Pengikut

Khamis, 9 Jun 2011

Khir Toyo bayar tunai RM6 juta ubahsuai banglo

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo didakwa telah membelanjakan kira-kira RM6 juta bagi kerja-kerja pengubahsuaian banglo di Seksyen 7, di sini yang berkonsep Bali. Perkara tersebut didedahkan oleh pereka laman yang dilantik untuk melakukan pengubahsuaian tersebut, Nasir Ismail, 55, di Mahkamah Tinggi di sini, pada Khamis.

Menurut saksi, pembayaran wang tersebut dibuat secara tunai memandangkan status dirinya sebagai seorang bankrap.

“Empat atau lima pembayaran dilakukan oleh Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni manakala Mohamad Khir menjelaskan bayaran sebanyak tujuh atau lapan kali,” katanya.

Setiap pembayaran melibatkan jumlah RM500,000.

Nasir Ismail, saksi ketiga pihak pendakwa dalam kes Dr Khir berkata bayaran itu dibuat dalam beberapa ansuran — lima daripada Shamsuddin Hayroni, dan lapan daripada menteri besar itu

Pengarah Syarikat Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada hari semalam bahawa beliau berurusan secara terus dengan bekas Menteri Besar Selangor itu. Shamsuddin, 55, yang merupakan saksi kedua pada perbicaraan dakwaan salah guna kuasa oleh Mohamad Khir menambah, beliau mula mengenali Mohamad Khir sejak beliau mula menjawat jawatan tertinggi di Selangor itu.

Selain itu, Shamsuddin juga mengakui turut berurusan dengan Datuk Abu Hassan Omar yang menjawat jawatan Menteri Besar sebelum Mohamad Khir.

Dalam kes ini, Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas pertuduhan mendapatkan bagi dirinya isteri, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.

Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar pada ketika itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-KL Today

Tiada ulasan:

Catat Ulasan