Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Md Akin membidas Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun agar Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri berhubung kenyataannya bersabut Ketuanan Melayu.
"Saya ingat itu satu kenyataan yang paling bodoh, yang mencerminkan kedangkalan pemikiran Penasihat Undang-Undang Umno kerana isu yang dibangkitkan oleh Puan Presiden ialah istilah Ketuanan Melayu yang digunakan dan dimanipulasikan kepimpinan Umno," Shamsul memberitahu Tv Selangor.
Shamsul menganggap Umno sengaja tidak mahu berhadapan realiti istilah 'Ketuanan Melayu' tetapi mahu terus memutarbelitkan ungkapan itu bagi kepentingan pemimpin parti itu dan kroni mereka.
Hafarizam, hari mendakwa kononnya Wan Azizah mencabar kedudukan dan hak istimewa orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Shamsul berkata Umno sebenarnya tersepit kerana tembelang mereka terbongkar.
"Umno tersepit dalam istilah ketuanan Melayu kerana kita menyerang tepat pada sasaran di mana orang Umno mengatakan tidak ada parti di Malaysia ini yang sebegini berani menafikan apa yang diperjuangkan Umno itu sendiri. Dan akibat serangan tepat ini mereka menggelabah dan tidak dapat mencari jalan keluar," jelas Shamsul.
Sementara itu, Shamsul menyatakan Skuad AMK telahpun bersedia sepenuhnya bagi menghadapi kemungkinan provokasi oleh pihak tertentu dalam perhimpunan Kembalikan Hak Air Untuk Rakyat esok.
"Untuk tujuan keselamatan kita letak 200 hingga 300 orang skuad AMK memakai lilitan kepala merah dan mereka akan bersama rakyat di barisan hadapan bersama pimpinan negeri untuk menghantar memorandum dan kita telah bersedia sepenuhnya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan