Pengikut

Sabtu, 16 April 2011

Mahkamah arah tangkap Norman dan Memey

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur memerintahkan waran tangkap disempurnakan terhadap pelakon Norman Hakim dan pasangannya, Memey yang menghadapi pertuduhan berkhalwat tiga tahun lalu selepas mereka gagal hadir di mahkamah semalam.

Laporan Berita Harian menyebut, Hakim Salehan Yatim mengarahkan waran itu dikeluarkan selepas pasangan itu tidak mengemukakan alasan atau sebab yang kukuh kenapa mereka tidak hadir.

Hakim Syarie Salehan Yatim memerintahkan demikian setelah membenarkan permohonan Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Selangor Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal agar pasangan itu dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir tanpa mengemukakan bukti kukuh.

Perbicaraan kini di peringkat penggulungan hujah di akhir kes pendakwaan. Menurut Hasrul Hafiszi, walaupun peguam syarie kedua-dua tertuduh memaklumkan bahawa Norman menyatakan alasan sakit, manakala Memey mempunyai urusan di luar kawasan, tetapi pasangan itu tidak mengemukakan sebarang notis atau surat kepada mahkamah.

“Kami tidak boleh menerima alasan yang dikemukakan oleh peguam sebentar tadi, oleh demikian pendakwaan memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap kedua-dua tertuduh terbabit,” tegas pendakwa syarie tersebut dipetik Utusan Malaysia.

Dalam prosiding itu, peguam Munirah Abu Bakar yang mewakili pasangan itu memberitahu mahkamah beliau menerima panggilan telefon daripada Norman pagi semalam memberitahu beliau tidak dapat hadir di mahkamah kerana tidak sihat.

Bagaimanapun Norman tidak memberi sebarang sijil cuti sakit.

Katanya, Norman turut memberitahu beliau bahawa Memey berada di luar kawasan yang menyebabkan dia tidak boleh hadir ke mahkamah.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 35, dan Memey atau nama sebenarnya, Suhaizah Suhaimi, 23, yang juga seorang pelakon, didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, pada 3 pagi 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Salehan menetapkan 29 Julai ini bagi keputusan sama ada pasangan itu didapati bersalah atau tidak terhadap tuduhan itu dan memerintahkan kedua-duanya hadir pada tarikh berkenaan.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada Oktober lalu selepas hampir dua tahun perbicaraan kes berkenaan yang memanggil lapan saksi pendakwaan termasuk bekas pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.

Pautan

-The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan