Kesediaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan 'Program 100 Hari Pakatan Rakyat' menerusi perbahasan terbuka dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat melangkaui perbezaan politik demi menentukan masa depan rakyat, kata Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah
Beliau berkata perbincangan atau perbahasan secara intelektual mengenai pemulihan ekonomi negara harus diketengahkan kepada umum bagi memberi gambaran awal mengenai hala tuju negara.
Ini kerana persepsi rakyat kini menjurus ke arah kepimpinan yang mampu mengorak perubahan meningkatkan sektor ekonomi yang menjadi asas kesejahteraan.
"Masyarakat memang mahukan melihat satu perdebatan ilmiah, intelektual yang mengatasi kepentingan sentimen politik yang sentiasa terjadi seharian. Masyarakat ingin tahu apakah nasib mereka di masa depan yang dibawa oleh negara ini," kata beliau kepada TVSelangor.
"Dan tidak ada orang yang layak bercakap kecuali pemimpin-pemimpin politik sebab mereka yang pasti akan menguruskan kehidupan masyarakat pada masa hadapan sebab mereka pembuat dasar dan polisi," tambah beliau.
Najib kelmarin membidas Program 100 hari Pakatan Rakyat sebagai tidak realistik, namun menolak pelawaan Anwar untuk mengadakan perbahasan terbuka bagi memerinchi program itu yang memerlukan peruntukan RM19 bilion untuk dilaksanakan.
program itu antara lain meletakkan asas untuk memastikan sistem lebuhraya yang bebas tol, kenaikan subsidi rakyat untuk keperluan asas, khidmat wi-fi yang percuma dan imbuhan lebih baik untuk guru, selain menaikan royalti minyak untuk negeri-negeri dan memansuhkan undang-undang zalim.
Anwar berkata kewangan itu boleh diperolehi dengan membanteras ketirisan berjumlah RM28 bilion setahun sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Selain itu Transparency International juga melaporkan Malaysia rugi kira-kira RM10bilion setahun kerana rasuah.
Najib berkata perbahasan mengenai program Pakatan Rakyat itu tidak perlu kerana ia tidak akan mencapai sebarang matlamat.
Abu Hassan menegaskan rakyat tidak mempunyai saluran selain merujuk kepada kepimpinan tertinggi politik untuk membentangkan hujah seraya membuka laluan bagi mengetahui perkembangan yang mampu dilakukan oleh pemimpin kerajaan termasuk pembangkang.
Beliau berkata perbahasan sihat seumpama ini harus dikembangkan dalam konteks negara demokrasi bagi menghulurkan maklumat terus kepada masyarakat.
"Kita mendoakan dan rakyat berharap agar perdebatan itu berlaku secara intelektual, akademik bersungguh-sungguh dan tidak hanya digerakkan dalam melalui sentimen dan kepercayaan politik," ujar beliau lagi.
Ditulis oleh Edi Suleiman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan