Pengikut

Rabu, 21 Disember 2011

Perkasa jadi tidak waras bila SPR umum guna dakwat kekal

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) disifatkan sudah hilang kewarasan kerana mempersoalkan kesahihan penggunaan dakwat kekal pada pilihan raya umum ke 13 (PRU-13).

“Perkasa seolah-olah hilang akal apabila timbul cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk menggunakan dakwat kekal,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Titi Serong, Drs Khalil Idham Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Semalam, NGO pro-Umno itu memberi amaran, tindakan SPR mahu menggunakan dakwat kekal dalam PRU-13 akan menyebabkan orang Melayu tidak keluar mengundi.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali juga mendakwa pihaknya yakin penggunaan dakwat kekal akan membawa negara ke belakang.

Khalil Idham yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat negeri Perak menegaskan bahawa sebenarnya langkah itu seiring dengan syor Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya.

“Pelbagai alasan yang langsung tidak kukuh dikemukakan oleh mereka kononnya bertujuan untuk menimbulkan keraguan di kalangan rakyat, Umno-Barisan Nasional (BN) dalam hal ini seperti budak hingusan yang tidak sedar hingusnya meleleh.

“Rakyat ternanti-nanti bilakah agaknya kerajaan mahu mengorak langkah untuk ke arah perubahan, walaupun cuma satu harapan iaitu pelaksanaan dakwat kekal,” katanya.

Beliau menambah, memandangkan negara-negara yang lebih “hebat” suasana sosiologinya seperti di beberapa negara di Timur Tengah dan Asia Tenggara telah pun menggunakan dakwat kekal dalam proses pilihan raya mereka.

Batang hidung

“Namun apabila sampai kepada batang hidung kumpulan pro-Umno, penggunaannya terus dikatakan ketinggalan zaman, alasannya pula tidak dihuraikan lanjut secara hujah yang bernas,” terang beliau.

Menurut beliau, baru-baru ini blogger tegar Umno yang dikatakan “kebal” perundangan, iaitu Papagomo telah menerbitkan satu video mengenai tutorial menghilangkan palitan dakwat kekal dijari.

“Ini juga satu lagi usaha Umno bagi menimbulkan keraguan rakyat,” tegas Khalid Idham.

Ujar beliau, “saya katakan begitu kerana ia dirakam secara potong-potong dan edit semula sebagaimana yang dikatakan lima minit itu.

Mungkin juga dakwat itu telah dicampur dengan bahan lain yang boleh menghilangkan keasliannya,

“Jika tulisan dalam blognya boleh dicampur dengan unsur fitnah, inikan pula dakwat miliknya, sudah pasti amat mudah dicampur dengan unsur lain,” katanya.

Kelmarin SPR mengumumkan bahawa semua pengundi wajib dicalit dengan dakwat kekal dan sekiranya mereka enggan berbuat demikian, maka pengundi terbabit tidak akan diberikan kertas mengundi. -FMT

Tiada ulasan:

Catat Ulasan