Harga petrol dan diesel yang naik bermula hari ini masing-masing 5 sen untuk seliter, membuktikan ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semakin tenat.
Sambil melahirkan rasa dukacita di atas perkara itu, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut meminta kerajaan menarik balik slogan kerajaannya ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’, kerana kenaikan harga minyak termasuk gula tidak menggambarkan ciri-ciri itu.
Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui selepas merasmikan majlis khatam perdana Dun Chempaka di Pusat Tarbiah Islamiah (Putik), di sini hari ini.
Tuan Guru turut berkata, pengumuman projek yang bakal dilaksanakan rakyat hanya ‘gula-gula’ untuk bersiapan pilihan raya umum yang akan datang.
“Hakikatnya kerajaan tidak ada duit, tetapi untuk mencanangkan kepada rakyat seluruhnya mereka masih mampu, terpaksa mencanangkan projek itu dan projek ini.
“Apa yang pasti bila harga minyak naik, bukan setakat gas dan gula sahaa akan naik, sebaliknya barang-barang keperluan utama lain juga akan naik,” ujarnya.
Tambahnya, sekiranya harga gula naik, rakyat boleh dinasihati agar kurangkan menggunakan bahan berkenaan.
“Tetapi kalau harga minyak naik, apa kita nak tipu rakyat lagi? Bandingkan dengan kerajaan lain?, ianya tidak sama sebab kita pengeluar minyak,” ujarnya lagi.
Sambungnya, akibat kenaikan harga minyak juga, gejala sosial seperti merompak, mencuri semakin berleluasa kerana ingin mendapatkan dana dengan cara mudah bagi menampung keperluan harian.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai kemampuan kerajaan BN hari ini khususnya di bawah Najib yang semakin bermasaalah khususnya berkaitan ekonomi.
“Rakyat perlu menghukum kerajaan ini, khususnya pada pilihan raya umum nanti, itu saja caranya,”ujarnya.
Seramai 85 kanak-kanak mengikuti program khatam berkenaan. Sebanyak RM30 ditanggung oleh Dun Chempaka untuk seorang kanak-kanak, RM20 lagi ditanggung keluarga sendiri.
Beliau turut berkata, berkhatam mula diikuti oleh orang bukan Islam kini kerana mereka yakin ianya untuk kebersihaan
“Ini bererti Islam dah berjaya menunjukkan perkara yang betul hingga diikuti oleh bukan Islam,” ujarya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan