Pengikut

Khamis, 26 Mei 2011

Tangguh naik harga RON 95, kerajaan berdrama

Rakyat Malaysia hari ini dihidangkan dengan berita gembira pengekalan harga minyak petrol RON 95, ekoran keputusan kerajaan meneruskan subsidi besar untuk bahan bakar itu.

Dua lagi bahan bakar utama, diesel dan gas petroleum cecair juga dikekalkan hasil perbincangan kabinet itu semalam.

Dengan tajuk muka depan akhbar utama Umno, Utusan Malaysia yang turut menyebut "kepentingan rakyat," pentadbiran Najib mendapat isu yang boleh membina sentimen positif terhadap pemerintah menjelang pilihan raya umum nanti.

Pemerhatian terhadap bagaimana isu ini dimainkan di blog-blog dan akhbar harian menunjukkan tanda adanya satu drama politik untuk tujuan membina sokongan.

Blog-blog pro-Umno membina isu ini sejak beberapa minggu lalu, dengan pelbagai komentar dan tuntutan serta desakan terhadap kerajaan, yang banyak ditujukan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menteri menjaga hal ehwal pengguna.

Isu ini turut mendapat perhatian khusus parti-parti pembangkang, yang menunggu peluang untuk digunakan terhadap kerajaan Barisan Nasional menjelang pilihan raya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut terlibat dalam perdebatan hangat isu ini, meningkatkan lagi perhatian terhadap isu ini.

Isu kenaikan harga minyak yang sentiasa mudah digunakan untuk membina sentimen menolak pemerintah menjadikan isu kemungkinan kenaikan harga minyak RON 95 menarik kepada pembangkang.

RON 95 digunakan oleh sebahagian besar pengguna kenderaan petrol, berbanding RON 97 yang kini berada dalam kategori premium.

Walau bagaimanapun, hari ini muncul di muka-muka utama akhbar harian subsidi yang besar untuk bahan bakar penting itu dikekalkan, mengelak daripada harga minyak pilihan utama itu meningkat.

Blog-blog Umno menerbitkan komentar memuji-muji tindakan kerajaan yang disifatkan prihatin terhadap rakyat itu, dan kelegaan besar ini menjadi berita utama negara pada masa ini.

Sekiranya diperhatikan dengan lebih mendalam, sukar untuk dijangka pemerintah yang sedang tertekan menjelang pilihan raya umum yang akan menjadi satu penilaian besar prestasi akan melaksanakan tindakan yang sangat tidak popular dan mampu menjejaskan undi dengan dramatik sekali.

-SiasahDaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan