Pengikut

Ahad, 8 Januari 2012

Saya hormat keputusan Pas - Azmin

“Saya menghormati keputusan Pas kerana saya yakin itu adalah kebaikan untuk PR (Pakatan Rakyat).” Demikian pendirian Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mengulas isu Datuk Dr Hasan Ali dipecat serta-merta dari ahli Pas hari ini.

Azmin berkata, keputusan Pas itu mempunyai matlamat tersendiri dan jelas bagi memperkukuhkan prinsip PR.

“Saya percaya mesej kepada keputusan berani Pas itu dapat memperkukuhkan parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang akan berlangsung bila-bila masa saja,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Pas pusat dalam mesyuarat yang diadakan pada hari ini telah membuat keputusan berdasarkan Fasal 82(9) iaitu memecat keahlian Hasan sebagai ahli Pas berkuat kuasa serta-merta.

Kenyataan media Pas dikeluarkan petang ini menyebut, keputusan ini dibuat berdasarkan kepada tindakan-tindakan Hasan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Pas.

Secara kebetulan, Pas mengumumkan pendirian terbaru ini tiga hari selepas Azmin meminta parti Islam itu mengambil tindakan ke atas Hasan, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor.

Hasan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri kerusi Gombak Setia yang terletak dalam bahagian Parlimen Gombak. Azmin merupakan Ahli Parlimen Gombak.

Mengulas lanjut, Azmin menegaskan, beliau tidak pernah berniat untuk campur tangan terhadap Pas berkaitan isu Hasan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib semalam.

Azmin berkata, kenyataan Hasan yang mengatakan perhimpunan 901 tidak perlu dihadiri kerana ia bertujuan menyokong peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas apabila dikeluarkan oleh seorang pemimpin PR.

“Datuk Seri Anwar telah dipilih sebagai ketua PR atas persetujuan semua pihak, tidak eloklah kenyataan Hasan sebagai ahli PR sendiri berkata begitu.

“Bagi saya dan juga DAP, perhimpunan esok bukan berkaitan isu peribadi tetapi adalah untuk tuntutan rakyat yang mahukan keadilan ekonomi, perundangan, pendidikan dan sebagainya.

“Kami bukan menyokong isu peribadi Anwar, tetapi kami menyokong dan ingin meneruskan perjuangan beliau untuk negara,” katanya. -SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan