Menurut Anwar, antara kaedah pentadbiran yang diamal Umar adalah memastikan hak rakyat sentiasa dipelihara dan kekayaan negara diagih secara adil kepada golongan miskin.
“Suatu ketika, Menteri Kewangan memberitahu Umar Abdul Aziz bahawa negara memiliki emas, gandum dan wang yang begitu banyak. Menteri bertanya mahu dibuat apa dengan harta sebanyak itu.
“Umar lalu mengarahkan Menterinya itu menyenaraikan ke semua rakyat yang masih miskin di seluruh wilayah dan beri zakat bermula dari rakyat yang paling miskin,” katanya semasa berceramah di Kampung Pilah Tengah, Kuala Pilah malam tadi yang turut disertai pimpinan Pakatan Rakyat Pusat dan Negeri Sembilan.
Kira-kira 5,000 rakyat pelbagai kaum hadir walaupun kawasan tersebut terletak jauh dari pusat bandar selain sekatan polis di laluan utama menuju ke situ.
Anwar yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri dan menteri Kewangan berkata, dalam masa dua tahun setengah pemerintahan Umar, tiada seorang pun rakyatnya yang miskin.
Bahkan katanya, pemerintah Umar turut membiayai perkahwinan kepada golongan muda yang mahu mendirikan rumah tangga.
Anwar dalam ucapannya turut membandingkan pemerintahan mantan Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memerintah Malaysia selama lebih 20 tahun.
“Dua tahun kerajaan Islam perintah, tiada lagi orang miskin. Mahathir perintah 22 tahun, orang Melayu lagi banyak miskin,” katanya yang disambut ketawa hadirin.
Umar atau nama sebenarnya Abu Jaafar Umar bin Aziz merupakan cucu kepada Saidina Umar Al-Khatab, di lahirkan pada 61 Hijrah.
Sebagai pemimpin rakyat, kehidupan Umar Abdul Aziz semasa menjadi Gabenor Madinah dan Khalifah adalah sama sahaja sebagaimana kehidupannya semasa menjadi rakyat biasa.
-KeadilanDaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan