Pengikut

Isnin, 2 Januari 2012

Majlis Peguam: Kempen Bebas Anwar 901 tidak hina mahkamah

Majlis Peguam menyokong kempen demonstrasi jalanan Bebas Anwar 901 yang dirancang 9 Januari ini kerana beranggapan perbicaraan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bermotifkan politik.

Presidennya, Lim Chee Wee mendakwa, tertuduh (Anwar) tidak diberi perbicaraan adil apabila dilarang melihat dokumen dan maklumat untuk mempertahankan diri.

Malah, katanya, Perlem­bagaan Persekutuan juga tidak menjelaskan sekatan ke atas bantahan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah.

“Sama seperti demonstrasi yang pernah beberapa kali berlangsung di Parlimen. Ia tidak boleh disekat walaupun kerajaan mempunyai pelbagai alasan seperti menjaga keselamatan awam.

“Justeru, kami mengambil pendirian ia (bantahan terhadap keputusan mahkamah) tidak salah dan bukan perkara yang luar biasa. Buktinya dapat dilihat pada 8 Januari 2010 yang lalu, orang Islam dibenarkan berkumpul di pekarangan masjid di seluruh negara membantah penggunaan perkataan ALLAH diguna pakai agama lain,” katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan kerajaan kerana tidak menghentikan bantahan itu walaupun mahkamah telah membuat keputusan pada 7 Januari 2010.

Chee Wee (gambar) berkata, di Kazakhstan sepanjang empat tahun turut menyaksikan penunjuk perasaan berkumpul setiap Rabu memprotes terhadap sabitan seorang aktivis hak asasi manusia yang menjalani hukuman kerana membunuh.

“Saya juga tidak setuju dengan kenyataan sesetengah pihak yang menganggap bantahan terhadap mahkamah seperti menghina badan itu. Dalam kata lain, mahkamah juga tidak melarang sesiapa yang tidak berpuas hati menyatakan pendapatnya.

“Kami pernah mengadakan perkara sama dalam beberapa keputusan mahkamah, antaranya menyokong peguam Zainur Zakaria dan membantah tindakan mahkamah mengenakan hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah dalam kes liwat Anwar,” katanya. -SinarHarian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan