Pengikut

Khamis, 16 Disember 2010

Najib mengaku BN berpenyakit, nak sokong apa lagi?

Konvensyen Barisan Nasional 2010 baru lalu memberitahu seluruh rakyat jelata bahawa Pilihanraya Umum Ke 13 akan diadakan bila-bila masa sahaja. Seperti biasa muncullah peramal-peramal politik yang membuat andaian mengenai tarikh pilihanraya. Bagi Perdana Menteri congaknya sangat mudah, iaitu beliau akan mengisytiharkan pembubaran Parlimen di waktu BN mempunyai peluang yang cerah untuk menang.

Buat masa ini peluang BN sangat tidak cerah kerana sokongan bukan Melayu belum memihak kepada BN, sedangkan undi bukan Melayulah yang membantu mereka mengekalkan kuasa di Pusat sejak sekian lama.

Masalah kedua ialah undi golongan muda. Isu perkauman Melayu yang Umno pasakkan kepemikiran rakyat saban hari, hanya menjauhkan parti itu dari bukan Melayu dan mungkin menarik sedikit sokongan golongan tua Melayu, tetapi tidak pada golongan pengundi muda yang lebih moderat serta tidak terikat dengan politik kepartian.

Golongan muda sudah terlalu jauh dari ‘zaman Jepun’ dan ’13 Mei’. Mereka adalah golongan yang terdedah kepada maklumat maya. Umno boleh menggunakan media-media primitif tunggangan mereka untuk menakutkan golongan katak bawah tempurung yang tidak kenal internet, tetapi sukar untuk menyebarkan propaganda kepada golongan muda. Waktu zaman Jepun, anak dara dilarang keluar rumah takut diambil oleh tentera Jepun.

Ancaman itu memang menakutkan anak dara Melayu kerana keganasan tentera Jepun berlegar dalam masyarakat. Di zaman ini, anak dara tidak takut lagi untuk keluar rumah walaupun terlalu banyak ancaman perogol yang lebih ganas dari Jepun. Bahkan hari ini ada anak dara yang membonceng motorsikal ‘perogol’ mereka sendiri.

Demikian situasi zaman berubah. Ancaman perkauman mungkin berkesan selepas ’13 Mei’ tapi bukan sekarang. Golongan muda hari ini tidak boleh dimomok ancaman perkauman kerana ancaman itu langsung tidak menakutkan mereka. Golongan muda juga bijak untuk bertanya kembali Umno, “Mengapa sekarang baru sibuk bincang hak Melayu yang terhakis dalam pelbagai bidang, setengah abad berkuasa apa Umno buat?”

Bukan Melayu dan golongan muda begitu menggusarkan BN. Nampaknya walaupun Najib sudah memukul gendang perang, pilihanraya boleh diadakan bila-bila masa saja, tetapi waktu terdekat ini masih bukan masanya. Apatah lagi ketua-ketua kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menegaskan bahawa mereka belum tentu akan mengikut Pusat membubarkan DUN dalam waktu yang sama.

Kenyataan oleh SPR (yang dianggap sebagai ‘parti komponen’ BN ke 14) bahawa penjawat awam juga mungkin disenaraikan sebagai pengundi pos membayangkan langkah terdesak mereka untuk mengekalkan kuasa melalui cara yang tidak demokrastik.
Setiap 10 tahun biasanya SPR akan melakukan persempadanan semula pilihanraya.

Setelah hampir satu dekad, nampaknya SPR masih menyepi. Dulu PAS berhempas pulas membantah langkah SPR memasukkan kawasan pengundi bukan Melayu sesuka hati ke dalam kawasan yang dianggap ‘kawasan tradisi PAS’. Jawapan yang diberikan SPR waktu itu ialah, itu kelemahan parti politik tertentu yang tidak mendapat sokongan dari pelbagai kaum. Jawapan itu untuk mengenakan PAS. Kini adakah strategi yang diguna SPR itu akan berulang lagi kerana jika dilakukan, ia menguntungkan Pakatan Rakyat kerana undi bukan Melayu tidak lagi berpihak kepada BN?

Satu lagi pendedahan berguna yang dibuat Najib dalam Konvensyen BN itu ialah pengakuan terbuka beliau bahawa BN sebagai parti yang terlalu lama berkuasa mempunyai empat penyakit utama iaitu; khayalan (delusion), kelupaan (amnesia), kejumudan (inertia) dan keangkuhan (arrogance).

Dalam huraiannya Najib memberitahu bahawa delusion adalah kerana merasa khayal bahawa BN akan menang sampai bila-bila. Penyakit amnesia kerana mereka sudah lupa asal usul perjuangan. Penyakit inertia kerana BN enggan membuat perubahan dan pembaharuan dan penyakit arrogance kerana tidak boleh terima teguran rakyat.

“Sesungguhnya semua penyakit tersebut terutama penyakit keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah,” ujar Najib.

Semua jentera penerangan Pakatan Rakyat hendaklah mengambil pendedahan Najib perihal sifat BN ini untuk diterangkan kepada seluruh rakyat jelata, sehingga rakyat sudak tidak berselera lagi untuk melihat BN.

Keangkuhan, misalnya, adalah sifat yang boleh dihuraikan secara panjang lebar. Antaranya ialah keangkuhan BN yang mendakwa kononnya mereka sahaja yang layak di atas muka bumi Malaysia ini untuk menjadi pemerintah, keangkuhan BN menggunakan media-media untuk memperbodohkan rakyat dengan pelbagai pembohongan dan melakukan fitnah terhadap Pakatan Rakyat, keangkuhan BN menjatuhkan kerajaan Perak yang dipilih rakyat secara demokratik,

keangkuhan BN menangkap rakyat yang disyaki bersalah dibawah ISA tetapi tidak mendakwa mereka di mahkamah, keangkuhan BN menggantung Ketua Pembangkang Parlimen selama enam bulan, keangkuhan BN menggunakan pihak keselamatan untuk membelasah penyokong Pakatan Rakyat yang menyertai demonstrasi sebaliknya memberi layanan istimewa kepada penyokong BN yang menyertai perhimpunan haram, keangkuhan BN menyalahgunakan semua jentera kerajaan untuk kepentingan politik mereka,

keangkuhan BN mengalihkan peruntukan Pusat dan menyalurkan melalui ketua Umno Bahagian dan bukannya Kerajaan Negeri, keangkuhan BN menyekat royalti minyak di Kelantan, keangkuhan BN memenangi pilihanraya kecil melalui rasuah dan ugutan serta 1001 cerita keangkuhan lagi.

Mohamad Sabu boleh bercerita mengenai keangkuhan BN saja, tujuh hari tujuh malam.

Pengerusi BN telah mengaku di hadapan rakyat bahawa parti mereka bermasalah, habis rakyat nak sokong apa lagi?


Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan