaupun Najib tahu pengundi Melayu masih memberi kelebihan kepada Umno, terutamanya masyarakat Felda dan kampung, namun dengan tipisnya sokongan masyarakat Cina dan India, Najib sedar Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan lagi.

Itulah sebabnya, semakin kerap slogan "1Malaysia" dilaungkan, bukan kerana slogan itu menghiburkan, tetapi ia suatu produk yang boleh dijadikan bahan jualan baru. Soalnya, apakah produk ini disukai oleh rakyat? Yang lebih penting, apakah slogan ini, yang didakwa disukai oleh rakyat, jika ia dijual, rakyat akan membelinya?


Oleh Safar Jumaat
Safar Jumaat seorang penulis yang rapat dengan serambi Umno

Tiada ulasan:

Catat Ulasan