Pengikut

Isnin, 21 Mac 2011

PKR minta tempoh kempen hingga 21 hari

Pakatan Rakyat (PR) sudah siap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, PR menjangka pilihan raya Sarawak akan diadakan lebih awal dan sentiasa bersiap sedia untuk berhadapan dengan Barisan Nasional (BN).

“Kami menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengundur diri dan membubarkan DUN Sarawak lebih awal,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Bagaimanapun menurutnya, PR kini lebih fokus dalam menyelesaikan isu yang membabitkan pengagihan kerusi kepada parti komponennya termasuk Parti Nasional Sarawak (SNAP) untuk berhadapan dengan BN dalam pilihan raya itu.

“PKR akan berunding dengan parti komponen lain agar masalah pertikaian pembahagian kerusi yang dipertandingkan selesai secara baik.

“Kami mahu berunding dengan SNAP dan yakin ianya dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Menurutnya, jika pertandingan tiga penjuru berlaku membabitkan PR, BN dan SNAP, ia dilihat lebih menguntungkan BN.

Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menimbangkan tempoh berkempen yang lebih panjang iaitu 21 hari bagi pilihan raya itu memandangkan faktor geografi dan kedudukan kawasan luas.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar pula berkata, Pas berharap isu pertikaian kerusi akan dipertandingkan parti komponen PR dan SNAP dapat diselesaikan.

Beliau turut berharap SPR dapat memastikan tiada halangan yang dikenakan kepada pemimpin PR masuk ke Sarawak untuk berkempen dalam pilihan raya terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan