Pengikut

Jumaat, 26 November 2010

Umno-BN bina Menara Felda baru, 800,000 generasi kedua peneroka diabaikan

Lebih 800 ribu peneroka dan keluarga generasi kedua FELDA memerlukan tempat kediaman yang selesa demi meneruskan kelangsungan hidup, kata Pengerusi Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Se Malaysia (ANAK), Mazlan Aliman.

Menurut beliau, walaupun kerajaan sebelum ini memperuntukkan Projek Perumahan Warga Felda (PWF), namun skim berkenaan hanya menyelesaikan kira-kira lima peratus masalah kediaman untuk generasi kedua FELDA.

Justeru tindakan FELDA yang bertegas mahu membina Menara FELDA dengan kos mencecah satu bilion ringgit, tatkala generasi ke dua yang ada dianaktirikan- adalah tidak wajar sama sekali.

"Lebih baik wang itu digunakan sebagai kos awal untuk membina rumah-rumah generasi kedua yang sangat mendesak ketika ini.

"Anak-anak peneroka sebenarnya memerlukan satu jaminan masa depan untuk kediaman. sebab itu kalau lebih RM1 bilion yang diperuntukan untuk membina bangunan itu, digunakan untuk membina rumah kos rendah dengan satu pakej jadual pembayaran mudah, saya fikir itu jauh lebih manfaat. Ribuan rumah kos rendah dalam tempoh 5 tahun(dapat didirikan), dan ramai anak peneroka dapat manfaat," jelas Mazlan kepada Tv Selangor.

Memetik laporan Bernama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mendakwa, Menara FELDA dijangka memberikan keuntungan kepada generasi muda FELDA pada masa akan datang.

Malah Ahmad beralasan, pada masa kini sahaja nilai hartanah di sekitar ibu negara itu melonjak naik dan memberi keuntungan kepada FELDA, walaupun menara itu masih belum dibina.

Mazlan berkata hujah Ahmad itu bukan sahaja rapuh dari sudut manfaat untuk peneroka Felda, ia juga mencerminkan keikhlasan Umno-BN dalam merealisasikan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

"Semua bercakap tentang nilai semasa, dari segi nilai hartanah. Satu-satu perancangan oleh Barisan Nasional tidak melihat kepada keutamaan di mana wang rakyat dibelanjakan. Ini alasan sama yang digunakan Ahmad ketika menjawab berhubung pembinaan Menara Warisan sebelum ini, kata Mazlan.

Lantaran itu katanya, Ahmad perlu sedar dan meneliti masalah peneroka sebelum sibuk mencanang kononnya Menara FELDA yang bakal dibina menjanjikan masa depan kepada generasi muda itu," kata beliau,

"Bayangkan pada ketika ini ada lebih 800 ribu generasi kedua, yang sebahagian daripada mereka bekerja sebagai buruh di ladang. Mereka tidak ada pendapatan tetap.Kalau mereka hendak membuat pinjaman bank untuk membeli rumah kos rendah, mereka tidak layak kerana tidak mempunyai slip gaji," jelas Mazlan lagi.

Tambah beliau, FELDA sebelum ini di bawah skim PWF telah mendirikan sekitar 3,000 unit rumah di Bukit Goh, Mempaga, Lepar Hilir, Keratong, Pasak, Maran, Bera, Kemaman dan Gua Musang.

Walau bagaimanapun, ia tidak mampu menampung permintaan lebih 800 ribu generasi kedua FELDA, manakala mereka yang layak pula hanya yang berpendapatan RM1,000 ke atas dan mempunyai slip gaji sahaja.

Mazlan menegaskan adalah tidak adil setiap keputusan yang melibatkan FELDA tidak dibincangkan terlebih dahulu bersama masyarakat FELDA.

"Sebenarnya pembinaan Menara Felda itu dirancang untuk dibina tanpa mengambil kira pandangan masyarakat Felda.

"Projek itu disusun sungguhpun ibupejabat Felda di Jalan Gurney yang sudah sedia ada belum digunakan secara maksimum, tetiba dibuat pula yang lain,kita tidak nampak kepentingannya ketika ini.

" Bayangkan RM622 juta untuk Menara bru Felda, belum mengambil kira lagi dengan harga barang mentah semasa, kemudian mungkin pengubahsuaian dalaman bangunan, termasuk mengisi perabot, saya percaya nilainya mungkin menghampiri RM1 bilion," ujar Mazlan lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan