Pembangkang membidas tindakan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi relevan jika gagal menakluki Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) depan.
Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, itu kata-kata Raja Petra dalam wawancara bersama beliau di Singapura, jadi adalah menjadi haknya untuk mengeluarkan pandangan.
“Kami tidak boleh menghalang beliau daripada mengeluarkan pendapat mahupun kritikan terhadap pimpinan PR. Inilah dikatakan kebebasan bersuara. Bagaimanapun beliau perlulah lebih bertanggungjawab dengan pulang ke Malaysia.
“Bercakaplah di negara sendiri, barulah kami akan melayan kenyataan beliau. Ini menampakkan beliau lebih berintegriti,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan Raja Petra mendakwa Anwar gagal sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana masih terdapat unsur ‘duit bawah meja’ dalam melakukan urusan yang sepatutnya diperjuangkan.
Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menafikan dakwaan itu.
Katanya, Anwar masih diterima rakyat dalam sebarang tindakan yang dilakukannya dan sokongan terhadapnya semakin meningkat.
“Tuduhan Raja Petra berunsur provokasi dan mainan media sahaja. Dia sebagai pemerhati politik pernah bersama PR, bukannya mengikuti PR secara langsung.
“Jika benar Anwar disifatkan sebagai liabiliti, kenapa kerajaan seolah-olah memberi tekanan kepada beliau sehingga kini,” katanya.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, pula mengingatkan media supaya lebih bersikap terbuka dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
“Paparlah isu yang Raja Petra pernah mengkritik mereka di muka depan juga, bukan berita yang memburukkan pembangkang sahaja.
“Ini disebabkan mereka mengguna sumber sama. Jika tidak sumber itu dianggap tidak layak,” katanya. -SinarHarian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan