Pengikut

Sabtu, 30 Julai 2011

Air Asia pindah ibupejabat ke Indonesia

Perpindahan ibu pejabat korporat syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dari Kuala Lumpur ke Jakarta baru-baru ini menggamit pelbagai tanda tanya di kalangan pemerhati ekonomi.

Sesawang Asia Sentinel melaporkan, perpindahan tersebut dikatakan menjadi satu tamparan bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika ini giat memperkatakan soal tranformasi ekonomi negara yang didakwanya kian berjaya.

AirAsia telahpun mengesahkan perpindahan operasi pada 15 Julai lepas, setelah didakwa menghadapi pelbagai kesulitan hampir dua bulan di negara ini.

Tony Fernandes (gambar kiri), Ketua Eksekutif AirAsia pada satu kenyataan media di Tokio sehari sebelumnya bagaimanapun dilaporkan berkata, langkah itu merupakan satu usaha untuk meningkatkan imej syarikatnya (AirAsia) sebagai syarikat penerbangan serantau Asia Tenggara; bukan sekadar membawa imej Malaysia sahaja.

"Saya tidak tahu sama ada Najib (Presiden Umno) telah diberitahu atau tidak...tetapi mengapa Tony harus membuat pertimbangan (untuk kekal beroperasi di Malaysia)?

"Terdapat sebab-musabab (prospek) perniagaan yang kukuh untuk bergerak ke Jakarta," kata rakan perniagaan Fernandes di Kuala Lumpur.

Sumber berkata, perkembangan terbaru itu sekaligus memperlihatkan bahawa usaha Najib memperbaiki kepercayaan pelabung asing kian sukar, terutama selepas polis didakwa bertindak agresif ke atas rakyat di perhimpunan aman Bersih 2.0 pada 9 Julai lepas.

Rakyat dilayan demikian semata-mata kerana menuntut reformasi menyeluruh dalam sistem pilihan raya depan.

Lapor sumber lagi, langkah proaktif itu dipercayai selepas syarikat korporat berkenaan mengambil kira keputusan Suruhanjaya Diraja Siasatan Kematian Teoh Beng Hock yang diumumkan pada 23 Julai lepas.

Pembantu politik DAP terbabit disimpulkan membunuh diri dengan terjun dari tingkap atas ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak tahan dek siasatan agresif secara berturut-turut oleh tiga pegawai suruhanjaya.

Ditambah dengan layanan yang diterima oleh peguam Perancis William Bourdon yang dihantar pulang serta merta oleh pihak imigresen kerana tekad membongkar skandal rasuah kapal selam Scorpene yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya, sumber melaporkan, memberi pertimbangan lanjutan yang negatif pada AirAsia sehingga bertindak keluar dari negara ini.

Dalam pada itu, lapor sumber, Fernandes sendiri menyifatkan perpindahan itu demi memanfaatkan peluang ekonomi yang lebih besar di samping faktor kependudukan di negara itu yang lebih 10 kali ganda berbanding Malaysia.

Sumber menyebut, Fernandes mengaku bahawa pendapatan tahunan per kapita rakyat Malaysia lebih tinggi berbanding Indonesia. Malaysia mencatatkan angka USD14,700, manakala Indonesia hanya USD4,200.

Pun begitu, lapor sumber lagi, saiz ekonomi Indonesia jauh lebih besar berbanding Malaysia.

"Factbook CIA" mengganggarkan saiz ekonomi Indonesia bagi tahun 2010 adalah berjumlah USD 1.03 trilion, berbanding Malaysia USD 414,4 bilion sahaja.

Impak berantai dari senario sebenar ekonomi tanah air serta langkah yang diambil oleh Air Asia sekali lagi memberi tamparan besar pada gagasan 1Malaysia yang dipopularkan Najib dengan pelbagai terminologi canggih mengenai pemulihan ekonomi negara, lapor sumber.

Pada bulan September 2010, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan rancangan Malaysia menggerakkan beratus-ratus bilion dolar dalam sektor pelaburan swasta demi membawa keluar negara dari dari perangkap kononnya berpendapatan sederhana.

Najib mengwar-warkan mengenai kemampuan Malaysia memacu dua kali ganda pendapatan per kapita untuk mengangkat negara sebaris dengan negara-negara maju menjelang tahun 2020.

AirAsia ketika itu dijadikan harapan, mungkin menjadi satu-satunya syarikat Malaysia di samping Petronas yang didakwa memberi impak ekonomi di peringkat global.

Demi mengikat kepentingan swasta AirAsia serta Petronas dengan kepentingan negara, Fernandes diberi tanggungjawab merealisasikan projek Formula 1 (F1).

AirAsia sebagai syarikat penerbangan swasta lebih percaya pada kemampuan diri. Dari hanya dua kapal terbang dibenarkan beroperasi sejak 2002, Air Asia kini berjaya menerbangkan 93 pesawat ke seluruh dunia.

Itu, tidak termasuk perkhidmatan jarak jauh, AirAsia X, terbang ke Eropah, Jepun dan Korea. Syarikat itu sebelum ini dilaporkan berjaya mengembangkan 300 Airbus A320neos.

Dalam perkembangan lain, tanpa perpindahan AirAsia pun, beberapa laporan dunia sebenarnya menggambarkan bahawa Malaysia imej Malaysia telah tercalar disebabkan urus tadbir kerajaan pusat yang dilihat kurang efisyen.

Reuters melaporkan, sejak 10 tahun lepas lagi data rasmi menunjukkan negara menerima pelaburan dari syarikat swasta sebanyak RM535 bilion (USD 172.4 bilion) sahaja.

Dianggarkan kadar pelaburan swasta di negara ini hanya 10 peratus sahaja dari Keluaran Kasar Dalam Negeri (KDNK); iaitu antara yang terendah jika dibandingkan dengan negara-negara asia lain.

Angka itu, menurut Reuters lagi merupakan ketiga terendah sejak Asia berdepan dengan krisis kewangan global pada 1998 lepas.

Maka, tidak hairan lah sekiranya negara melihat gejala "Brain Drain" atau penghijrahan rakyat secara beramai-ramai keluar negara kian ketara ekoran beberapa kondisi tidak sihat yang didakwa berpunca oleh urus tadbir kerajaan pusat sendiri.

Berdasarkan laporan badan pemantauan kewangan AS Integriti Kewangan Global, satu laporan 2010 mendedahkan, antara tahun 2000 hingga 2008, dianggarkan sebanyak RM888 bilion (USD298,3 bilion pada kadar pertukaran wang semasa) telah dikeluarkan dari negara ini.

Angka yang begitu besar, menurut sumber lanjutan daripada aktiviti penggelapan mata wang seperti rasuah, penyeludupan, transaksi jenayah serta skandal dengan pihak berkuasa demi perlepasan cukai kerajaan yang didakwa berleluasa dalam negara ini.

Disebabkan itu, AirAsia sendiri, menurut sumber, mahu membina ruang akses perniagaan yang lebih terbuka lagi sihat di peringkat ASEAN dengan memulakan operasi baru di Jakarta, Indonesia. Satu perjanjian telahpun dimererai antara Air Asia dan Jakarta yang berkuatkuasa pada 2015 kelak.

Ditanya mengenai sebab-musabab perpindahan dari Kuala Lumpur, Malaysia, Fernandes berkata: "Asean adalah berasaskan di Jakarta, dan Indonesia akan menjadi gergasi ekonomi terbesar di Asean dalam tidak lama lagi...dan saya suka untuk berada di sana (Indonesia)...cukup", katanya sambil memberitahu bahawa beliau telapun membeli sebuah rumah di Jakarta.

Perkembangan terbaru itu dalam ramalan Indonesia National Air Carriers bakal menyaksikan pertambahan penumpang antara 10 peratus hingga 15 peratus untuk tahun ini sahaja.

Agensi Perangkaan Pusat Indonesia pula melaporkan, trafik udara domestik meningkat 22 peratus kepada 53,4 juta penumpang pada tahun 2010 atas permintaan yang semakin meningkat dari kelas pertengahan bagi penerbangan domestik.

Itu, lebih tinggi daripada kenaikan purata 9 peratus yang dicatatkan oleh penerbangan Asia-Pasifik, menurut data dari Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa.

"Indonesia adalah antara beberapa negara yang berjaya mencatat pertumbuhan kukuh dalam trafik udara tahun lepas.

"Kekurangan syarikat-syarikat penerbangan yang sedia ada berbanding dengan penduduk dan keadaan geografi yang demikian menunjukkan bahawa terdapat banyak peluang di sini," kata seorang penganalisis yang dipetik dari Jakarta Globe. -PenangDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan