Pengikut

Selasa, 24 Mei 2011

Kerajaan digesa beku proses keluar sijil halal - Khairy

Kerajaan wajar membekukan proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh Jabatan Kebajikan

Islam Malaysia (Jakim) dan kesemua agensi agama negeri ekoran kes-kes ketidakpematuhan sejak kebelakangan ini, kata Pemuda Umno hari ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu sehingga satu proses pengauditan yang komprehensif oleh sebuah badan bebas terhadap proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh agensi-agensi berkaitan selesai.

“Pada masa yang sama Pemuda Umno juga menggesa agar kerajaan mengkaji semula dan memantau kesemua 52 badan pensijilan halal diluar negara yang mana sekarang ini diiktiraf oleh Jakim bagi mengeluarkan sijil halal,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Di samping itu Pemuda Umno juga menggesa agar pemantauan yang lebih kerap dan menyeluruh dilaksanakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal sedia ada bagi memastikan pematuhan yang telah ditetapkan.

Katanya, Pemuda Umno Malaysia berasa amat terkejut dengan laporan tentang pendedahan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mengenai DNA babi dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Bahkan, kejutan berganda menyusur dengan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa bahan-bahan tersebut dikatakan digunakan oleh sebuah rangkaian kedai francais makanan yang terkenal di Malaysia dengan langganan ramai dari masyarakat Islam.

Kata Khairy (gambar), ia adalah lanjutan daripada beberapa kes lain seperti penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang dikeluarkan kepada Lucky Food Processing Sdn Bhd, yang mengeluarkan daging, sosej dan bebola daging kerana terdapat DNA babi dalam produk mereka serta dakwaan kepada tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kedai minuman, Kluang Rail.

“Rentetan insiden sebegini bukan sahaja memeranjat dan merisaukan, bahkan menimbulkan tanda tanya tentang proses pengeluaran sijil halal serta pemantauan yang dilaksanakan.

“Ini termasuklah bagaimanakah syarikat-syarikat terbabit mendapat sijil halal mereka pada mulanya dan bagaimanakah pula kekerapan dan keberkesanan sistem pemantauan pihak berkuasa terhadap pemegang-pemegang sijil halal,” katanya lagi.

Kata Khairy, hal sebegini amatlah penting memandangkan majoriti penduduk negara adalah beragama Islam yang pastinya berasa tertipu dengan sebarang sijil halal palsu ataupun pemegang sijil halal yang menjual produk makanan yang mempunyai najis berat seperti babi.

Pemuda Umno juga gusar dengan sikap sebilangan pengusaha makanan yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam di mana hanya 366 daripada lebih 2,000 hotel dan resort yang terdapat di negara ini memiliki sijil halal yang diiktiraf.

“Sehubungan dengan itu, Pemuda Umno menggesa agar suatu tindakan yang tegas dan serius diambil di dalam perkara ini,” katanya.

-The malaysian insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan