Pengikut

Sabtu, 9 April 2011

Sesama Islam Pun Tak Adil, Ini Pulak Dengan Bukan Islam?

Siapa yang terjebak dalam kancah politik Malaysia hari ini – ulama atau umarak? Yang jelas, kebelakangan ini semakin lantang suara ulama, khususnya mufti yang mempertikaikan cara pemimpin kerajaan melayani dan menguruskan ehwal maruah dan kedaulatan Islam di negara ini.

Bukan sekadar menyimpulkan kerajaan tidak serius memelihara keluhuran undang-undang Islam, malah ada yang tegas mengatakan bahawa kini pihak kerajaan yang yang pada mulanya bertanggungjawab melakar dan meluluskan undang-undang Islam kini menjadi unsur “terhormat” yang menodainya.

Maka bangkitlah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria untuk mencabar kerajaan supaya menarik balik atau membatalkan undang-undang Islam Malaysia, jika butir dan perincian perundangan Islam yang telah diwartakan tidak dihormati dan dikuatkuasakan dengan serius. Malah kini adalah makin ketara bahawasanya ia dijadikan permainan politik sahaja.

Kegusaran yang sama disuarakan oleh Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid. Beliau menganggap apa yang sedang berlaku sekarang ialah satu serangan terhadap maruah perundangan Islam dari “dalam”.

Bagi beliau, ini membawa maksud orang dalam kerajaan, atau lebih tepat lagi pemimpin-pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab terhadap aktiviti dan keputusan yang kurang bertanggungjawab memelihara keluhuran maruah Islam.

Yang menyedihkan ketika soal maruah Islam ini diperdebatkan, majoriti ulama yang menyandarkan mata pencarian mereka kepada kerajaan hanya mematikan diri dan langsung enggan terbabit dengan usaha untuk menjernihkan persoalan di mata umat dan juga rakyat bukan Islam.

Menteri dan timbalan menteri beragama Islam memandang ke arah lain setiap kali isu ini disentuh. Sama ada mereka takut untuk menyambut perbincangan dan bimbang dibebankan dengan tanggungjawab membuat keputusan, atau mereka yakin sebenarnya sensitiviti atau sikap kepedulian agama rakyat beragama Islam telah terlalu tumpul untuk menekan isu itu hingga penghujung penyelesaiannya, bukan lagi persoalan bagi mereka.

Sesungguhnya keadaan ini memang sesuatu yang malang bagi umat Islam di negara ini. Lantaran ditekan oleh persekitaran politik baru yang semakin mencabar status quo pemerintah sedia ada, sindrom “matlamat menghalalkan cara” membuat ulama dalam kerajaan menjadi dayus hingga tidak berani membincangkannya sama sekali.

Realiti bahawa Malaysia mempunyai penduduk yang majmuk di segi keturunan dan kepercayaan agama seharusnya diraikan sebagai peluang keemasan untuk memperagakan kedaulatan, kemuliaan dan kesaksamaan ajaran Islam. Sedihnya kesempatan ini tidak dimanfaatkan dengan kerja kerja dakwah.

Ini kerana sebagai kelompok yang dominan dalam kerajaan, memang sudah sewajarnya pemimpin yang beragama Islam cekap dan cekal dalam membimbing rakyat keseluruhannya membangun negara ini menurut prinsip yang telah digariskan oleh Islam. Hakikatnya tidak demikian. Setiap kali timbul persoalan berhubung hak dan status bukan Islam, bungkem dan cuba mengelak daripada usaha mencari penyelesaiannya.

Hakikatnya, Islam itu sempurna di segala seginya. Lantas tidak ada sebab penganut agama lain patut berasa hak mereka dinafikan. Namun kenyataannya tidak begitu. Lantaran manipulasi ahli-ahli politik parti pemerintah, bukan sahaja penganut bukan-Islam hari ini berasa tertekan, malah umat Islam sendiri seperti yang disuarakan oleh ulama yang ada sikap kepedulian yang tinggi akan kedudukan Islam, berasa ditindas oleh sikap noda pemimpin-pemimpin kerajaan.

Isu penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil masih dalam perbicaran mahkamah. Namun berikutan bantahan masyarakat Kristian berhubung isu kira-kira 35,000 naskhah kitab itu dalam bahasa Melayu Indonesia ditahan di Pelabuhan Kelang dan Kuching, kerajaan Umno-Barisan Nasional sanggup membelakangkan mahkamah dan memutuskan bahawa kini kitab Injil boleh dicetak dalam semua bahasa termasuk Bahasa Malaysia.

Ini bermakna dalam rujukan kepada Tuhan, penggunaan kalimah Allah boleh diizinkan walaupun mahkamah belum buat keputusan.

Yang mengelirukan ialah, sikap lunak dan beralah kerajaan ini ditunjukkan di ambang pilihanraya negeri Sarawak yang sedang berlangsung. Mengambil kira 43 peratus rakyat negeri itu beragama Kristian, dan demi memadamkan api kemarahan masyarakat Kristian, tiba-tiba keputusan dibuat untuk menghalalkan percetakan dan penyebaran kitab Injil dalam semua bahasa di negara ini.

Sikap ini menggusarkan ulama. Yang patut diperhatikan, adakah ulama-ulama dari aliran ini akan dapat membangkitkan protes dari kalangan umat Islam untuk membantah apa yang sedang dilakukan oleh kerajaan Umno_BN? Apakah, jika didesak kerajaan akan berpatah arah dan kembali mengutamakan usaha merawat keperitan yang dirasakan umat Islam menjelang pilihanraya umum akan datang? Dan, mungkinkah kerajaan Umno-BN mengharamkan kembali penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil?

Bukan ini caranya untuk menyebarkan syiar dan dakwah Islam. Penerangan yang jelas dan keikhlasan harus dijadikan titi untuk menyeberangi pemikiran penganut agama lain. Lantas perlu ada budaya dan keyakinan diri di kalangan ulama dan kejujuran di antara umara untuk bermuzakarah secara terbuka dan saksama demi membuktikan betapa besar dan mulianya Islam.

Hari ini Islam di Malaysia dinilai dari sudut betapa luasnya pemikiran dan hati pemimpin-pemimpin Islam mahu memberi keadilan kepada semua rakyat Malaysia.

Namun yang jelas kini, jendela hati pemimpin Umno_BN hanya terbuka apabila ada peluang untuk meraih undi dan menghimpun kuasa politik sahaja. Mereka mungkin lupa kuasa tidak diboleh dikumpul untuk kepentingan peribadi dan mana- mana kelompok.

Kuasa mutlak hanya milik Allah aza wajalla. Ulama kerajaan dan Umno harus jujur dan berlapang dada dalam menjadi juribicara menyemarakkan kebesaran Ilahi. Agama bukan milik mana-mana parti.

Atas dasar itu, maka dalam pelaksanaan syariat islam, ulama dari semua bidang dan lapisan haruslah tidak bersikap selektif. Jika di kalangan orang Islam sendiri pelaksanaan undang-undang dibuat secara terpilih, bagaimana pula apabila berurusan dengan orang bukan Islam? Isu qazaf, misalnya, mesti dilaksanakan tanpa pengaruh politik.

Jika ini dapat dilakukan, barulah rasa hormat dan kagum pihak lain dapat ditanamkan dan tidaklah ada lagi kecurigaan terus bersarang di kalangan umat Islam dan bukan Islam.


-
KOMENTAR /tvs

Tiada ulasan:

Catat Ulasan