Untuk berdekad-dekad UMNO menghimpit parti pembangkang di dua penghujung ekstremnya. PAS kekal bersendirian dengan matlamat pembentukan Negara Islam-nya di satu penghujung; sementara DAP pula mengasingkan diri dari PAS untuk mendukung gagasan "Malaysian Malaysia"-nya di satu lagi penghujung. Pasang surut prestasi pembangkang ada kalanya menggusarkan UMNO-BN, namun gagal mengubah kedudukan regim ini untuk kekal berkuasa.
Status quo ini hancur dibadai tsunami politik pada 8 Mac 2008. Malah gandingan Pakatan Rakyat telah menggantikan kedudukan BN dalam spektrum politik tanahair. Pendekatan kesederhanaan Pakatan Rakyat, misalnya dalam isu kalimah Allah - menjurus kepada senario baru, memperlihatkan betapa terdesaknya UMNO untuk mengasak di penghujung yang ekstrem dalam isu agama dan perkauman. UMNO-BN semakin hilang kewibawaannya, malah dipertikai kemampuannya sebagai "kerajaan" kerana terbukti gagal untuk menawarkan penyelesaian yang boleh diterima seluruh rakyat.
Dan UMNO yang takut kesepian kini cuba memerangkap PAS dalam permainan ini. Dalam tempoh tiga tahun selepas PRU-12, UMNO terus menghulurkan tangannya (yang menerima rasuah itu) kepada PAS. Isu "perpaduan umat Islam" terus didendang dalam media milikan UMNO, sama ada dengan pendekatan desakan mahupun godaan.
PAS bakal memusnahkan usaha dirinya SEANDAINYA beralih dari kedudukannya di pusat sekarang, untuk menyertai UMNO di pinggiran (dalam spektrum politik). Slogan "PAS untuk semua" akan menjadi nostalgia yang bersemadi dalam sejarah, dan PAS perlu memalitkan roh dan jiwanya untuk bergelut dalam politik lucah, fitnah, zalim dan sebagainya, bersama UMNO. PAS perlu bertanggungjawab apabila ISA digunakan, rasuah berleluasa, himpunan rakyat disuraikan dengan keganasan, video seks digunakan sebagai senjata untuk menjahanamkan musuh politik, dan diperbodohkan dengan seribu satu jenaka buatan UMNO - antaranya kapal selam yang gagal selam, jet yang kehilangan enjin untuk terbang dsb.
Di sinilah cabaran PAS - untuk mengenalpasti urutan keutamaan ketika mengharungi rintangan dalam perjuangannya. Masalahnya sekarang adalah cengkaman regim UMNO-BN terhadap sistem politik kita, sehingga parti pembangkang sukar bernafas, jauh lagi untuk menjangkau matlamat perjuangannya dalam suasana sedemikian.
Dari sistem pilihan raya, ketidakadilan terpampang jelas - dengan nisbah peratusan undi popular yang tidak setimpal dengan bilangan kerusi diperolehi; dari kebebasan bersuara, pembangkang tidak diberi ruang untuk membincangkan isu secara terperinci, mengolah dan merungkaikan isu kepada khalayak ramai; dari segi sumber, UMNO-BN memonopoli kekayaan dan jentera negara, dan mustahil pembangkang memiliki kekuatan sumber yang mencukupi untuk bersaing dengan UMNO-BN.
Sekarang UMNO cuba menyogok dan menyuapkan "gula" untuk parti pembangkang yang terkurung dalam sistem yang tidak adil ini. "Nisbah muslim yang lebih tinggi dalam kabinet" mungkin menjadi tawaran UMNO. Persoalannya, apakah dengan tawaran itu, jurang kaya-miskin rakyat boleh dirapatkan? Atau tiada lagi mangsa menyusul nama Altantuya Shaariibuu, Teoh Beng Hock, A.Kugan, Aminulrasyid, dan Ahmad Sarbani? Atau ISA, OSA, PPPA (Akta Mesin Cetak dan Penerbitan), AUKU dan akta yang zalim bakal dimansuhkan? Atau anak cucu kita boleh dijauhkan dari liputan kes liwat dan video seks ketika menyelak akhbar atau menonton televisyen?
Untuk setengah abad rakyat Malaysia diadu-dombakan, kalau bukan diperbodohkan. Mustahil PAS menyerlahkan nilai Islam melalui sistem yang korup ini bersama UMNO. Islam perlu diterjemahkan kepada nilai sejagat seperti Keadilan. Perjuangan PAS perlu diungkapkan dalam bahasa politik untuk menggarap imaginasi SEMUA rakyat yang mencintai keamanan. Kecekapan PAS perlu ditampilkan melalui penggubalan dan pelaksanaan dasarnya, terutama dalam kerajaan Pakatan Rakyat.
PAS perlu berpandangan jauh untuk menyedari satu hakikat, bahawa selagi sistem politik kita dikongkong regim UMNO-BN - dan tidak diruntuhkan - maka mustahil perjuangan untuk menegakkan keadilan, demokrasi, dan kebebasan mencapai matlamatnya. Cabaran PAS adalah keyakinan dan komitmennya terhadap politik baru, dan misinya adalah memerdekakan Malaysia dari penjajahan UMNO-BN.
-Lim adalah Editor MerdekaReview bahasa Melayu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan