Wajah ceria dan senyuman manis menjadi senjata terbaru polis Indonesia dalam misi memberi perkhidmatan dan melindungi masyarakat.
Orang ramai mungkin akan terkejut dengan pendekatan baru polis itu dan mereka pasti akan lebih berlembut dengan anggota badan penguat kuasa berkenaan kali ini.
Lupakan senjata api canggih atau kaedah keselamatan ketat membabitkan teknologi terkini, kata laporan media.
Pihak polis kini lebih cenderung mengerah sekumpulan anggota dengan wajah yang menarik untuk menangani tugas sukar — dikenali sebagai polis wanita ataupun Polwan.
Laporan Berita Harian hari ini menyebut Adj Komander Kristanto Yoga, Adj Komander Desmont Harjendro, Inspektor Eny Kuswidiyanti, Korporal Avvy Olivia, Korporal Astri Widya dan Korporal Pertama Eka Frestya adalah antara yang terpilih sebagai wajah baru pasukan Polwan.
Sebahagian daripada tugas mereka adalah memberikan laporan lalu lintas secara langsung menerusi televisyen.
Orang ramai boleh melihat wajah mereka setiap hari sambil mereka memberikan maklumat lalu lintas yang banyak membantu penduduk awam.
Malah, menurut laporan itu, sikap murni dan wajah menarik mereka di skrin membuatkan ramai penduduk lupa mengenai reputasi polis yang dikaitkan sebagai antara institusi paling teruk terjejas dengan rasuah di negara berkenaan.
Melihatkan wajah yang begitu cantik, orang ramai juga tidak lama lagi akan lupakan mengenai wajah kasar pegawai polis trafik yang biasa dihadapi sejak sekian lama.
Malah pegawai terbabit sudah menjadi selebriti polis dan menjadi pilihan terbaru di kalangan peminat, menerima komen positif dan maklum balas.
Laporan itu menyebut, Jakarta Post berpeluang menemu bual pegawai polis istimewa berkenaan di ibu pejabat mereka di Jakarta Selatan.
Selain daripada seragam yang dipakai, pegawai polis terbabit kelihatan berbeza daripada yang lain.
Seorang pegawai khas bertindak sebagai pengurus mereka yang bertanggungjawab mengatur semua temu bual dan mewakili mereka apabila berhubung dengan media.
Malah pihak media terpaksa menunggu setengah jam sementara mereka mengenakan solekan dan bersedia untuk ditemu bual, sama seperti temu bual selebriti lain.
Tetapi apabila ditanya mengenai perasaan mereka berikutan populariti dan layanan istimewa diberikan, pegawai terbabit segera menafikan menerima keistimewaan itu sebaliknya mendakwa mereka seperti pegawai polis lain.
Laporan media Indonesia juga pernah menyebut bahawa republik itu sanggup memenuhi seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar mengirimkan lebih banyak polis wanita untuk pelbagai misi badan dunia itu.
“Kita mendukung seruan itu dan Indonesia memang punya keinginan untuk menambah anggota kepolisian perempuan bergabung dengan misi-misi PBB,” kata Timbalan Wakil Tetap Indonesia ke PBB di New York Hasan Kleib.
Pada Ogos 2009, Bahagian Polis Jabatan Operasi Misi Dalam PBB Indonesia melancarkan program pengambil anggota polis lelaki dan wanita dengan sasaran meningkatkan jumlah wanita dari sembilan peratus menjadi 20 peratus pada 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan