Sehubungan itu Ketua Pembangkang ini berkata pentadbiran Najib cuba membohongi rakyat dengan memberikan maklumat tidak betul mengenai sambutan penyertaan dalam perhimpunan anjuran Bersih 2.0 semalam.
Ketika bercakap pada sesi dialog profesional muda di sini, Ketua Umum Pakatan Rakyat ini ditanya sama ada Malaysia kini di ambang “Revolusi Bunga Raya” - merujuk kepada bunga kebangsaan.
“Kita tiada keyakinan (ke atas kerajaan), jadi adalah penting bagi Najib mempertimbangkan dengan serius, kita dekat dengan (satu revolusi),” kata Anwar sambil menambah ketegangan kaum juga meningkat.
Kemudian Anwar bercakap kepada pemberita bahawa Najib selaku perdana menteri seharusnya “mendengar dan tidak terlalu angkuh dengan menggunakan kekerasan menerusi pasukan polis.”
“Rakyat sudah tidak sabar. Mereka telah menyerahkan memorandum, malah mereka juga telah menghadap Agong. Apa lagi mereka boleh lakukan?” katanya lagi.
Anwar juga tidak menolak kemungkinan akan diadakan satu lagi perhimpunan selepas kejayaan mengumpulkan ribuan penyokong Bersih 2.0.
“Kami belum membincangkan perkara itu, tetapi kami tidak menolak opsyen-opsyen kami,” katanya.
Pagi tadi ketika bercakap pada pertemuan dengan kepimpinan Umno bahagian, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan, Najib yang juga Presiden Umno mendakwa Anwar adalah dalang dan petualang sebenar di sebalik penganjuran perhimpunan semalam.
Najib menyifatkan perhimpunan anjuran pertubuhan tidak berdaftar Bersih 2.0, merupakan rancangan terdesak Ketua Pembangkang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk memanipulasi rakyat bagi meraih sokongan.
Dipetik Bernama Online, Najib yang juga Presiden Umno berkata, Anwar tergugat dengan sokongan rakyat yang semakin kuat terhadap kerajaan berikutan pelbagai dasar pembangunan ekonomi yang telah dilaksanakan.
Pengerusi BN itu beliau berkata Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sanggup menggorbankan prinsip dan mengetepikan agama dan bangsa asalkan dapat mencapai impiannya menjadi Perdana Menteri.
“Dia tahu kalau dia tak lakukan sesuatu, kita (Barisan Nasional) akan menang dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
“Ini merupakan peluang terakhir baginya (Anwar). Bila orang tahu ini peluang terakhir, mereka akan buat segala-galanya, baik atau tidak,” katanya.
Najib juga mendakwa Anwar sengaja hendak menjejaskan imej negara dan menunjukkan kepada dunia yang Malaysia ini tidak demokrasi dan sebaliknya cuba menunjukkan dirinya sebagai seorang yang baik.
“Perangai hodoh ini tidak pernah ubah dari dulu sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata Anwar mahu menuntut pilihan raya yang adil dan bersih, tetapi pemilihan PKR juga dicemari pelbagai skandal. -The Malaysian Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan