Kerajaan Turki pimpinan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mengiktiraf ketelusan pentadbiran Parti KEADILAN Rakyat apabila mengundang wakil dari KEADILAN untuk memantau perjalanan pilihan raya di negara mereka.
Perkara itu dinyatakan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu berceramah di Kampung Sirusa Batu Empat, Port Dickson, semalam.
Menurut Anwar, beliau dihubungi sendiri Erdogan memintanya menghantar wakil ke sana dan secara berseloroh Anwar berkata beliau tidak dapat hadir kerana sudah berjanji dengan penduduk Port Dickson untuk hadir berceramah.
“Pejabat Perdana Menteri Turki telefon tanya Anwar, pilihan raya Turki tak hantar wakil KEADILAN (untuk memantau)?
“Dia minta saya pergi, saya kata tak boleh. Tahu sebab apa saya tak boleh? Saya janji datang ke Port Dickson. Jadi saya batal pergi Turki,” kata Anwar berjenaka.
Anwar sebaliknya menghantar Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul untuk memantau perjalanan pilihan raya Turki.
“Jadi kita minta Saifuddin Nasution ketuai delegasi, Dr Mariah Ahli Parlimen wakil Pas, Johari Abdul, Nurul Izzah, mereka di sana,” kata Anwar.
Pilihan raya Turki dijangka berlangsung 12 Jun ini dan akan menyaksikan pertembungan sengit di antara Parti Pembangunan Keadilan pimpinan Recep Tayyip Erdogan yang menguasai 341 kerusi menentang Parti Republikan Rakyat yang menguasai 112 parti.
Bercakap lebih lanjut, Anwar berkata kerajaan Turki berani meminta perwakilan luar datang memantau pilihan raya mereka kerana ia dijalankan secara telus, tidak seperti di Malaysia yang penuh dengan tipu muslihat.
“Dia undang kita pantau pilihan raya. Sebab apa? Dia tak tipu dia tak bimbang datanglah banyak mana pun. Perdana Menteri Tayyip Erdogan kata pilihan raya saya bebas dan adil,” jelas Anwar.
Pada majlis ceramah yang sama, Anwar sempat berkongsi dengan hadirin yang hadir mendengar ceramahnya tentang jemputan dari pemimpin agama Kristian Jerman yang menjemputnya berucap pada satu pertemuan Muslim dan Kristian di Jerman.
“Archbishop, Ketua Gereja Jerman, Munich minta untuk bercakap dengan saya sendiri dia nak anjur pertemuan Muslim dan Kristian sedunia di Jerman.
“Kemudian dia mahu minta saya berucap di majlis perasmian Presiden Jerman supaya saya boleh bagi pandangan bagaimana pandangan Islam untuk menjalinkan hubungan baik antara semua kaum,” kata Anwar.
Anwar yang dilihat orang ramai sebagai tonggak utama gagasan Pakatan Rakyat kini semakin giat berceramah ke seluruh negara di kala beliau sendiri berhadapan pelbagai ancaman fitnah dan cubaan berterusan daripada Umno Barisan Nasional untuk menghalangnya daripada terus memimpin Pakatan Rakyat.
Hari ini Anwar akan meneruskan siri ceramahnya di utara tanahair di Tanjung Tokong Pulau Pinang dan Kangar Perlis.
-KadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan