Pengikut

Rabu, 30 November 2011

Shahrizat guna kes liwat Anwar alih skandal NFC

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga harus meletakkan jawatan sebagai presiden PKR ekoran tuduhan jenayah dihadapi suaminya jika beliau dipaksa berundur berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini berhadapan dengan tekanan daripada PKR agar meletakkan jawatan kerajaan dan politik ekoran siri pendedahan berkaitan NFC, yang diuruskan oleh keluarganya.

Antara isu yang dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin PKR ialah salah guna dana projek ternakan lembu NFC termasuk untuk membeli kondominium mewah dan membiaya perbelanjaan keluarga, antaranya kos menunaikan umrah.

Sekali lagi hari ini, Shahrizat (gambar) mempertahankan dirinya bahawa beliau tidak kena-mengena dengan syarikat diuruskan oleh suami dan anak-anaknya.

Sebaliknya beliau mencabar Ketua Wanita PRK Zuraida Kamaruddin agar mendesak peletakan jawatan oleh Dr Wan Azizah.

Shahrizat membuat cabaran itu ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Agung Tahunan Wanita di sini hari ini.

Projek NFC kini disiasat oleh polis. Pengerusi Eksekutif NFC Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail merupakan suami Shahrizat.

“Beliau (Zuraida) minta saya letak jawatan sebab suami saya terlibat dalam NFC. Beliau buat kerja beliau dan saya buat kerja saya. Saya tiada kaitan dengan itu. Mengapa minta saya letak jawatan?” kata Shahrizat di hadapan 944 perwakilan Pergerakan Wanita. “Jika itu polisi dan prinsip beliau, maka saya mencabar ketua Wanita PKR agar minta presiden PKR letak jawatan,” katanya lagi.

“Hari ini saya mencabar semua (ahli Wanita PKR) agar minta peletakan jawatan Wan Azizah sebab suami beliau (Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim), yang telah dihukum dan didakwa,” katanya lagi. -TMI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan