Tangkapan terhadap pemimpin dan penyokong parti pembangkang sudah bermula apabila Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jayakumar bersama 30 orang lagi dari Parti Sosialis Malaysia sudah ditahan manakala ramai lagi orang yang dilihat sebagai penyokong perhimpunan Bersih 2.0 juga ditahan polis.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah memberi amaran yang pihak berkuasa tidak akan teragak-agak menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan sesiapa sahaja tanpa bicara jika terlibat dengan Bersih 2.0 walau pun buat sementara pihak berkuasa akan menggunakan akta dan undang-undang lain untuk memastikan perhimpunan ini tidak berlaku.
Pihak polis sedang berusaha untuk melakukan apa sahaja agar rakyat yang akan berhimpun bersama Bersih dapat digagalkan. Dengan lain perkataan, pihak berkuasa sedang cuba sedaya upaya mengekang rakyat dari menunjukan serta mempamerkan manifestasi mereka terhadap perjalanan pilihan raya.
Walau pun Bersih menyatakan yang mereka hanya mahu berhimpun secara aman, pihak berkuasa sedang berusaha untuk memalitkan parti pembangkang sebagai dalang kepada perhimpunan itu. Mereka sedang berusaha untuk memalitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang di belakang perhimpunan itu.
Ramai berpendapat pihak berkuasa memang begitu gundah gulana jika Anwar berjaya mendapat sokongan dalam usaha beliau hendak mengambilk alih pentadbiran di Putrajaya.
Dengan itu, pandangan dari kolej Dartmouth kononnya orang yang di dalam video seks lucah adalah 99.9 peratus Anwar Ibrahim dikatakan akan dijadikan isu besar untuk menyekat Anwar ke ke Putrajaya.
Sesungguhnya isu sebenarnya bukan Anwar. Isu sebenarnya ialah krisis keyakinan terhadap UMNO dan Barisan Nasional sebagai pemerintah kepada kerajaan persekutuan dan negeri-negeri di Malaysia.
Anwar tidak penting dalam isu ini. Isunya adalah jauh lebih besar dari isu Anwar. Jika pihak berkuasa berjaya untuk membuktikan orang di dalam video itu adalah Anwar, ia tidak semestinya BN akan mendapat ‘advantage’ kerana isunya ialah kelemahan dan keburukan yang telah dipersepsikan oleh rakyat terhadap BN.
Kalau Anwar sudah tiada di dalam arus politik perdana rakyat akan tetap mencari pimpinan lain untuk meneruskan perjuangan. Masalahnya BN berfikir yang jika Anwar berjaya di penjarakan maka sokongan akan kembali kepada UMNO dan BN. Ini merupakan persepsi dan kepercayaan yang amat salah.
Jika dengan ketiadaan Anwar, bangkangan rakyat tetap bersemarak nampaknya. Sekarang bukan lagi perjuangan Anwar yang dijaja oleh pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan, tetapi kini ia adalah gerakan rakyat yang ramai.
Rakyat mahukan pembetulan kepada apa yang telah dirosakkan selama ini. Kita tidak mahu lagi pihak yang berkuasa memomokan pihak lawan dengan perkara-perkara yang tidak adil. Kita mahukan semua pihak menghormati pihak yang lain.
Kita tidak mahu lagi mana-mana pihak cuba mencabul kebaikan pihak lain seperti parti-parti yang dihalalkan untuk bergerak seperti DAP, PAS, PKR dan sebagainya.
Kita perlu ingat rakyat perlu diberikan kebebasan untuk memilih parti dan pihak mana yang mereka suka tanpa pergaduhan dan momokan dari media masa perdana. Menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya untuk memecahbelahkan rakyat mesti dihentikan.
Kita mesti memberitahu rakyat yang hanya Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan oleh kerajaan kita. Mana-mana parti yang lain boleh bergerak asalkan sahaja parti itu menghormati kandungan perlembagaan kita.
Penahanan terhadap mereka yang disyaki memberikan sokongan kepada Bersih contohnya merupakan perlanggaran terhadap sistem demokrasi yang kononnya kita amalkan.
Kepada parti-parti pembangkang seperti DAP, parti ini perlu memberikan penjelasan keadaan yang sebenarnya dan tidak boleh mengalah dengan momokan pihak yang berkuasa. Beritahu rakyat yang DAP merupakan parti berbilang kaum dan tidak pernah memainkan isu perkauman seperti parti-parti yang berlandaskan perkauman yang ada.
Mahu tidak mahu DAP perlu menggerakan usaha untuk menyampaikan penerangan secara terbuka dan jujur bagi mempastikan orang ramai tidak terjebak dengan momokan pihak lawan selama ini. Tunjukan kepada ramai bahawa DAP telah berjaya menonjolkan pemimpin yang mempunyai latar belakang yang baik serta etika yang tinggi.
Begitu juga PAS telah berjaya menarik ramai cendekiawan Islam yang mampu mengendalikan siasah negara dengan baik dan berlandaskan kepada Islam yang universal dan telah ditetapkan oleh Tuhan sebagai agama yang secocok dengan kehendak umat yang ingin kesempurnaan hidup. Apa yang perlu PAS lakukan ialah berusaha untuk menguatkan mana yang lemah, menyambung mana yang putus dan menampal mana yang carik.
Bagi mencapai kebaikan itu rakyat wajar diberi peluang untuk menilai serta bebas untuk memilih mana yang dianggap baik untuk masa depan rakyat dan negara. Ini lah sebanarnya yang diperjuangkan oleh Bersih dan ini pula yang mendapat tentangan dari pihak yang berkuasa semata-mata takut dengan kehilangan kuasa.
Dalam amalan demokrasi, mendapat dan kemudiannya hilang kuasa adalah lumrah. Kehilangan kuasa bukannya satu dosa dan noda kepada mana-mana pihak kerana kuasa itu hanya untuk rakyat semata-mata tanpa mengira kaum.
Bergilir-gilir mangendalikan mandat rakyat adalah perkara biasa jika kita benar-benar mahukan sistem demokrasi sebagai sistem pilihan kita. Apa yang jelas perlu dilakukan sekarang ini, ialah untuk memberikan kursus sivik yang berterusan untuk mendidik rakyat mendalami dan menghayati apa itu demokrasi.
Dalam tempoh sehari dua ini Bersih perlu membuat dan menunjukkan dengan jelas matlamat perhimpunan yang bakal di adakan itu.
Bagi saya, matlamat Bersih itu memang saya mudah untuk memahaminya. Tetapi oleh kerana tidak mendapat ruang untuk memberi tahu rakyat melalui media perdana, Bersih perlu melakukan penerangan itu melalui media alternatif dengan baik dan tersusun supaya tidak mudah isu ini diputar belitkan oleh media perdana.
Bersih perlu beusaha bersungguh-sungguh untuk membuktikan kepada rakyat yang NGO ini adalah NGO bebas dan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Tunjukkan kepada rakyat yang Bersih hanya mahukan pilihan raya diadakan dengan adil dan saksama dan Bersih telah juga meminta semua pihak menyertai perhimpunan ini termasuk UMNO dan parti-parti komponen dalam BN.
Apabila rakyat faham maka perbahasan secara ‘loyar buruk’ oleh penyokong anti-Bersih ini akan mati begitu sahaja.
Masalah besar yang kita hadapi kini ialah ramai yang bercakap tanpa berfikir secara jujur.
-Aspan Alias
Tiada ulasan:
Catat Ulasan