Pengikut

Selasa, 21 Jun 2011

PAS beri amaran kepada Perkasa

PAS Selangor memberi amaran kepada Perkasa agar tidak mewujudkan suasana provokasi pada tiga perhimpunan serentak 9 Julai ini yang turut disertai Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih). Selain Bersih dan Perkasa, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari itu. Perkasa jangan cuba buat provokasi, jangan anggap orang yang turun ke jalanan adalah orang tidak bertamadun.

“Berdasarkan sejarah, demonstrasi yang dianjurkan PAS tidak pernah berlaku kekecohan dan pada himpunan Bersih yang lalu ia berjalan dengan aman dan tidak ada satu pasu pun yang pecah,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman.

Beliau menegaskan Perkasa yang diterajui Datuk Ibrahim Ali harus menjaga tingkah laku dan mendisiplinkan ahli pada perhimpunan itu.

“Perkasa ini tidak ramai, mereka hanya cakap… kita tunggu dan lihat nanti dan saya minta Perkasa jaga ahli dan disiplinkan ahli dulu,” katanya.

Tambah Mohd Khairuddin, pihaknya akan menggerakkan seramai 50,000 ahli untuk sama-sama menyertai himpunan Bersih 2.0.

“Kita ada 72,000 ahli di Selangor, kita telah arahkan 50,000 ahli daripada 72,000 untuk turun.

“Pesuruhjaya PAS Selangor (Dr Abdul Rani Osman) telah arahkan saya keluarkan arahan kepada ahli untuk sama-sama turun pada himpunan Bersih 2.0 nanti,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakkan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Perkasa juga akan mengadakan perhimpunan balas bagi membantah penganjuran himpunan Bersih 2.0.

Tambah Mohd Khairuddin, ahli PAS yang turun menyertai himpunan Bersih 2.0 tidak perlu bimbang sekiranya ditahan kerana pihaknya akan menyediakan khidmat guaman.

“Mana-mana ahli kita yang ditahan, PAS pusat akan menyediakan khidmat guaman mereka dari hari ditahan sehingga dibawa ke Mahkamah Rayuan secara percuma,” katanya.

Tambah beliau, mana-mana ahli yang akan menyertai himpunan Bersih 2.0 perlu menggunakan perkhidmatan masing-masing kerana pihaknya tidak menyediakan bas.

“Tak pernah jadi strategi kita naik bas. Ahli kita faham bagaimana.

“Nanti kalau ada sekatan jalan raya habis kita,” katanya.

Bersih yang terdiri daripada gabungan 62 badan bukan kerajaan (NGO) yang menuntut keadilan dan pilihan raya adil dan bersih.

Sementara itu, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib dilantik semula ke jawatan masing-masing sebelum ini iaitu Timbalan Pesuruhjaya III dan Ketua Penerangan PAS negeri dalam mesyuarat pertama perhubungan negeri malam Isnin.

Pada November 2008, Khalid dan Saari dilucutkan jawatan oleh Datuk Dr Hassan Mohamad Ali yang ketika itu Pesuruhjaya PAS Selangor.

Tindakan itu dipercayai kerana Hassan “kepanasan” dengan kritikan berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Abd Rani Othman pada sidang media semalam turut mengumumkan perlantikan exco kerajaan Selangor Iskandar Abdul Samad sebagai Timbalan Pesuruhjaya I.

Salehin Muhyi pula dipilih sebagai timbalan pesuruhjaya II.

Harakahdaily juga melaporkan Khairudin Othman dikekalkan sebagai setiausaha perhubungan negeri.

Khairuddin walaupun dilihat sealiran dengan Hassan, beliau dikatakan tiada masalah ekoran prestasi baiknya selama ini.

Rani juga berkata Izham Hashim telah dilantik sebagai bendahari yang baru.

Hassan pula dilantik ahli jawatankuasa bersama dengan seorang lagi Exco Kerajaan Negeri, Dr Halimah Ali.

Turut dilantik adalah Noraini Husin, Mohd Sani Hamzan (Timbalan Ketua Pemuda negeri), Ahmad Mohd, Ustazah Mariam dan pakar IT Abdul Rahman Sadikin.

-KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan