Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, demonstrasi yang didalangi Umno bagi menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel DNA membuktikan bahawa isu liwat mempunyai kepentingan politik.
Katanya, isu tersebut sengaja ditimbulkan pihak tertentu berdepan pilihan raya umum akan datang.
“Demonstrasi itu jelas bahawa kes ini adalah kes politik yang diwujudkan bukan satu hakikat sebenar, tetapi agenda politik berdepan pilihan raya umum akan datang,” katanya pada sidang media Pakatan Rakyat di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini
.
Beliau mengulas demonstrasi yang disertai 50 orang yang mendakwa mewakili 30 badan bukan kerajaan (NGO) di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square di Petaling Jaya baru-baru ini.
Mereka mendesak Anwar menyerahkan sampel DNA, bagi membantu kes liwat yang diadu bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Sementara itu, PKR akan menggerakkan kempen DNA iaitu 'Datuk Najib Altantuya' sebagai reaksi terhadap fitnah berterusan pemimpin dan media Umno BN dalam isu liwat membabitkan Anwar yang juga Ketua Umum parti itu.
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media selepas mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat di parlimen hari ini.
“PKR akan menggerakkan kempen besar-besaran di bawah tema DNA iaitu Datuk Najib Altantuya’.
"Kita merancang untuk memulakan kempen itu mulai minggu hadapan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, kempen itu berbentuk pengedaran risalah dan ceramah penerangan di seluruh negara.
“Kita kini sedang menyediakan dokumen berkaitan,” katanya.
Selain Abdul Hadi dan Anwar, turut hadir dalam sidang media itu ialah Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Kit Siang dan pimpinan tertinggi ketiga-tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan