Pengikut

Rabu, 13 April 2011

Setelah 13 hari ditahan ISA, Kadir dibenar bertemu ahli keluarga

Ahli keluarga mangsa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mendapat hanya sedikit khabar
gembira apabila dimaklumkan oleh polis Bukit Aman semalam bahawa mereka dibenarkan bertemu Kadir Hashim hari ini setelah ditahan sejak 13 hari lalu.

Perkara ini dimaklumkan peguam Lawyers For Liberty (LFL) kepada Keadilan Daily yang mewakili Kadir.

Menurut N Surendran, pertemuan itu diadakan pada jam 11.00 pagi tadi di Bukit Aman dan dijangka ia sedang berlangsung sekarang.

Ibu Kadir, Mah Mat Idris bersama beberapa anggota keluarganya hadir dalam pertemuan pertama kali ini selepas dihantui pelbagai persoalan yang tidak berjawab oleh polis sejak kehilangan Kadir 1 April lalu.

Turut hadir menemani keluarga terbabit adalah beberapa peguam LFL. Hadir sama memberi sokongan beberapa badan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Polis bagaimanapun tidak menyatakan butiran lanjut berhubung status penahanan Kadir setakat perkara mengenai
pertemuan ini dimaklumkan.

Kadir, 42, seorang peniaga tomyam yang juga ahli KEADILAN Cabang Lembah Pantai ditangkap polis 1 April lalu
mengikut Seksyen 73 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri atas dakwaan terlibat dalam kegiatan subversif iaitu aktiviti untuk melemahkan atau memusnahkan sesuatu sistem politik, kerajaan, agama, dengan menjalankan aktiviti tertentu secara sulit.

Beliau yang kudung pergelangan tangan kiri ditahan polis Bukit Aman di rumahnya di Kampung Bukit Kerinchi kira-kira jam 6.00 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan