Pengikut

Khamis, 16 Disember 2010

Pakatan Rakyat mantap di bawah, rapuh di atas?

Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu ini mempunyai banyak keistimewaan. Selain anggapan bahawa ia mungkin persidangan terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13, pertemuan barisan kepimpinanan daripada peringkat tertinggi hingga penyokong akar umbi ketiga-tiga parti komponen itu diharap bukan sahaja berupaya menyuntik semangat menyala aktivis Pakatan, namun lebih penting lagi merumuskan pelan tindakan strategik terbaik berdepan cabaran lebih getir dan menyelesaikan beberapa masalah berbangkit.

Persiapan menghadapi PRU13 begitu berbeda berbanding semua pilihan raya umum sebelum ini. Ini kali pertama BN menyedari ia akan digugat sehebat-hebatnya dan kemungkinan terlepas daripada takhta kuasa terbuka luas. Di pihak Pakatan Rakyat juga, ini julung kali keyakinan untuk mengambil alih kerajaan dikongsi semua parti di dalamnya, termasuk DAP yang dahulunya lebih bertekad untuk menjadi pembangkang yang kuat dan berwibawa.

Laluan membentuk sistem dua parti di negara ini terbentang luas selepas fenomena tsunami politik, Mac 2008 dan kini terpulang kepada keseriusan para pemimpin PAS, KeADILan dan DAP untuk menjadikan impian sejak lama itu sebagai kenyataan. Malaysia perlu diselamatkan daripada terus "ditawan" satu gabungan parti sejak merdeka, sehingga mengetepikan proses "semak dan imbang" dan membuatkan parti pemerintah sombong-ego-angkuh. Waktu itu, dikatakan kalau letak "songkok" pun BN boleh menang!
Realiti politik Malaysia memang tidak memungkinkan hanya sebuah parti tunggal menerajui kerajaan.

Demokrasi konsosiasional yang diamalkan di kebanyakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, termasuk Malaysia, menawarkan penyelesaian untuk berkongsi kuasa. Hubungan kerjasama dan toleransi, terutama di peringkat elit politik, mesti dipupuk bagi mewujudkan konsensus agar kestabilan tercapai, politiking dikurangkan dan kepentingan atau tuntutan daripada kaum yang berbeda dapat disesuaikan.

Bagaimanapun, pengkaji demokrasi permuafakatan seperti Cham dan Kieve, seperti dirumuskan Nidzam Sulaiman, menyatakan bahawa di beberapa negara tertentu, termasuk Malaysia, yang terbentuk hanyalah kerjasama rapuh antara pemimpin politik dari pelbagai kelompok.

"Ia tidak memberi gambaran sebenar akan kerjasama yang wujud secara menyeluruh antara kelompok yang berbeza itu. Di peringkat menengah atau bawahan kelompok masih bersaing dan enggan bekerjasama dan konflik masih berlaku. Kerjasama rapuh ini boleh menemui kegagalan apabila muncul masalah dalaman yang tidak dikesan oleh golongan elit. ... Konsosiasionalisme yang meliputi hubungan kaum sebenarnya tidak ubah berupa litupan gula icing kek yang rapuh dan di dalamnya terdapat bermacam-macam campuran yang tidak padu campurannya," tulisan Nidzam dipetik.

BN ternyata gabungan longgar elit pemimpinnya semata-mata. Golongan massa di bawah, termasuk penyokong parti masing-masing, terus hidup dalam prasangka, terbahagi dan gagal disatukan walaupun mendokong satu gabungan parti yang bertanding mewakili satu simbol dalam setiap kali pilihan raya sejak merdeka. Sentimen perkauman sentiasa dimanipulasi kepemimpinan tertingginya. Yang kaya dan beruntung hanya elit penguasa yang sering bertindak sebagai "pemeras yang bertopengkan kepentingan kaum". Majoriti pengikut - daripada semua kaum - masih ditindas, miskin dan serba mundur.

Pakatan Rakyat yang hanya terbentuk selepas PRU12 mengadakan konvensyen pertama di Auditorium MBSA, Shah Alam, pada 19 Disember 2009. Genap setahun kemudian, di Dewan Millenium, Pulau Pinang, pada 19 Disember 2010, konvensyen kedua menyusul, dengan tema "Berubah Sekarang". Cuba bandingkan dengan konvensyen BN pula. Ia pertama kali diadakan pada 1995. BN memerlukan tempoh 15 tahun untuk menganjurkan konvensyen keduanya, bertemakan "Satu Warga, Satu Negara, Satu Wawasan" pada 4 Disember lalu!
Cuba anda tinjau pengendalian kempen pilihan raya BN. Kita pasti sukar sekali untuk berjumpa seorang pemimpin MCA berceramah di kawasan majoriti Melayu.

Sedangkan, pemimpin DAP, seperti Lim Guan Eng mahupun Lim Kit Siang begitu mudah diajak untuk berkempen di perkampungan Melayu. Masih segar dalam ingatan saya, ketika berpanas terik bersama ribuan yang lain menyambut pembebasan Guan Eng daripada Penjara Kajang, 12 tahun lalu. Terharu saya melihat seorang makcik bertudung labuh membonceng motorsikal bersama suaminya megah menjulang bendera DAP, manakala seorang tua Cina berlari-lari anak mengibarkan panji-panji PAS.

Justeru, jika terdapat sebarang keraguan atau kemungkinan salahfaham di antara barisan kepemimpinan tiga parti dalam Pakatan, mereka harus mengimbau persefahaman erat yang terjalin di peringkat akar umbi, bukan bermula Mac 2008 tetapi sejak lama dahulu. Rakyat di bawah, dari pelbagai latar belakang kaum dan agama, tidak pernah memikirkan kepentingan sempit mereka ketika mengundi Pakatan. Mereka begitu mendambakan pembaharuan dan perubahan. Tidak terlintas untuk membolot kontrak, mengejar pangkat dan kedudukan, juga memperkayakan diri.

Sering saya tekankan, berdepan PRU13, rakyat tidak mudah lagi memberi sokongan kepada satu parti kerana membenci parti saingannya. Pakatan akan disokong disebabkan kekuatannya, bukan disandarkan kelemahan BN lagi. Oleh itu, sebarang pertelagahan terbuka mesti dielakkan. Usah cemarkan imej Pakatan sebagai parti yang berwibawa dan layak diberikan kepercayaan untuk memimpin. Hal titik-bengik pun boleh mempengaruhi pengundi jika ia didedahkan kepada umum.

Saya tertarik dengan ungkapan Teresa Kok, pemimpin kanan DAP ketika ditemui kolumnis Karim Raslan, pada September 2008: "Rakyat telah memberikan kami mandat, Islam dan bukan Islam telah mengundi untuk satu sama lain. Ia adalah ketentuan Tuhan supaya kita kita perlu bersatu. Kita perlu sensitif dalam soal menguruskan elemen penyatuan dan ciri-ciri persamaan yang boleh menguatkan pakatan. Mana-mana golongan atau parti yang cuba memusnahkan persepakatan atau mengakibatkan perpecahan Pakatan Rakyat pasti dipersalahkan dan rakyat Malaysia tidak akan memaafkan perbuatan masing-masing."

Menjadi harapan ramai, jika BN bukan saja rapuh di peringkat bawah tetapi juga longgar ikatan elit politiknya, manakala di pihak Pakatan, para penyokong nampak berpadu dengan baik, maka usah biarkan persefahaman di peringkat atasan cuba dirongkai pula.

"Saya tidak bimbang pengundi bukan Melayu akan terus sokong DAP nanti, yang merisaukan mampukah PAS memenangi hati majoriti masyarakat Melayu, golongan yang menyelamatkan BN hampir tiga tahun lalu?" tiba-tiba saja seorang teman, wartawan veteran menimbulkan persoalan. "Ini kuncinya, pengundi Melayu!" tambahnya sambil menekankan bahawa formulanya mesti datang dari ketiga-tiga parti, bukan hanya PAS.


Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN

Tiada ulasan:

Catat Ulasan