Pas tidak akan sekali-kali memaksa golongan bukan Islam untuk menerima undang-undang jenayah syariah antaranya pelaksanaan hukum hudud yang hebat diperkatakan sejak kebelakangan ini.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak memaksa orang bukan Islam menerima ajaran Islam berikutan banyak tanggapan negatif dimomokkan Barisan Nasional (BN), terutama mengenai isu hukum itu sehingga memberikan persepsi buruk terhadap hudud.
“Umno yang selama ini penyebab orang memandang negatif terhadap hukum Islam iaitu hudud yang dimomokkan melalui media walaupun semua maklum kita kini menghadapi krisis sosial teruk antaranya jenayah dan ia perlu kembali kepada ajaran ALLAH.
“Pas cuba perkenalkan hudud dan takzir, namun Umno sengaja memperbesarkan hudud sahaja sehingga ia menakutkan orang bukan Islam serta perbodohkan orang Islam,” katanya dalam ucapannya di Kongres Sambutan 60 tahun Pas di sini semalam.
Menurutnya, undang-undang syariah itu mementingkan keadilan dengan setiap keputusan dibuat perlu menepati syarat ditetapkan.
“Ajaran ALLAH adalah untuk mendidik. Bukan senang nak jatuhkan hukuman, ia perlu ada beberapa syarat, melalui proses kehakiman, saksi dan hakim yang mencari jalan untuk membebaskan tertuduh dan bukannya mencari jalan untuk menjatuhkan hukuman.
“Kita tidak memaksa bukan Islam untuk terima undang-undang Islam dan kita tidak pernah memaksa golongan ini menerima Islam,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi berkata, Pas akan terus berteraskan al-Quran serta sunnah dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Menurutnya, parti itu akan memperjuangkan dasar Islam yang sempurna bagi meneruskan semangat perjuangan tokoh sebelum ini.
“Pendirian ini dipegang sebagai persediaan bersama rakan lain dalam Pakatan Rakyat (PR) untuk menghadapi pilihan raya kelak. Ini sebagai persediaan menghadapi kontroversi hukum hudud diperkatakan semula baru-baru ini.
“Pas parti Islam terawal ditubuhkan di Asia Tenggara. Ia ditubuhkan untuk kesinambungan kedatangan Islam yang sempurna dan bukannya dipotong-potong. Pendakwah yang bawa Islam ke Nusantara sudah mengislamkan rakyat, pemimpin, peme-rintah serta ketua negara,” katanya.
Menurutnya, Pas akan tetap perjuangkan dasar Islam dan tidak mengubah prinsip asas itu dengan bertunjangkan prinsip teguh, kuat serta tidak hanyut walaupun dijajah.. -SinarHarian
p/s: Kepada Rakan-rakan yang bukan beragama Islam... usah bimbang kerana Undang-undang Hudud hanya untuk yang beragama Islam dan kepada yang bukan Islam tiada paksaan untuk anda menerimanya... jadi harap rakan-rakan tidak takut akan Undang-undang (Hukum) Hudud ini. Islam menjamin hak bukan Islam dijaga...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan