Pengikut

Ahad, 12 Disember 2010

Roboh: Madrasatul Falah tidak selamat

Madrasatul Falah yang terletak di Kampung Kerinchi, Lembah Pantai, di sini, tetap tidak selamat dari tindakan dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) walaupun masih belum dirobohkan hingga hari ini, memandangkan jaminan yang diberikan terhadapnya hanya sekadar tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, isu untuk merobohkan surau itu bukanlah isu baru. Ia telah berbangkit sejak dua tahun lalu, manakala tindakan DBKL untuk merobohkan surau yang telah berusia 12 tahun itu pula bukanlah kerana perancangan DBKL sendiri, tetapi kerana tekanan politik daripada para pemimpin Umno di kawasan itu demi kepentingan politik mereka.

Tinjauan Harakahdaily ke surau itu mendapati surau tersebut tidak jadi dirobohkan oleh pihak DBKL meskipun notis yang dikeluarkan pada 10 November lalu telah berakhir semalam, sehingga memaksa kira-kira 80 orang ahli kariahnya dan beberapa orang penuntut universiti berdekatan dengannya bermalam di surau itu sehingga pagi semalam untuk mengawasinya dari dirobohkan DBKL.

Hasil tinjauan Harakahdaily juga mendapati orang ramai yang berjaga-jaga di surau itu sudah tiada lagi di surau tersebut sepanjang siang hari ini kerana yakin surau tempat mereka beribadat itu tidak akan dirobohkan oleh pihak DBKL dalam masa terdekat, seperti yang dijanjikan oleh Ketua Pengarah DBKL kepada pengerusi, ajk dan wakil penduduk dalam rundingan mereka setelah mereka berkunjung ke pejabat DBKL semalam.

Seorang penduduk di kawasan itu yang turut mengiringi wakil-wakil surau itu ke pejabat DBKL kelmarin, Abdul Kadir Hashim menjelaskan, jaminan yang diberikan oleh pihak DBKL itu sememangnya melegakan seluruh penduduk di kawasan itu, tetapi ia hanya sekadar buat sementara waktu kerana jaminan yang diberikan hanya sekadar tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat.

"Ini membuktikan Madrasatul Falah tetap tidak selamat. Tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat tidak bermakna tidak akan dirobohkan. Sebaliknya, ia tetap akan dirobohkan juga suatu hari nanti. Suatu hari nanti itu tidaklah pula diketahui bila, malah dalam masa terdekat itu juga tidak dapat menjamin tarikhnya sama ada setahun, dua tahun atau tiga tahun.

"Namun dengan jaminan itu, kami tetap bersyukur kerana setidak-tidaknya, surau itu masih berdiri utuh di situ bagi membolehkan orang ramai yang tinggal di kawasan itu mendirikan solat berjamaah di dalamnya dan melakukan aktiviti-aktiviti keagamaan yang lain.

"Di dalam surau itu juga sebenarnya terdapat perpustakaan. Jadi dengan adanya jaminan tidak akan dirobohkan dalam masa terdekat, dapatlah juga orang ramai memanfaatkan perpustakaan itu," katanya ketika ditemui.

Madrasatul Falah, katanya, tidak mempunyai sebarang sebab untuk dirobohkan kerana ia merupakan sebuah surau yang sempurna, bersih, terjaga dengan rapi, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan sebarang aktiviti negatif seperti dijadikan sarang penagihan najis dadah oleh para penagih dadah dan sebagainya.

Tindakan merobohkannya juga ternyata di luar peraturan kerana ia tidak dinyatakan sebab-sebab yang munasabah dan boleh diterima oleh orang ramai khususnya ahli-ahli kariahnya.

"Sedangkan menurut undang-undang, jika surau itu hendak dirobohkan, ia mestilah dipancakkan papan kenyataan di sisinya yang menerangkan tindakan tersebut diambil untuk tujuan pembangunan seperti yang diluluskan oleh kesemua agensi kerajaan termasuk JKR, pejabat agama, DBKL sendiri dan agensi-agensi kerajaan lain yang berkaitan dengannya.

"Tindakan untuk melakukan pembangunan itu juga mestilah dibuat setelah mendapat persetujuan daripada orang ramai, khususnya penduduk-penduduk di kawasan itu setelah tanah-tanah mereka dipersetujui diambil oleh pihak kerajaan menurut undang-undang yang diguna pakai secara baik termasuk akta tanah, akta perumahan dan sebagainya.

"Jika tidak, tindakan tersebut tidak boleh dilakukan dan mestilah ditentang oleh orang ramai terutama ahli-ahli kariah di kawasan itu. Ini jangankan kata ikut undang-undang yang saya nyatakan itu, papan tanda untuk merobohkan surau itu pun tidak dipasang oleh pihak DBKL. Jadi, ini jelas menunjukkan tindakan yang hendak dilakukan oleh DBKL itu ternyata tidak menurut peraturan atau undang-undang," tegasnya.

Beliau yang juga AJK Cabang PKR Lembah Pantai bagaimanapun amat kesal kerana tindakan yang hendak dilakukan itu bukanlah kerana perancangan DBKL sendiri, malah di luar perancangan DBKL sama sekali.

Sebaliknya, beliau mendakwa tindakan tersebut terpaksa dilakukan oleh DBKL akibat ditekan oleh para pemimpin Umno di kawasan itu termasuk Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sendiri selaku Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai.

"Mereka terpaksa melakukan tindakan itu atas alasan hendak memajukan kawasan itu. Sedangkan hakikatnya, mereka terdesak untuk mengambil tanah itu kerana didesak oleh pihak pemaju. Mereka telah mengambil banyak wang dari pemaju. Kini mereka juga memerlukan wang lagi dari pemaju untuk dana pilihanraya nanti, sedangkan pihak pemaju sudah enggan memberikan wang kepada mereka lagi kerana tanah yang dijanjikan oleh mereka untuk diserahkan kepada pemaju di kawasan itu sudah tiada lagi.

"Tanah-tanah orang Melayu yang lain di kawasan Kampung Kerinchi sudah habis dirampas oleh para pemimpin Umno, yang masih tinggal hanyalah di kawasan sekitar surau atau Madrasatul Falah itu sahaja yang kira-kira 200 ekar termasuk di Jalan Kubur, Pantai Dalam.

"Itulah sebabnya mereka begitu beriya-iya menekan di DBKL bertindak sedemikian terhadap Madrasatul Falah. Semua itu dapat difahami dengan mudah oleh orang ramai terutama penyokong-penyokong Pakatan Rakyat. Sebenarnya, saya dan penduduk di kawasan ini sendiri mempunyai banyak bukti ke arah itu," katanya.

Malah, beliau berkata, Raja Nong Chik dan pemimpin-pemimpin Umno di kawasan Lembah Pantai dan di kawasan Kampung Kerinchi itu sendiri kini bagaikan berada dalam keadaan 'bagaikan cacing kepanasan', apabila mereka mengetahui PKR atau Pakatan Rakyat akan mengadakan satu program besar di kawasan itu bagi menerangkan kezaliman mereka kepada penduduk di kawasan itu, terutama orang-orang Melayu yang menjadi peneroka bandar dan yang memiliki tanah di kawasan itu, sehingga tanah-tanah mereka habis dirampas oleh para pemimpin Umno dengan cara penipuan yang cukup licik.

"Malah tindakan yang dipaksa ke atas DBKL untuk merobohkan Madrasatul Falah itu yang kini terpaksa ditangguhkan dulu juga diyakini mempunyai kaitan dengan ketakutan mereka dengan program besar yang akan diadakan oleh PKR atau Pakatan Rakyat itu. Program itu sebenarnya masih dalam perancangan tetapi akan diadakan tidak lama lagi. Ia juga masih dalam rahsia, tetapi entah macam mana pula mereka boleh tahu mengenai perkara itu.

"Sebenarnya, masih banyak lagi rahsia yang tersembunyi dengan segala tindakan yang ingin dilakukan oleh mereka itu. Ia pasti akan terdedah satu demi satu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 ini. Para pemimpin Umno hanya perlu tunggu dan lihat sahaja. Yang nyata, para peneroka bandar dan orang-orang Melayu atau pemilik-pemilik tanah di kawasan ini kini sudah muak dengan permainan politik kotor Umno.

"Apa yang boleh dinyatakan, para peneroka bandar, orang-orang Melayu dan pemilik-pemilik tanah di kawasan ini sendiri sudah cukup maklum, tanah-tanah orang Melayu yang masih tinggal termasuk di sekitar Madrasatul Falah tidak akan selamat jika Umno atau BN terus berkuasa.

"Mereka faham, mereka dan tanah-tanah mereka hanya akan selamat jika Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini. Jadi para pemimpin Umno perlulah tunggu giliran rakyat pula yang akan mengajar mereka dalam pilihanraya nanti, setelah cukup banyak kezaliman yang mereka lakukan kepada orang-orang Melayu dan para peneroka bandar di kawasan ini," tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan