Pengikut

Selasa, 29 November 2011

MP Pakatan keluar dewan, protes Akta Perhimpunan Aman

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat hari ini keluar dewan beramai-ramai bagi membantah tindakan kerajaan persekutuan yang enggan menarik balik Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang sedang dibahaskan hari ini.

Tindakan keluar dewan itu diketuai Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa berkata, Pakatan membuat keputusan berkenaan sebagai tanda protes, selepas menjangka rang undang-undang itu akan tetap diluluskan.

“Kita memilih tindakan keluar dewan kerana kita sudah menjangka akta ini akan diluluskan juga dengan mereka menggunakan undian majoriti.

“Malah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz juga enggan memberi respon mengenai desakan kita agar rang undang-undang itu ditarik balik,” katanya ditemui selepas Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan hari ini.

Menurutnya, jika undian diadakan sekalipun, ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak mampu menghalang rang undang-undang itu dari diluluskan kerana majoriti Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat ialah dari Ahli Parlimen BN.

Sebelum Ahli Parlimen Pakatan Rakyat keluar dewan, Lim Guan Eng dan Azmin Ali bangun berbahas bagi menentang akta itu dan meminta rang undang-undang itu ditarik balik.

Namun, permintaan itu bagaimanapun tidak diendahkan sebelum mereka keluar beramai-ramai. -KeadilanDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan