Pengikut

Khamis, 13 Januari 2011

Khairy Ukur Dulu Baju Di Badan Sendiri

"Ukur baju di badan sendiri," - mungkin itu ungkapan yang akan diguna oleh Karam Singh Walia terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin yang mendesak mahu berbahas dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Program 100 hari Pakatan Rakyat.

Khairy tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan. Beliau tidak dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menganggotai kabinetnya, walaupun sebagai Timbalan Menteri atau Setiausaha Parlimen.

Khairy juga memimpin Exco Pemuda Umno yang berpecah belah dengan sebilangan mereka menolak kepimpinan beliau.

Khairy juga gagal menyahut cabaran oleh rakan-rakan seangkatannya daripada Parti Keadilan Rakyat khususnya Badrul Hisham Shaharin untuk berbahas mengenai nasib masyarakat di kawasan parlimen Rembau.

Khairy adalah Ahli Parlimen Rembau yang gagal untuk menunaikan pelbagai janji kepada penduduk setempat, termasuk pembinaan sebuah hospital dan masjid baru.

Malah dalam cubaan terdesak untuk meraih sokongan pada PRU12, Khairy telah menjanjikan pembinaan sebuah lapangan terbang di Rembau!

Semua janji itu tidak dipenuhi. Khairy sendiri tidak merasakan keperluan untuk menjawab kenapa projek-projek itu tidak dilaksanakan.

Justeru tidak ada pihak yang harus keliru atau terkejut dengan pengumuman Khairy bahawa beliau tidak akan mempertahankan kerusi Rembau pada pilihanraya umum akan datang.

Hakikat ialah selepas ayah mertuanya Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Perdana Menteri, jangka hayat politik Khairy kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Najib lebih cenderung "membela' anak Mahathir, Mukhriz demi meraih sokongan politik Mahathir yang jauh lebih berguna berbanding sokongan Abdullah.

Maka tinggalah Khairy mengamalkan formula Umno yang berpaksi kepada budaya mengampu dan membodek Perdana Menteri .

Beliau sering membuat kenyataan-kenyataan biadap di Parlimen dan akhbar arus perdana dalam hasrat menarik perhatian Perdana Menteri atas kebergunaannya tetapi nyata gagal.

Apabila Anwar mencabar Najib berbahas mengenai program 100 hari Pakatan Rakyat dan bukan menggunakan media kawalan pemerintah untuk membidas rancangan itu, Khairy terus tampil menawarkan diri untuk debat itu.

Deria bau politik Khairy begitu kuat, sehingga dapat menghidu peluang keemasan untuk 'membodek' Najib demi kelangsungan politik beliau dalam Umno.Maka beliau "sanggup" mengambil alih tempat Najib untuk berbahas dengan Anwar.

Namun, baju yang disorong oleh Khairy adalah saiz Pemuda dan Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin sudah pun menawarkan diri untuk berbahas dengan Khairy.

Sehingga sekarang, jemputan Samsul itu tidak dijawab.

Ini kerana Khairy masih lagi sibuk menghidu bau yang pada pekiraan beliau, menawarkan laluan terus untuk menjadi orang kepercayaan Najib,sekali gus menghidupkan sinar karier politiknya.

Namun dalam keghairahan berbuat demikian, Khairy dinasihati supaya tangani dulu janji-janji yang dibuat kepada penduduk Rembau, janganlah pinggirkan mereka semata-mata demi nafsu politik sendiri.

Dan seperkara lagi Khairy ... tunggulah sehingga beliau layak menyarung baju yang "lebih besar" sebelum membuas dengan keinginan berbahas dengan pemimpin-pemimpin yang jauh lebih matang dan terhormat daripada anda.


Ditulis oleh Wira Arjuna

Tiada ulasan:

Catat Ulasan