Pengikut

Selasa, 24 Mei 2011

Jangan telan bulat-bulat fitnah UMNO, BN

Laman web Roketkini bertujuan menjadi wadah utama dalam Bahasa Malaysia kepada DAP untuk menyuarakan pendirian dan menyampaikan fakta tepat kepada semua rakyat Malaysia terutamanya anak muda yang dahagakan kebenaran.

“Ini adalah detik bersejarah buat kami kerana untuk pertama kali DAP telah membuat satu laman web dalam bahasa Malaysia.

Roketkini bertujuan untuk menunjukkan pendirian DAP terutamanya kepada golongan muda Malaysia, tidak mengira kaum dan agama,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di majlis pada pelancaran Roketkini.com di ibu pejabat DAP di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata menyindir Barisan Nasional yang gagal berjuang untuk kepentingan rakyat tetapi berjaya memfitnah DAP sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

“Dengan fitnah dan tohmahan-tohmahan mereka, kita akui itu adalah kejayaan mereka,” tambahnya.

Antara fitnah yang disebarkan ialah menuduh Guan Eng mahu menggantikan Yang di-Pertuan Agong, Guan Eng menyembelih lembu korban pada Hari Raya Aidil Adha dan DAP mahu menubuhkan negara Kristian. Semuanya terbukti berita palsu tetapi mereka yang menuduh terus membuat dakwaan liar yang membahayakan keharmonian hubungan antara kaum dan agama.

“Jangan telan bulat-bulat tohmahan yang disuap oleh UMNO dan BN,” katanya.

Oleh itu, beliau menjelaskan, DAP melalui Roketkini akan menjawab tohmahan-tohmahan tersebut serta memberi penerangan benar supaya persepsi palsu itu dapat diperjelaskan kepada semua rakyat Malaysia.

Roketkini dilihat sebagai salah satu jalan untuk menerangkan perihal dan pendirian sebenar DAP sejak penubuhannya 45 tahun lalu,” katanya.

Guan Eng berkata Roketkini juga akan bekerjasama dengan media-media dan lidah rasmi rakan-rakan Pakatan Rakyat seperti Harakahdaily dan Keadilandaily untuk sama-sama menjelaskan pendirian bersama mereka.

Beliau turut menjelaskan kekurangan dana adalah punca utama Roketkini dilancarkan walau pun idea asal sudah lama dikemukakan.

Di majlis yang sama, Guan Eng turut melancarkan buku Malaysia Milik Kita Bersama: Perjuangan 45 Tahun Parti Tindakan Demokratik (DAP) karya Wan Hamidi Hamid yang juga Editor Roketkini.com.

Turut hadir di majlis itu ialah Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, Pengerusi DAP Sabah Dr Hiew King Cheu, Timbalan Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Vincent Wu dan Setiausaha Politik kepada Setiausaha Agung DAP Zairil Khir Johari.

Roketkini.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan